Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – 13 NOVEMBER 2021: Peneroka-peneroka Kampung Gatco (juga dikenali sebagai Kampung Serampang Indah), Jempol, Negeri Sembilan, membuat aduan polis di Ibupejabat Polis Daerah Seremban pada hari ini berkenaan dengan ugutan daripada Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang memaksa mereka untuk menerima sahaja tanah 4 ekar yang ditawarkan.

Para peneroka Gatco hanya dimaklumkan melalui satu hantaran dalam laman facebook Veerapan Superamaniam, Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang juga merupakan ADUN kawasan Repah, bahawa semua peneroka Gatco perlu menerima tawaran tanah 4 ekar, dan tidak akan melaksanakan lagi pemberian geran tanah selepas ini. Bagi peneroka Gatco, ini merupakan satu bentuk ugutan yang memaksa mereka untuk menerima apa yang bukan diminta oleh mereka, dan ia telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan peneroka-peneroka ini. Peneroka-peneroka Gatco terasa mereka telah diugut untuk menerima sahaja tawaran tanah 4 ekar itu, jika tidak, mereka akan kehilangan semua hak mereka. Oleh itu, para peneroka Gatco membuat aduan polis untuk memastikan kepentingan dan hak mereka untuk mendapat tanah berkeluasan sekurang-kurangnya 6 hingga 8 ekar tidak tergadai kerana kenyataan pihak berkuasa yang tidak bertanggungjawab itu.

Peneroka-peneroka Kampung Gatco sekarang ini berasal dari ladang-ladang di seluruh Semenanjung Malaysia. Kebanyakan merela telah berhijrah ke Kampung Gatco sejak tahun 1970-an dengan harapan bahawa generasi akan datang boleh menikmati satu kehidupan yang lebih stabil dari segi punca pendapatan. Petempatan ini diwujudkan untuk satu projek yang dilaksanakan oleh syarikat Gatco (Great Alonioners Trading Corporation Bhd), dengan para peneroka telah membayar sebanyak RM7,600 (iaitu satu nilai yang tinggi pada tahun 1970-an) untuk menyertai skim ini pada 1978. Pada asalnya, setiap peneroka yang menyertai rancangan tanah ini telah dijanjikan tanah seluas 10 ekar seorang. Tanah seluas 10 ekar adalah keluasan standard yang diberikan untuk skim FELDA dan rancangan Gatco adalah berdasarkan prinsip yang sama. Kemudiannya tawaran tanah tersebut telah dikurangkan daripada 10 ekar kepada 8 ekar setiap orang peserta, dan ini adalah berdasarkan satu perjanjian yang telah dibuat pada tahun 1983.

Syarikat Thamarai Holdings Sdn. Bhd. telah membeli tanah tersebut daripada pelikuidasi syarikat Gatco. Dalam perjanjian jual beli antara peliduidasi dan syarikat Thamarai Holding Sdn. Bhd yang ditandatangani pada 2 Disember 2004, syarikat Thamarai telah bersetuju untuk menawarkan 6 hingga 8 ekar kepada peneroka. Namun demikian, sehingga hari ini, semua peneroka Gatco masih tidak ditawarkan tanah seperti yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut.

Setelah dimaklumkan bahawa peneroka-peneroka Gatco hanya ditawarkan tanah 4 ekar, peguam yang mewakili peneroka-peneroka Gatco telah menulis surat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan pada 25 Julai 2018, 28 Ogos 2018 dan 18 Jun 2019, untuk membangkitkan isu mengenai perjanjian yang pernah dibuat tersebut dan juga keperluan untuk melindungi hak peneroka. Namun, surat daripada peguam wakil peneroka Gatco masih tidak dibalas oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

Sebaliknya Veerapan Superamaniam selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan telah beberapa kali membuat pengumuman melalui laman facebook dan kenyataan akhbar sejak 25 November 2019, dengan mengatakan bahawa pihak berkenaan hanya menawarkan tanah seluas 4 ekar kepada peneroka asal dan tanah 2 ekar kepada pembeli.

Veerapan juga pernah hadir di Kampung Gatco pada 30 Jun 2018, dan sekali lagi pada 11 Julai 2018 bersama-sama dengan P. Gunasekaren (ADUN Seremban Jaya) dan M. Ravi (ADUN Sri Tanjung), di mana pada masa itu dia membuat pengumuman di hadapan hampir 80 orang peneroka Gatco bahawa peneroka asal akan diberi tanah seluas 8 ekar. Berita yang disiarkan dalam akhbar Makkal Osai pada 20 September 2018 melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan menawarkan tanah seluas 8 ekar kepada peneroka asal. Namun, tindakan Veerapan yang membuat pengumuman melalui media sosial bahawa peneroka asal hanya akan ditawarkan tanah 4 ekar ini menimbulkan kesangsian terhadap tindakannya.

Oleh itu, peneroka-peneroka Gatco membuat aduan polis untuk meminta pada pihak polis agar menyiasat tentang perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak berkenaan sekiranya terdapat penyelewengan dalam proses penawaran tanah kepada peneroka-peneroka Gatco.

Turut hadir bersama dengan peneroka-peneroka Gatco semasa membuat aduan polis ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Peneroka Gatco buat aduan polis: Tolak ugutan Exco Negeri Sembilan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *