Daniel Ortega terus menyandang jawatan Presiden Nicaragua selepas dia menang dalam Pilihanraya Umum Nicaragua baru-baru ini. Namun, kemenangan Ortega ini bukannya dicapai tanpa kontroversi. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya yang sentiasa hendak mengembalikan dominasi kuasa imperialis di negara Amerika Tengah tersebut enggan mengiktiraf keputusan Pilihanraya Umum Nicaragua dengan tujuan meningkatkan tekanan terhadap Kerajaan Nicaragua. Ini bukannya sesuatu yang mengejutkan, kerana Kerajaan AS mempunyai sejarah panjang dalam menaja kuasa reaksioner di Nicaragua.

Pilihanraya Umum Nicaragua diadakan pada 7 November 2021, untuk memilih Presiden, Ahli-ahli Parlimen dalam Perhimpunan Kebangsaan dan ahli-ahli perwakilan untuk Nicaragua dalam Parlimen Amerika Tengah. Pemimpin Fron Pembebasan Nasional Sandinista (FSLN), Daniel Ortega yang menjadi Presiden Nicaragua sejak tahun 2007, mengekalkan kekuasaannya dengan memenangi 75.87% undi dalam persaingan enam penjuru. Pesaing terdekatnya, Walter Espinoza daripada Parti Liberal Berperlembagaan (PLC), hanya memperoleh 14.33% undi. FSLN juga memenangi 75 daripada 90 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya.

Sejurus selepas pengundian selesai pada 7 November 2021, Presiden AS, Joe Biden, mengeluarkan satu kenyataan yang menyifatkan Pilihanraya Umum Nicaragua sebagai “pilihanraya pantomim” yang tidak demokratik. Kenyataan ini menunjukkan niat Kerajaan AS untuk meneruskan malah meningkatkan campurtangannya dalam politik Nicaragua, dengan matlamat untuk menjatuhkan pemerintahan FSLN, bukannya untuk “menyokong hak rakyat Nicaragua untuk menentukan nasib sendiri secara demokratik” seperti yang didakwanya, tetapi hanya untuk memastikan pentadbiran Nicaragua yang menggantikannya akan menjamin kepentingan politik-ekonomi imperialis AS di rantau Amerika Tengah.

Ancaman kuasa imperialis AS untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak sehaluan dengan kepentingannya bukan sesuatu yang baharu, kerana kebanyakan negara di Amerika Latin pernah dan sedang menghadapi ancaman sebegini, seperti Venezuela, Bolivia dan Kuba.

Walaupun ancaman campurtangan daripada kuasa imperialis AS terhadap politik Nicaragua itu harus dikecam, tetapi ini tidak bermakna Kerajaan Nicaragua yang dipimpin oleh Ortega sekarang ini tidak mempunyai apa-apa masalah.

Situasi di Nicaragua pada hari ini adalah kompleks. Ortega boleh menang dengan perbezaan undi yang besar dalam pilihanraya, walaupun nampaknya pengundi Nicaragua telah membuat satu pilihan yang jelas melalui peti undi, tetapi kemenangan selesa Ortega ini hanya tercapai selepas penindasan yang teruk ke atas golongan pembangkang yang mampu menggugat kekuasaannya, termasuk penahanan calon pilihanraya daripada pihak pembangkang dengan menggunakan undang-undang represif yang baharu digubal.

Memang wujudnya sebahagian golongan pembangkang berhaluan kanan yang mendapat sokongan dan tajaan daripada kuasa imperialis AS, namun golongan kiri yang mengkritik dasar pemerintahan Ortega yang semakin autoritarian itu turut ditekan, termasuk mereka yang pernah terlibat dalam proses revolusi Sandinista. Sebilangan pemimpin revolusioner yang pernah berjuang secara berganding bahu dengan Ortega, termasuk bekas komander gerila FSLN yang terkenal, Dora María Téllez dan Hugo Torres Jiménez, telah ditahan sejak bulan Jun 2021 dalam gelombang penangkapan besar-besaran terhadap anggota pembangkang di negara itu; sementara itu, bekas pemimpin FSLN seperti Luis Carrión Cruz pula terpaksa meninggalkan negara itu.

Kebanyakan orang yang ditahan semasa gelombang penangkapan terhadap anggota pembangkang di Nicaragua pada bulan Jun dan Julai 2021, telah didakwa di bawah undang-undang penderhakaan baharu yang digubal pada tahun 2020 dengan alasan untuk mempertahankan kedaulatan negara Nicaragua daripada ancaman kudeta oleh kumpulan yang ditaja oleh AS. Namun, ternyata undang-undang represif yang digubal itu telah digunakan secara pukul rata, tidak kira yang ditahan itu betul-betul merupakan budak suruhan AS atau tidak.

