Banjir teruk yang melanda negara-negara Eropah seperti Jerman, Belgium, Itali, Austria dan Romania, sejak bulan Julai 2021, sudah mengorbankan nyawa lebih 220 orang; banjir di negeri Maharashtra, India, pada bulan Julai 2021, telah meragut nyawa lebih 250 orang; banjir di wilayah Henan, China, pada bulan Julai 2021, telah meragut nyawa lebih 300 orang; gelombang haba yang memecah rekod melanda Rusia pada bulan Mei dan Jun 2021, diikuti dengan kebakaran hutan di Siberia dan bahagian kawasan Timur Jauh Rusia; gelombang haba melanda benua Amerika Utara pada bulan Jun hingga Julai 2021, menyebabkan kematian lebih 1,000 orang… Semua bencana alam terbaru yang disebabkan oleh gejala cuaca yang ekstrim ini merupakan petanda bahawa krisis iklim semakin teruk, dan ini telah disokong oleh laporan daripada ahli sains iklim dunia yang diterbitkan baru-baru ini.

Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) menerbitkan laporan terbarunya, “Perubahan Iklim 2021: Asas Sains Fizikal”, dengan mengemukakan fakta bahawa secara jelasnya aktiviti manusia telah memanaskan planet Bumi kita pada kadar yang tidak pernah wujud dalam tempoh seratus tahun kebelakangan ini berbanding 2,000 tahun dahulu. Menurut laporan ini, ahli-ahli sains mendapati bahawa terdapatnya perubahan ketara dalam iklim Bumi yang sedang berlaku di setiap rantau dan seluruh sistem iklim. Banyak perubahan ini tidak pernah berlaku sebelum ini dalam tempoh ribuan tahun (jika bukan ratusan ribu tahun), dan sebahagian daripada perubahan ini (seperti kenaikan paras laut) adalah tidak dapat dibalikkan atau dipulihkan dalam tempoh ribuan tahun.

Laporan daripada Kumpulan Kerja I IPCC yang diterbitkan pada 9 Ogos 2021 ini, merupakan bahagian pertama Laporan Penilaian Keenam (AR6) IPCC dan akan disusuli dengan dua lagi laporan kumpulan kerja. Laporan Kumpulan Kerja I (WGI) yang diterbitkan baru-baru ini memberi fokus kepada asas sains fizikal untuk perubahan iklim. Laporan Kumpulan Kerja II (WGII) yang menilai impak, strategi adaptasi dan kerentanan yang berkaitan dengan perubahan iklim dijadualkan untuk diterbitkan pada bulan Februari 2022;  Laporan Kumpulan Kerja III (WGIII) yang memfokus pada mitigasi terhadap perubahan iklim dijangka akan diterbitkan pada bulan Mac 2022; sementara Laporan Sintesis yang memberi rumusan dan gambaran menyeluruh berdasarkan tiga laporan Kumpulan Kerja dan tiga Laporan Khas (Pemanasan Global 1.5°C, Perubahan Iklim dan Tanah, Lautan dan Kriosfera dalam Iklim yang Berubah), dijangka akan diterbitkan pada bulan September 2022. Usaha menyediakan laporan IPCC ini telah diganggu oleh pandemik COVID-19 dan penerbitannya telah ditangguhkan untuk beberapa bulan, di mana ahli-ahli sains yang bekerjasama dalam penyediaan laporan ini terpaksa mengadakan persidangan secara atas talian.

Perubahan suhu permukaan bumi dalam tempoh 2,000 tahun. (sumber: IPCC)

Antara penemuan yang dikemukakan dalam laporan “Perubahan Iklim 2021: Asas Sains Fizikal”, termasuk:

  • Suhu permukaan global adalah 1.09°C lebih tinggi pada dekad antara tahun 2011-2020 berbanding tempoh antara tahun 1850-1900.
  • 5 tahun kebelakangan ini merupakan tempoh yang paling panas dalam rekod sejak tahun 1850.
  • Kadar kenaikan paras laut pada masa kini hampir tiga kali ganda berbanding tahun 1901-1971.
  • Pengaruh aktiviti manusia “berkemungkinan besar” (90%) merupakan punca utama kepada pengurangan glasier di peringkat dunia sejak tahun 1990-an dan juga pengurangan dalam ais laut di Artik.
Graf perubahan dalam suhu permukaan bumi seperti yang diperhatikan, dan simulasi berdasarkan faktor manusia-alam semulajadi dan alam semula jadi sahaja, menunjukkan impak aktiviti manusia kepada peningkatan suhu global. (sumber: IPCC)

Laporan IPCC terbaru ini meramalkan peningkatan suhu dunia akan mencecah 1.5°C melebihi tahap pra-industri (tahun 1850-1900) pada tahun 2040 dan melebihi 2°C pada penghujung abad ini. Sekiranya pelepasan karbon ke atmosfera tidak dikurangkan secara drastik dalam beberapa tahun akan datang, senario peningkatan suhu 1.5°C akan berlaku lebih awal lagi. Sudah pasti ini adalah bertentangan dengan hasrat mengehadkan peningkatan suhu di bawah 1.5°C seperti yang dipersetujui oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia dalam Perjanjian Iklim Paris 2015.

Perubahan iklim yang disebabkan oleh peningkatan suhu dunia, membawa kepada perubahan kelembapan dan kekeringan, angin, salji dan ais, kawasan pesisiran laut dan kawasan lautan, sehingga mengakibatkan fenomena perubahan corak hujan, peningkatan paras laut, suhu panas yang melampau dan juga kejadian bencana alam yang semakin teruk kesannya. Bencana alam yang diakibatkan oleh perubahan iklim sedang menjejaskan kehidupan rakyat di merata tempat, khususnya negara miskin dan golongan yang miskin.

Walaupun dunia kita mampu mengehadkan pemanasan global dalam lingkungan 1.5°C, sesetengah kesan jangka masa Panjang akibat daripada pemanasan yang sudah berlaku kini adalah sukar untuk dibalikkan, seperti peningkatan paras laut, peleburan ais Artik, dan pemanasan serta pengasidan lautan. Menurut ahli-ahli sains di IPCC, pengurangan pelepasan karbon secara drastik boleh mencegah krisis iklim yang lebih teruk lagi, tetapi masih tidak akan mengembalikan dunia kita kepada corak cuaca yang lebih sederhana seperti zaman dahulu.

António Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengatakan bahawa laporan IPCC terbaru ini merupakan “kod merah untuk umat manusia”. “Kita memerlukan tindakan serta-merta ke atas tenaga. Tanpa pengurangan pencemaran karbon yang mendalam sekarang, matlamat 1.5°C akan menemui kegagalan dengan cepatnya. Laporan ini mesti membawa bunyi maut untuk arang batu dan bahan api fosil, sebelum mereka memusnahkan planet kita. Seharusnya tiada lagi loji arang batu dibina selepas tahun 2021. Negara-negara OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi) harus menghentikan arang batu yang sedia ada selewat-lewatnya pada tahun 2030, dengan semua yang lain mengikutinya pada tahun 2040. Negara-negara juga harus menghentikan semua cari gali dan pengeluaran bahan api fosil yang baharu, dan mengalihkan subsidi bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui. Menjelang tahun 2030, kapasiti solar dan angin patut meningkat sebanyak empat kali ganda dan pelaburan tenaga boleh diperbaharui patut meningkat sebanyak tiga kali ganda untuk mengekalkan trajektori sifar bersih menjelang pertengahan abad ini,” kata Guterres dalam kenyataannya.

Laporan IPCC terbaru ini dijangka akan memberi pemberat kepada desakan untuk pemimpin-pemimpin dunia mengambil tindakan segera dalam menangani krisis iklim. Persidangan Perubahan Iklim PBB ke-26 (COP26) akan berlangsung di Glasgow, Scotland, pada bulan November 2021, dan ia akan menjadi satu medan kepada perbincangan untuk meningkatkan usaha menangani krisis iklim.

Namun, pemimpin-pemimpin kerajaan yang dipengaruhi oleh kepentingan korporat tidak akan mengambil tindakan drastik dalam menangani krisis iklim sekiranya tindakan sedemikian boleh menjejaskan keuntungan korporat. Desakan daripada rakyat yang hebat amat diperlukan.

Perubahan sistem diperlukan untuk menangani krisis iklim dan mengelakkan Bumi kita daripada terjerumus dalam malapetaka iklim buatan manusia yang lebih teruk lagi. Perubahan sistem ini bukannya hanya sekadar “perubahan minda” pada kerajaan atau syarikat korporat atau individu dalam masyarakat. Perubahan sistem bermakna transformasi dalam hubungan ekonomi, sosial dan politik, supaya pengeluaran masyarakat dipindahkan ke bawah kawalan demokratik yang kolektif oleh rakyat pekerja dan menjalani perancangan secara sedar yang mengutamakan kesejahteraan lestari masyarakat. Ia ialah revolusi yang berasaskan kuasa rakyat, melibatkan mobilisasi dan aksi massa yang disertai oleh rakyat pekerja, demi kelangsungan hidup masyarakat sedunia.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

4 thoughts on “Laporan IPCC: Kod merah untuk umat manusia hadapi krisis iklim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *