(Gambar arkib)

oleh S. Arutchelvan

Kami bimbang dengan lobi daripada Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan kompromi oleh sesetengah Menteri dalam isu peningkatan gaji minimum. Kami menyeru supaya peningkatan gaji minimum dilaksanakan sekarang untuk semua tanpa sebarang kelonggaran.

1. Undang-undang gaji minimum diperkenalkan di Malaysia kerana kegagalan dan penyalahgunaan sistem pasaran dalam menentukan gaji. Jika Malaysia membenarkan kuasa pasaran untuk menentukan gaji; jika kita tidak membenarkan buruh migran yang murah untuk memasuki pasaran, maka gaji akan tinggi secara automatik. Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) itu sendiri yang sentiasa melobi Kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak pekerja asing kerana ia seiring dengan dasar buruh murah mereka. Oleh kerana manipulasi kuasa pasaran ini, pihak majikan tidak harus merungut apabila gaji minimum ditingkatkan dari semasa ke semasa.

2. Tarikh yang diberitahu oleh Perdana Menteri, 1 Mei 2022, harus merupakan tarikh pelaksanaan peningkatan gaji minimum dan tidak patut ditangguhkan lebih lanjut lagi. Ini semata-mata kerana tarikh sebenar untuk pelaksanaan sepatutnya pada bulan Januari 2021 atau Februari 2022 kerana peningkatan gaji minimum yang terakhir ialah pada bulan Januari 2019 dengan kadar RM1,100 seluruh negara dan bulan Februari 2020 dengan kadar RM1,200 hanya untuk 57 buah bandar utama. Mengikut sejarah, oleh sebab penangguhan dalam pelaksanaan gaji minimum, pekerja-pekerja telah hilang gaji ke belakang yang sejumlah 28 bulan. Siapa yang akan memberi pampasan kepada mereka?

Januari 2013 – RM900 (Semua syarikat diberi penangguhan 12 bulan hingga 18 bulan) (18 bulan tiada peningkatan gaji minimum)
Julai 2016 – RM1,000
(6 bulan tiada peningkatan)
Januari 2019 – RM1,100
Februari 2020 – RM1,200
(4 bulan tiada peningkatan)
Mei 2022 – RM1,500

3. Gaji minimum RM1,500 bukannya satu peningkatan yang besar.

  • Kongres Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah menuntut gaji minimum RM1,800.
  • Bank Negara menganggarkan gaji cukup sara hidup di Kuala Lumpur pada tahun 2016 (di mana sekarang adalah lebih tinggi) ialah RM2,700 sebulan untuk seorang yang bujang, RM4,500 untuk sepasang suami isteri dan RM6,500 untuk sebuah keluarga dengan 2 orang anak.
  • Jika menggunakan formula pengiraan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara yang mengambil kira pendapatan garis kemiskinan, indeks harga pengguna (CPI), pertumbuhan pengeluaran dan kadar pengangguran, maka gaji minimum di Malaysia sepatutnya ialah RM2,017.
  • Di peringkat serantau, kuasa beli pekerja Malaysia dengan gaji minimum adalah paling rendah dalam kalangan negara ASEAN, kerana kadar gaji minimum berbanding pendapatan per kapita bulanan untuk pekerja-pekerja di Malaysia hanya 12.62% (10.45% pada tahun 2018).

4. Satu lagi perkara yang membimbangkan adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, mengumumkan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (SME) akan dikecualikan daripada melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei. Ini telah diberitahu dalam Dewan Rakyat. Siapakah Noh Omar ini untuk membuat keputusan untuk pengecualian sebegini? Kuasa untuk melakukan demikian hanya terletak dalam tangan Menteri Sumber Manusia yang sebelum ini memberi pengecualian berdasarkan keadaan kes mengikut kes. Kami berharap bahawa penilaian yang sewajarnya telah dibuat, kerana kami berpandangan bahawa berdasarkan peningkatan gaji minimum sebelum ini, ia tidak memberi kesan buruk kepada SME walaupun FMM menggunakan hujah yang sama.

5. PSM menyeru untuk pelaksanaan peningkatan gaji minimum sekarang juga dan Kerajaan patut membantu syarikat yang tidak mampu membayar gaji minimum. Strateginya seharusnya mencukai golongan individu dan syarikat korporat yang sangat kaya, dan mensubsidi silang SME yang memerlukan bantuan. Dalam senario kita hari ini, MEF akan membantah semua bentuk cukai, seperti cukai kekayaan, cukai keuntungan modal dan sebagainya, serta menetapkan siling untuk gaji yang tinggi, tetapi pada masa yang sama strategi mereka hanyalah terus menekan gaji dan memastikan pekerja yang berpendapatan paling rendah terus dibayar gaji rendah. Jadi, meningkatkan gaji minimum bagi golongan bawahan sebenarnya bukan isu tetapi menyelaraskan semula gaji dan pendapatan bagi golongan teratas adalah penyelesaiannya.

Terdapat banyak cara untuk Kerajaan membantu segelintir syarikat yang menghadapi kesusahan. Kerajaan harus dapat menempatkan semula dan melatih semula. Kami mencadangkan peningkatan cukai dan memberi bantuan kepada syarikat-syarikat hanya selepas penilaian dibuat menggunakan kaedah di bawah. Kerajaan boleh meningkatkan cukai korporat secara beransur-ansur dengan 1% setiap tahun sehingga mencapai 30%, cukai kekayaan 1% hingga 5% untuk sebarang kekayaan yang melebihi RM10 juta sebagai contohnya.

6. Perlu adanya akta yang menetapkan gaji siling. Pekali Gini di Malaysia adalah kedua tertinggi di Asia Tenggara. Malah, sesetengah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh mendapat RM100,000 sebulan dengan mudahnya.

7. Baru-baru ini, tindakan melulu Kerajaan dalam membenarkan beberapa pusingan pengeluaran simpanan KWSP melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra telah menyebabkan pengeluaran simpanan sebanyak RM101 bilion daripada 7.4 juta ahli KWSP. Menurut KWSP, ini telah menyebabkan 6.1 juta ahlinya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan 79% daripada mereka mempunyai baki simpanan kurang daripada RM1,000. Dengan meningkatkan gaji minimum sebanyak RM300, mungkin hanya satu cara yang kecil untuk Kerajaan membantu pekerja-pekerja ini untuk meningkatkan simpanan KWSP mereka.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “Gaji Minimum RM1,500: Laksanakan sekarang bukan kemudian, untuk semua dan tiada kelonggaran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *