Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

Kehidupan rakyat marhaen telah bertambah susah kerana pandemik COVID-19, tetapi semangat untuk memperjuangkan tuntutan rakyat demi perubahan yang lebih baik bagi semua masih kuat dalam kalangan masyarakat akar umbi. Wakil daripada pelbagai sektor akar umbi telah menyuarakan tuntutan rakyat marhaen dalam satu sesi forum Himpunan Marhaen semalam (17 Oktober 2021).

Kemuncak Himpunan Marhaen bersempena dengan Hari Antarabangsa untuk Pembasmian Kemiskinan pada 17 Oktober 2021, menyaksikan dua forum dan satu konsert atas talian. Salah satu aktiviti, iaitu Forum Akar Umbi yang bertemakan “Pandemik, Kemiskinan, Perjuangan”, membariskan ahli-ahli panel seperti Tijah Yok Chopil selaku wakil masyarakat Orang Asli, R. Karthiges selaku wakil Gabungan Perumahan, Husin bin Mohamad selaku wakil pekerja daripada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Harith Zulfaisal selaku wakil Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF) dan R. Gandi selaki wakil Jaringan Penternak Nasional Marhaen. Ahli-ahli panel ini telah membentangkan kesimpulan masalah dan tuntutan yang dikemukakan oleh warga marhaen di sektor-sektor masing-masing sepanjang siri forum Himpunan Marhaen yang berlangsung dari 12 hingga 17 Oktober 2021. Satu lagi forum yang diadakan pada 17 Oktober 2021 ialah Forum Pakar dengan tema yang sama.

Dalam menyimpulkan isu perumahan yang dihadapi oleh rakyat marhaen, R. Karthiges berkata, “Kami yakin bahawa perumahan ialah hak rakyat dan bukannya komoditi yang dijual beli untuk keuntungan segelintir kecil golongan korporat.” Tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Perumahan Marhaen ialah:

  • Membina lebih banyak rumah sewa PPR yang selesa untuk golongan B20;
  • Membina lebih banyak rumah sewa beli yang selesa untuk golongan B40 yang tidak mampu membayar pinjaman bank pembelian rumah;
  • Membina lebih banyak rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM100,000 untuk golongan M40;
  • Kerajaan tidak harus meniagakan tanah;
  • Melaksanakan skim perumahan untuk masyarakat peneroka bandar sebelum tanah mereka digunakan untuk pembangunan, dan menghentikan pengusiran paksa;
  • Menghentikan lelong rumah masyarakat marhaen dan menawarkan penstrukturan semula pinjaman bank yang adil kepada mereka;
  • Melaksanakan skim perumahan kepada masyarakat pekerja ladang;
  • Kerajaan harus mensubsidi rumah pertama rakyat;
  • Menubuhkan amanah (trust) khas untuk membina rumah kepada rakyat biasa di mana rumah tersebut tidak boleh dijual di pasaran;
  • Kerajaan tempatan harus mengambilalih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah dan hanya mengenakan sejenis cukai sahaja ke atas penduduk rumah pangsa kos rendah.

Husin bin Mohamad mengatakan bahawa pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan, seperti pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan, yang diupah oleh kontraktor swasta untuk bekerja di bangunan-bangunan kerajaan, menghadapi masalah ketidakjaminan kerja, gaji yang sangat rendah dan hak mereka sering diabaikan. Terdapat syarikat kontraktor yang melanggar undang-undang buruh, seperti tidak membayar gaji mengikut kadar yang sepatutnya, tiada masa rehat, tidak mencarum KWSP atau PERKESO walaupun sudah memotong daripada gaji dan sebagainya. Husin menegaskan tuntutan JPKK untuk menghapuskan sistem kontrak dalam perkhidmatan sokongan di premis kerajaan supaya mengembalikan jaminan kehidupan kepada pekerja-pekerja bawahan.

Harith Zulfaisal telah melaporkan hasil perbincangan dan tuntutan pekerja tindak formal yang dikemukakan dalam forum “Pekerja Gig: Cabaran dan Masa Depan” yang diadakan pada 14 Oktober 2021. Harith menerangkan tentang apa dimaksudkan pekerjaan tidak formal, di mana ia meliputi semua pekerjaan yang tidak menawarkan perlindungan sosial kepada pekerja-pekerjanya, termasuk mereka yang bekerja secara kontrak atau bekerja sendiri. Antara contoh pekerja tidak formal ialah pemandu e-hailing, pekerja servis penghantaran, pekerja di warung kecil tepi jalan, pekerja domestik, pekerja seks dan sebagainya. Harith membangkitkan isu jurang maklumat yang wujud di mana survei tenaga buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan 18% daripada seluruh tenaga kerja di negara kita berada dalam sektor tidak formal tetapi laporan KWSP pula menunjukkan 62% daripada warga Malaysia yang berumur kerja tidak mempunyai sebarang perlindungan keselamatan sosial.

Harith berkata bahawa pekerja-pekerja tidak formal menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan kerana pandemik sepanjang dua tahun ini. Oleh sebab pekerja-pekerja tidak formal ini tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955, tidak dijamin di bawah Perintah Gaji Minimum, tidak mempunyai perlindungan sosial dan tidak menikmati hak untuk menubuhkan kesatuan sekerja, maka mereka menghadapi kesusahan yang lebih besar berbanding pekerja-pekerja formal. Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF) berhasrat untuk memperjuangkan kondisi pekerjaan dan perlindungan sosial yang lebih baik bagi pekerja-pekerja sektor tidak formal. Harith berharap mereka yang terlibat dalam pekerjaan dalam sektor tidak formal dapat menyertai JPTF untuk memperjuangkan hak pekerja secara bersama.

Tijah Yok Chopil menyenaraikan beberapa isu yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli, termasuk masalah persempadanan tanah rizab Orang Asli yang ditentukan kerajaan tanpa perundingan dengan masyarakat Orang Asli, proses pengambilan tanah adat Orang Asli untuk pembangunan yang tidak telus, kegagalan kerajaan dalam menghormati keputusan mahkamah berkaitan dengan hak tanah Orang Asli, pembangunan yang tidak berfaedah kepada masyarakat Orang Asli (seperti pembalakan dan perlombongan) dan sebagainya. “Sebenarnya Orang Asli tidak miskin. Tetapi kenapa mereka sekarang jadi miskin? Jika tanah wilayah adat Orang Asli tidak diceroboh, kami cukup makan kerana sumber di sekeliling kami sudah mencukupi. Kami tidak miskin kerana semuanya ada. Tetapi masalahnya di sini adalah Orang Asli menjadi miskin apabila kehilangan tanah wilayah adat,” kata Tijah.

Menurut Tijah, masyarakat Orang Asli yang mempunyai tanah wilayah adat yang cukup dapat mengharungi pandemik COVID-19 dengan lebih baik, kerana mereka dapat mengakses sumber makanan yang mencukupi, tetapi masyarakat Orang Asli yang tinggal di pinggir hutan dan kehilangan sebahagian besar tanah adat mereka mengalami hidup yang paling susah sehingga perlukan bantuan luar sementara menunggu tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tijah berpandangan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu menyelaraskan usaha mereka dengan penglibatan Orang Asli dalam mengiktiraf hak tanah adat masyarakat Orang Asli. Tijah juga menegaskan bahawa semua pembangunan yang melibatkan tanah adat Orang Asli harus dibincang bersama dan mendapat persetujuan daripada masyarakat Orang Asli. “Orang Asli perlukan kebebasan untuk menentukan pembangunan dan hala tuju diri sendiri. Kami tidak mahu dikongkong dan ditentukan nasib kami oleh orang lain. Kerajaan hanya patut berperanan untuk menyokong apa yang dikehendaki Orang Asli bukannya menentukan apa yang patut diterima Orang Asli,” ulas Tijah.

R. Gandi berkata bahawa jaminan makanan adalah perkara yang penting untuk masyarakat kita. Golongan petani, pesawah, penternak dan nelayan memainkan peranan penting dalam mewujudkan jaminan makanan. R. Gandi melahirkan perasaan kekecewaannya kerana walaupun negara kita mempunyai sumber alam yang mencukupi dan iklim yang sesuai, tetapi sektor pertanian dan penternakan yang membekalkan makanan tidak diberikan fokus yang mencukupi daripada pihak kerajaan. “Sektor ini merupakan nadi ekonomi negara yang perlukan perhatian yang lebih serius,” tegas kata Gandi.

Gandi membentangkan tuntutan yang dibawa oleh golongan petani, penternak dan nelayan, yang termasuk:

  • Pinda undang-undang tanah untuk menghentikan pengusiran paksa terhadap petani, penternak dan nelayan;
  • Tubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyelaras tanah yang diusahakan oleh petani;
  • Tanah yang diusahakan oleh petani harus dikekalkan dan petani patut diberi pajakan atau sewaan untuk tempoh 10-30 tahun;
  • Kawal harga benih padi dan naikkan subsidi kepada pesawah;
  • Sediakan subsidi kepada semua sektor pengeluaran makanan;
  • Tubuhkan tribunal petani, pesawah, penternak dan nelayan supaya mereka dapat mengutarakan masalah mereka, mengemukakan cadangan dan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Forum Akar Umbi ini telah menyenaraikan banyak isu dan tuntutan daripada rakyat marhaen untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sejahtera dan adil. Tuntutan-tuntutan rakyat marhaen ini akan terus diperjuangkan oleh semua orang yang sudi melibatkan diri dalam organisasi dan mobilisasi dari bawah demi perubahan sebenar.

==========

Gabungan Marhaen ialah sebuah gabungan gerakan masyarakat yang terdiri daripada komuniti-komuniti akar umbi, kolektif-kolektif masyarakat, kesatuan-kesatuan sekerja, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang progresif dan aktivis-aktivis masyarakat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *