(foto: TNN)

Dianggarkan lebih kurang 200 juta orang pekerja perindustrian, petani dan pekerja pertanian mengambil bahagian dalam aksi mogok umum selama 2 hari pada 28-29 Mac 2022, untuk melawan dasar Kerajaan India pimpinan Narendra Modi yang anti-pekerja, anti-petani dan anti-rakyat.

Ini merupakan mogok tenaga buruh yang terbesar di India sejak bulan November 2020. Mogok umum ini mendapat sokongan daripada pelajar-pelajar, anak-anak muda, artis-artis, golongan intelek, ahli-ahli sains dan golongan kelas menengah yang lain. Mogok ini merupakan cabaran daripada golongan pekerja terhadap kerajaan berhaluan kanan pimpinan Modi dan juga sebahagian daripada perjuangan rakyat India untuk menyelamatkan masa hadapan rakyat serta negara itu daripada kehancuran akibat dasar kapitalis.

Sepanjang dua tahun yang lalu, negara India telah menyaksikan kemerosotan lebih lanjut lagi standard kehidupan kelas pekerja di negara itu akibat penularan pandemik COVID-19 dan kegagalan kerajaan Modi dalam melakukan campurtangan dasar untuk menangani krisis yang mendalam itu. Sebanyak 53 juta orang menganggur di India setakat bulan Disember 2021.

Kesatuan pekerja utama yang terlibat dalam penganjuran aksi mogok umum dua hari ini ialah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan India (INTUC), Kongres Kesatuan Sekerja Seluruh India (AITUC), Hind Mazdoor Sabha (HMS), Pusat Kesatuan Sekerja India (CITU), Pusat Kesatuan Sekerja Bersatu Seluruh India (AIUTUC), Jawatankuasa Penyelarasan Kesatuan Sekerja (TUCC), Persatuan Wanita Bekerja Sendiri (SEWA), Majlis Pusat Kesatuan Sekerja Seluruh India (AICCTU), Persekutuan Progresif Buruh (LPF), Kongres Kesatuan Sekerja Bersatu (UTUC) dan kesatuan-kesatuan sekerja lain yang tidak bersekutu dengan mana-mana pusat kesatuan sekerja. Sektor-sektor yang terganggu kerana mogok umum termasuk pengangkutan awam, perlombongan arang batu, keluli, petroleum, telekomunikasi, perkhidmatan pos, tembaga, bank, insurans, perkhidmatan kereta api dan sebagainya.

(foto: Jagadeesh Nv / EPA)

Antara tuntutan yang dikemukakan oleh gerakan permogokan terbaru di India ialah:

  • Batalkan empat undang-undang buruh yang membenarkan majikan meningkatkan beban kerja pekerja, menyusahkan usaha untuk mendapatkan gaji yang saksama, menyekat pembentukan kesatuan sekerja, dan mengurangkan halangan untuk membuang pekerja;
  • Hentikan semua cubaan untuk menswastakan sektor awam;
  • Berikan sokongan pendapatan INR7,500 (bersamaan USD99 atau RM416) sebulan kepada semua keluarga bukan pembayar cukai pendapatan;
  • Tingkatkan peruntukan kepada skim jaminan kerja luar bandar;
  • Perluaskan program jaminan pekerjaan ke kawasan bandar;
  • Berikan perlindungan sosial sejagat kepada semua pekerja sektor tidak formal (Pada masa kini, hanya 10% daripada 400 juta orang tenaga kerja di India dilindungi dengan sesetengah bentuk sekuriti sosial. Oleh itu, program perlindungan sosial sejagat amat diperlukan oleh golongan pekerja, termasuk mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal);
  • Wujudkan gaji minimum dan perlindungan sosial berkanun untuk 6 juta orang pekerja skim (yang hanya dibayar honorarium), yang kebanyakannya pekerja wanita yang melakukan kerja-kerja penting seperti perkhidmatan kesihatan di barisan hadapan, perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan sebagainya;
  • Wujudkan perlindungan penuh dan insurans kepada semua pekerja barisan hadapan yang berkhidmat untuk rakyat semasa pandemik;
  • Kawal selia semua pekerjaan kontrak dan pekerjaan skim;
  • Pastikan bayaran gaji yang samarata untuk semua pekerja;
  • Wujudkan harga sokongan minimum untuk hasil pertanian, sebagai jaringan keselamatan kepada petani-petani untuk memastikan harga minimum yang terjamin bagi hasil pengeluaran pertanian mereka;
  • Tarik balik semua kes pendakwaan terhadap petani-petani yang terlibat dalam aksi perjuangan petani;
  • Batalkan skim pencen baharu dan pulihkan skim yang lama; di samping tingkatkan pencen minimum di bawah skim pencen pekerja;
  • Kurangkan duti eksais pusat ke atas produk petroleum;
  • Ambil langkah-langkah yang konkrit untuk menangani kenaikan harga barangan;
  • Tingkatkan pelaburan awam dalam pertanian, pendidikan dan kesihatan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s