Rosario Murillo (kiri) dan Daniel Ortega (kanan) (foto: AFP)

Ortega dan isterinya, Rosario Murillo yang menjadi Naib Presiden Nicaragua sejak tahun 2017, memang pernah terlibat dalam perjuangan FSLN pada tahun 1970-an yang berjaya menjatuhkan pemerintahan kediktatoran Anastasio Somoza Debayle yang pro-AS pada tahun 1979. FSLN yang berkuasa pada tahun 1980-an telah melaksanakan pembaharuan sosial yang penting, seperti reformasi tanah, pengagihan semula kekayaan, pendidikan dan kesihatan, telah banyak memanfaatkan golongan miskin di Nicaragua dan menjadi inspirasi kepada golongan kiri di seluruh dunia.

Kerajaan AS yang tidak senang hati dengan kejayaan FSLN yang menjatuhkan kerajaan diktator yang rapat dengannya, telah menaja dan melatih kumpulan bersenjata berhaluan kanan, Contras, untuk melancarkan peperangan ke atas Kerajaan FSLN pada tahun 1980-an. FSLN kemudiannya tewas kepada gabungan parti politik yang disokong oleh AS dalam Pilihanraya Umum 1990. FSLN masih mengekalkan pengaruhnya dalam gerakan massa dan masyarakat luar bandar apabila ia menjadi pembangkang pada tahun 1990-an. Selepas menjadi pembangkang untuk 16 tahun, FSLN kembali berkuasa dengan memenangi Pilihanraya Umum pada tahun 2006.

Ortega telah memegang jawatan penting dalam Kerajaan FSLN apabila ia berkuasa pada tahun 1979. Namun, perpecahan berlaku dalam FSLN, dengan sebahagian daripada anggota FSLN tidak berpuas hati dengan Ortega dan isterinya Murillo yang semakin berganjak ke arah amalan autoritarian dan ketamakan kuasa. Golongan Sandinista yang tidak bersetuju dengan Ortega dan Murillo, telah membentuk gerakan yang lebih demokratik, tetapi kebanyakannya telah dipenjarakan atau terpaksa hidup dalam buangan di luar negara pada hari ini.

Apabila Ortega kembali berkuasa pada tahun 2007, dia telah menjenama semula dirinya sebagai seorang “Sosialis Kristian”, dengan sokongan daripada golongan konservatif termasuk gereja Katolik yang agak berpengaruh di Nicaragua. Kerajaan pasangan suami isteri Ortega-Murillo menjadi semakin autokratik sejak itu, dengan sering menggunakan alasan ancaman kudeta daripada pihak yang disokong oleh AS untuk mematahkan sebarang tentangan terhadap kerajaannya.

Walaupun tidak boleh dinafikan bahawa Kerajaan AS sentiasa berhasrat untuk melakukan perubahan rejim di Nicaragua untuk mengangkat sebuah kerajaan yang pro-AS di negara itu, tetapi kerajaan Ortega-Murillo telah menjelma kepada sebuah rejim yang mengekalkan kuasa semata-mata melalui penindasan dan keganasan. Satu gelombang protes besar-besaran tercetus di Nicaragua pada bulan April 2018, bermula daripada kempen membantah cadangan kerajaan untuk merombak semula sistem pencen, kemudiannya berkembang menjadi protes menuntut pengunduran kerajaan Ortega-Murillo. Mereka yang berprotes telah diserang oleh militia yang pro-kerajaan. Lebih 300 orang terbunuh dalam protes pada tahun 2018 itu.

Kerajaan Ortega-Murillo memperkenalkan undang-undang penderhakaan yang baharu pada bulan Disember 2020, yang boleh memenjarakan mereka yang dianggap sebagai “pengkhianat negara” sehingga 15 tahun dan melarang mereka daripada bertanding dalam pilihanraya. Sokongan kuat daripada AS kepada sebahagian anggota pembangkang di Nicaragua telah memberi alasan kepada Kerajaan Nicaragua untuk memperkenalkan undang-undang penderhakaan baharunya. Namun, undang-undang represif tersebut bukan sahaja digunakan ke atas pembangkang yang rapat dengan AS, tetapi mereka yang masih mendukung aspirasi Sandinista juga dijadikan sasaran hanya kerana mereka mengkritik pemerintahan Ortega-Murillo yang semakin autokratik.

Dengan Kerajaan AS sentiasa cuba membawa sebuah kerajaan yang pro-AS di Nicaragua, dan pada masa yang sama Kerajaan Ortega-Murillo semakin represif dan menyeleweng, rakyat Nicaragua memang menghadapi kesukaran dalam pilihan politik mereka. Undi yang banyak kepada FSLN dalam Pilihanraya Umum menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Nicaragua menolak campurtangan kuasa imperialis AS, tetapi mereka tidak mempunyai pilihan yang lebih baik daripada Ortega-Murillo, kerana semua alternatif berhaluan kiri, termasuk mereka yang pernah mendedikasikan hidup mereka dalam perjuangan Sandinista itu, telah ditindas dengan teruk, sama ada dipenjarakan ataupun terpaksa hidup dalam buangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *