KUALA LUMPUR – 22 JANUARI 2022: Walaupun pihak polis cuba menutup jalanraya dan stesen tren untuk menghalang orang ramai daripada berhimpun, tetapi tetap gagal menyekat ratusan orang berprotes di jalanan Kuala Lumpur pada hari ini yang menyuarakan tuntutan mereka untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam skandal korupsi dan merombak SPRM.

Aksi protes anjuran Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki yang terdiri daripada pelbagai parti politik dan kumpulan masyarakat sivil ini, bertujuan untuk mengetengahkan isu skandal korupsi yang melibatkan Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM. Dua laporan media yang diterbitkan pada 15 Disember 2021, mendedahkan bahawa Azam Baki memiliki saham berlebihan pada tahun 2015 semasa dia memegang jawatan Ketua Bahagian Siasatan SPRM. Azam Baki cuba menafikan bahawa dia telah melakukan apa-apa kesalahan dengan alasan bahawa saham itu dibeli oleh adiknya yang menggunakan akaun dagangannya. Malah, Azam Baki hendak menyaman wartawan yang menulis laporan media yang mendedahkan isu pemilikan saham berlebihannya.

Pelbagai pihak telah menggesa untuk siasatan bebas terhadap dakwaan pemilikan saham berlebihan oleh Azam Baki. Integriti badan pencegahan korupsi yang utama di negara kita sedang diancam kerana ketuanya sendiri terlibat dalam skandal korupsi. Jadi, adalah tidak masuk akal untuk Azam Baki terus memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kebal daripada sebarang tindakan undang-undang. Oleh yang demikian, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki mengadakan aksi protes untuk menggesa supaya Azam Baki ditangkap dengan serta-merta dan proses undang-undang ke atasnya dimulakan segera, di samping merombak SPRM dan meletakkannya terus di bawah seliaan Parlimen bagi menjamin kredibiliti, kebebasan dan keberkecualiannya.

Pihak polis pula nampaknya masih tidak dapat keluar daripada mentaliti lama apabila berdepan dengan aksi protes massa. Untuk menghalang orang ramai daripada menyertai aksi protes #TangkapAzamBaki, pihak polis menutup enam jalan utama di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur dan menggantungkan sementara operasi sesetengah stesen LRT, MRT, monorel dan KTM. Tindakan yang keterlaluan ini hanya menimbulkan gambaran bahawa pihak berkuasa cuba melindungi pegawai berpangkat tinggi daripada semakan dan kritikan orang awam, malah menjejaskan integriti pihak berkuasa dengan lebih lanjut lagi.

Pihak penganjur aksi telah mengubah lokasi berhimpun dari SOGO Kuala Lumpur ke Stesen LRT Bangsar. Para peserta aksi mula berkumpul pada pukul 11 pagi dan berarak dari situ. Perarakan disekat daripada terus mara ke hadapan oleh polis yang mengerahkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Travers. Para demonstran duduk di atas jalan sebagai tanda sebelum berpatah balik ke Stesen LRT Bangsar. Perhimpunan berakhir pada lebih kurang 12.40 tengah hari.

“Hari ini anak muda datang bersama untuk meminta akauntabiliti daripada kerajaan tentang bagaimana SPRM mengendali isu pembelian saham oleh Azam Baki. Isu ini juga membongkarkan betapa korupnya kerajaan dan kita tidak mempunyai satu sistem semak-dan-imbang (check and balance) yang sesuai dalam sektor kerajaan. Oleh itu, anak muda daripada pelbagai parti politik dan badan bukan kerajaan turun ke jalanan pada hari ini,” kata Gandipan Nantha Gopalan, Setiausaha Pemuda Sosialis PSM, yang turut menyertai aksi protes hari ini.

Aktivis-aktivis PSM turut hadir bersolidariti dalam aksi #TangkapAzamBaki. (foto: Sivarajan Arumugam)

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “Protes rakyat tuntut #TangkapAzamBaki dan rombak SPRM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *