20190313 - earth cool - logo.jpg

Perubahan iklim global akibat daripada aktiviti masyarakat manusia yang membebaskan karbon ke atmosfera sedang mengancam kehidupan masyarakat sedunia. Glasier semakin merosot, ais laut semakin hilang, paras laut semakin meningkat, lautan semakin panas, cuaca semakin tidak menentu, flora dan fauna di merata tempat terkesan dengan pemanasan global. Penduduk dunia juga semakin kerap menghadapi bencana alam yang luar biasa dan dahsyat, seperti ribut, banjir, cuaca panas yang melampau dan kemarau yang berpanjangan.

Dengan pemanasan global yang semakin teruk, aktiviti pertanian semakin terkesan dan ini menjejaskan jaminan bekalan makanan kepada manusia. Atmosfera yang lebih panas turut menyebabkan pembentukan jerebu yang lebih kerap dan memburukkan lagi pencemaran udara yang memudaratkan kesihatan orang ramai.

Penempatan di pesisir pantai akan terjejas dengan kenaikan paras air laut. Paras air laut sedunia telah naik lebih kurang 8 inci sejak tahun 1880, dan dijangkakan akan naik sebanyak 1 hingga 4 kaki pada tahun 2100. Kenaikan paras air ini terjadi akibat daripada peleburan ais di muka bumi dan perluasan air laut apabila dipanaskan.  Gelombang haba yang melampau mengakibatkan kemarau yang berpanjangan dan menjejaskan bekalan air bersih kepada rakyat biasa.

Laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) pada tahun 2007 telah menyimpulkan bahawa punca utama pembebasan gas rumah hijau (iaitu penyebab pemanasan bumi) datang daripada aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil. Laporan tersebut mengemukakan ramalan yang paling buruk untuk kenaikan suhu purata dunia bagi abad ke-21 adalah antara 2.4 hingga 6.4 darjah selsius, dengan paras air laut naik sebanyak 23 hingga 51 cm (9 hingga 20 inci).

20190117 - 10years challenge.jpg

Atmosfera bumi sudah terlampau tepu dengan karbon

Pemanasan bumi untuk 200 tahun yang lalu disebabkan secara utamanya oleh aktiviti manusia yang melepaskan gas rumah hijau seperti karbon dioksida (CO2), metana (CH4), nitrus oksida (N2O), hidrofluorokarbon (HFC), perfluorocarbon (PFC) dan sulfur heksafluorida (SF6). Pembakaran bahan api fosil dalam penjanaan tenaga dan penggunaan kenderaan berenjin motor, telah menyumbang jumlah pelepasan karbon di atmosfera yang terlalu banyak sehingga mengancam masyarakat manusia sendiri.

Peningkatan suhu yang semakin tinggi dan cepat yang menjadikan dunia kita semakin panas, mengancam pertanian yang menghasilkan sumber makanan untuk manusia. Tanpa pembekalan makanan yang terjamin, masyarakat kita akan menghadapi ancaman kebuluran, penularan penyakit dan peperangan.

Usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon ke atmosfera bumi sudah bermula sejak beberapa dekad dahulu. Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 3-14 Jun 1992 telah merundingkan satu perjanjian alam sekitar antarabangsa yang dipanggil Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), dengan objektif “menstabilkan ketepuan gas rumah hijau di atmosfera pada tahap yang akan menghalang gangguan antropogenik berbahaya dengan sistem iklim”. Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di bawah kerangka UNFCCC telah diadakan setiap tahun sejak tahun 1995. Satu perjanjian UNFCCC yang bersifat mengikat secara undang-undang, Protokol Kyoto, telah dikemukakan pada tahun 1997 dan mula berkuatkuasa tahun 2005, tetapi sasaran pengurangan pelepasan karbon yang ditetapkannya terlalu rendah dan tidak mencukupi untuk menangani krisis iklim yang semakin hebat.

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2015 di Paris, berjaya menghasilkan Perjanjian Iklim Paris yang bertujuan untuk memastikan negara-negara yang menandatanganinya menetapkan langkah-langkah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, bermula dari tahun 2020. Perjanjian Iklim Paris bermatlamat untuk:

  1. Menahan “peningkatan suhu purata global rata-rata jauh di bawah 2°C melebihi tahap-tahap pra-industri serta mencari usaha-usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu kepada 1.5 °C melebihi tahap pra-industri”;
  2. Meningkatkan kemampuan menyesuaikan diri kepada impak-impak buruk perubahan iklim, menzahirkan daya tahan iklim dan pembangunan pelepasan gas rumah hijau, tanpa mengancam pengeluaran makanan;
  3. Menjadikan pembiayaan konsisten dengan jalan ke arah pelepasan gas rumah hijau yang rendah serta pembangunan tahan iklim.

Menurut Laporan Khas mengenai Pemanasan Global 1.5 °C yang diterbitkan oleh IPCC pada 8 Oktober 2018, menghadkan peningkatan suhu purata dunia pada 1.5 °C adalah berkemungkinan tetapi memerlukan “pengurangan pelepasan yang mendalam” dan “perubahan yang cepat, meluas dan tidak pernah dilakukan dalam semua aspek masyarakat”. Laporan tersebut juga mengatakan bahawa menghadkan pemanasan bumi dalam lingkungan 1.5 °C berbanding 2 °C akan mengurangkan kesan-kesan buruk terhadap ekosistem, kesihatan dan kesejahteraan masnusia, kerana peningkatan suhu ke 2 °C akan memburukkan lagi impak alam sekitar seperti cuaca yang ekstrim, peningkatan paras laut yang lebih cepat, pengurangan hebat ais laut di Artik, kepupusan terumbu karang dan kehilangan ekosistem yang sensitif pada perubahan suhu.

Pelepasan gas rumah hijau sebenarnya sudah melepasi had yang sepatutnya untuk membendung bencana iklim. Tiada lagi sebarang tambahan pelepasan gas rumah hijau di atmosfera adalah selamat untuk manusia. Kita perlu menghentikan pelepasan gas rumah hijau dengan secepat mungkin dan bukan lagi retorik kosong. Mengurangkan pelepasan haba secara signifikan memerlukan perubahan secara dasar, perubahan kepada sistem yang sedia ada. Sistem kapitalis yang berasaskan pemaksimuman keuntungan korporat dengan dipacukan oleh pembakaran bahan api fosil dan penggondolan sumber alam semula jadi yang tidak terkawal, perlu diubah dan digantikan dengan alternatif yang mengutamakan kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat biasa.

Cara pengurangan pelepasan yang diperkenalkan oleh kerajaan yang dipengaruhi kepentingan kapitalis, seperti skim perdagangan pelepasan karbon, bukannya penyelesaian yang berkesan. Skim-skim sebegini penuh dengan kelemahan dan direkacipta untuk membolehkan mereka yang mencemar alam untuk melambat-lambatkan usaha pengurangan pelepasan karbon.

Cukai karbon yang diperkenalkan oleh sesetengah kerajaan juga bermasalah kerana ia memberi impak kepada golongan berpendapatan rendah sedangkan tidak menangani masalah pelepasan karbon secara efektif. Kerajaan sepatutnya mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi untuk golongan mahakaya supaya kutipan daripada cukai progresif sebegini dapat dilaburkan dalam teknologi mengurangkan pelepasan karbon, bukannya mengenakan cukai ke atas molekul karbon itu.

Kita tidak patut membiarkan kepentingan korporat yang mengutamakan keuntungan modal itu menguasai dasar kerajaan untuk menyelamatkan bumi kita daripada bencana krisis iklim.

Untuk menghentikan pelepasan karbon yang memburukkan krisis iklim, masyarakat sedunia perlu mengambil tindakan untuk:

  • Menuju tenaga boleh diperbaharui 100%
  • Kenakan cukai lebih tinggi untuk golongan mahakaya dan korporat besar supaya memperoleh lebih dana yang dapat dilaburkan dalam teknologi hijau yang mampu menjana lebih peluang pekerjaan hujiau untuk pekerja biasa
  • Tingkatkan pengangkutan awam yang menjimatkan penggunaan tenaga
  • Kekalkan bahan api fosil di bawah tanah
  • Perlindungan dan bantuan kepada masyarakat yang terkesan kerana krisis iklim

Malaysia tidak dapat dikecualikan daripada usaha memerangi krisis iklim

Negara Malaysia yang selalu dianggap sebagai sebuah negara yang bertuah kerana bebas daripada bencana alam yang dahsyat sebelum ini, juga sedang diancam oleh pemanasan global. Kita semakin kerap dilanda cuaca yang ekstrim, suhu panas yang melampau, ribut yang teruk, banjir yang serius dan sebagainya. Kawasan pesisir laut di negara kita akan terkesan dengan kenaikan paras air laut dan kemungkinan besar kawasan rendah di banyak tempat akan tenggelam di bawah air pada masa akan datang. Rezeki petani dan nelayan kita pastinya akan terjejas dengan perubahan iklim, sementara jaminan bekalan makanan untuk rakyat jelata turut diancam.

Kerajaan Malaysia telah mengemukakan Dasar Perubahan Iklim Negara yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada tahun 2009, dengan objektif:

  • Mengarusperdanakan perubahan iklim melalui pengurusan sumber yang bijaksana dan pemuliharaan alam sekitar yang dipertingkatkan untuk memperkukuhkan daya saing ekonomi dan kualiti hidup;
  • Mengintegrasikan respons bagi memperkuatkan daya tahan pembangunan terhadap perubahan iklim yang semasa dan yang dijangka ke dalam dasar nasional, pelan dan program negara;
  • Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan untuk memanfaatkan peluang baru dalam mengurangkan impak negatif perubahan iklim.

Namun, Kerajaan Malaysia masih terperangkap dalam kerangka pemikiran ekonomi neoliberal dalam menangani isu krisis iklim. Antra contohnya, salah satu tindakan utama yang digariskan dalam Dasar Perubahaan Iklim Negara berbunyi begini:

Menggalakkan ekonomi rendah karbon dengan memperuntukkan kewangan yang mencukupi dan teknologi yang bersesuaian melalui saluran berikut :

  • Mekanisme pasaran;
  • Kewangan dan insentif fiskal dan disinsentif;
  • Perkongsian bijak sektor awam dan swasta; dan
  • Penglibatan sektor kewangan dan insurans.

Pasaran kapitalis yang membenarkan perlumbaan untuk pemaksimuman keuntungan korporat itulah yang mengundang pelbagai krisis dunia termasuk krisis iklim. Kenapa masih berpegang kuat pada mekanisme pasaran untuk penyelesaian masalah? Perkongsian sektor awam dan swasta, sama ada bijak atau tidak bijak, hanyalah satu nama lain yang lebih sedap didengari untuk “penswastaan” (iaitu menggadaikan harta awam kepada golongan korporat swasta untuk tujuan keuntungan korporat). Sektor kewangan dan insurans yang didominasi oleh kapitalis kewangan, telah membawa kepada krisis kewangan yang berulang-ulang dan rakyat biasa yang terpaksa menanggung kesan buruk setiap kali berlaku krisis kewangan. Kenapa masih mahu melibatkan kapitalis kewangan dan insurans dalam urusan melindungi kepentingan awam? Mungkin ini bukan sesuatu yang ganjil, kerana Kerajaan Pakatan Harapan yang baru juga melibatkan syarikat insurans swasta dalam perkara penjagaan kesihatan awam untuk rakyat B40. Ini merupakan satu trend yang membimbangkan.

Dalam Inisiatif Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dalam Perubahan Iklim (MESTECC) bagi tahun 2019 yang dilancarkan pada 28 Januari 2019, di bawah kategori “Menangani Perubahan Iklim”, telah disenaraikan langkah-langkah berikut:

  • Menubuhkan Pusat Perubahan Iklim Kebangsaan (NCCC)
  • Membangunkan Pelan Mitigasi dan Adaptasi untuk Perubahan Iklim
  • Melaksanakan Kalkulator Karbon 2050
  • Memperkuatkan kapasiti negara untuk pelaksanaan efektif Perjanjian Paris
  • Mendraf Rang Undang-Undang untuk Akta Perubahan Iklim 2021
  • Bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk meningkatkan kesediaan dan memperbaiki amaran awal dan respon kepada bencana alam yang berkemungkinan
  • Meningkatkan alat peramal RaINS untuk amaran bencana

Walaupun Kerajaan Malaysia nampaknya menyedari tentang ancaman perubahan iklim, menyatakan komitment terhadap Perjanjian Iklim Paris dan adanya langkah-langkah yang tertulis atas kertas untuk menanganinya, namun pembuat dasar dan pentadbir dalam kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih drastik dengan kesungguhan politik sebenar untuk melaksanakan dasar yang mengelakkan kita daripada ancaman bencana krisis iklim. Sememangnya pelaksanaan dasar melindungi alam sekitar dan mengurangkan pencemaran alam akan bercanggah dengan kepentingan sebahagian pemodal yang menjana keuntungan daripada kegiatan menghancurkan alam sekitar, tetapi kerajaan perlu mempunyai kesungguhan politik untuk mencabar kekuasaan golongan pemodal besar ini, bukan berjinak-jinak dengan mereka melalui dasar pro-bisner atau kononnya “perkongsian bijak sektor awam dan swasta”.

Kita memerlukan anjakan paradigma dalam usaha menangani ancaman krisis iklim, iaitu menyedari sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan korporat itulah punca kepada pencemaran alam dan mengambil tindakan untuk mengubah sistem dengan menggantikannya dengan alternatif yang berasaskan perlindungan kepada kelestarian ekologi dan penglibatan demokratik yang sebenar daripada rakyat biasa. Penyelesaian untuk krisis iklim yang mengancam masyarakat manusia terletak dalam tangan rakyat yang merealisasikannya melalui kuasa rakyat dari bawah.

3 thoughts on “Bertindak sekarang sebelum terlambat untuk tangani krisis iklim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *