oleh Ahmad Yasin

Tuntutan dinafikan dan hak tidak ditegakkan, merupakan perkara yang dihadapi oleh pekerja-pekerja informal di merata tempat. Tidak kira siapa mereka, pemandu-pemandu e-panggilan dan penghantar-penghantar makanan yang anda marahi kerana kelewatan penghantaran, mak cik yang menjual nasi lemak kepada anda pada awal pagi, artis solekan untuk pengantin yang masih kelihatan sama selepas pencantikan, penulis bebas yang menulis tanpa berhenti untuk penerbitan yang tidak akan menerbitkannya, pengarah teater yang tanpa makanan untuk berhari-hari, pekerja-pekerja seks dengan lebam ditutupi sementara menunggu di lorong-lorong yang tidak berlampu, inilah orang-orang yang kehidupan mereka sepatutnya diberi perhatian tetapi diabaikan oleh negara.

Ini merupakan sebahagian daripada isu-isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli panel yang berucap dalam forum Himpunan Marhaen yang bertajuk “Pekerja Gig: Cabaran dan Masa Depan”. Lebih 80 orang peserta mengambil bahagian dalam sesi diskusi yang sangat menarik dan penuh pencerahan ini. Forum ini dianjurkan oleh sebuah gabungan baharu yang dikenali sebagai Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF). JPTF ditubuhkan atas inisiatif Pemuda Sosialis. Forum yang diadakan semalam (14 Oktober 2021) ini menyediakan platform kepada pekerja-pekerja informal seperti pemandu-pemandu e-hailing dan wakil komuniti pekerja seks untuk menyampaikan pandangan mereka. Dalam sesi forum selama dua jam ini, ahli-ahli panel telah berkongsi tentang beban yang dipikul oleh pekerja-pekerja informal, menceritakan kisah-kisah mereka didiskriminasi, menganalisis sektor pekerja informal, dan melancarkan sebuah kempen baharu untuk menyatukan semua pekerja informal di Malaysia.

Menurut laporan KWSP, 62% warga Malaysia yang mencapai umur bekerja tidak dilindungi apa-apa perlindungan sosial yang formal. 62% warga Malaysia yang berumur bekerja ini merangkumi pelbagai pekerjaan tidak formal dan sangat terkesan dengan cabaran-cabaran ekonomi yang berbeza dari segi skala dan sifat berbanding dengan mereka yang bekerja dalam sektor formal dan juga sesama mereka sendiri dalam jenis pekerjaan yang berlainan. Cabaran-cabaran ini wujud kerana beberapa faktor yang berbeza, termasuk tidak dijamin faedah berkanun minimum di bawah Akta Kerja 1855. Mereka tidak mempunyai jaminan gaji minimum, tidak mempunyai perlindungan undang-undang buruh, dan tidak menikmati hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja.

Antara cerita-cerita diskriminasi yang diberitahu oleh Jane dan Nasha, wakil pekerja sosial daripada Seed Foundation yang mengendalikan isu-isu pekerja seks, termasuklah penganiayaan oleh pihak berkuasa dan gangster, jenayah kebencian yang tidak pernah selesai, malah penindasan dan pembunuhan terhadap pekerja seks oleh pelanggan. Inilah pengalaman hidup pekerja-pekerja dalam sektor informal, termasuk pekerja seks, dan malangnya tidak disedari oleh masyarakat arus perdana.

Ahli-ahli panel juga berkongsi tentang masalah pekerja-pekerja e-hailing. Tiga orang pekerja e-hailing, Siong, Mani dan Muazz, bercakap tentang cabaran kerja mereka. Perlindungan sosial yang sepatutnya merupakan keperluan asas kepada semua pekerja, tetapi tidak dinikmati oleh pekerja-pekerja informal ini. Salah seorang ahli panel, Muazz Ishak, seorang penghantar makanan e-hailing, mengatakan bahawa syarikatnya melayan pemandu-pemandu dan rider-rider e-hailing seperti komoditi. Perlindungan mereka sebagai pekerja tidak dianggap sebagai sesuatu hak yang patut diberikan kepada pekerja-pekerja ini.

Oleh sebab pandemik berlarutan untuk hampir dua tahun, ramai orang terpaksa menjadi pekerja informal, dari pemandu-pemandu dan rider-rider e-hailing hingga kerja seks. Untuk komuniti transgender khususnya, menjadi sebahagian daripada komuniti minoriti seksual menyebabkan mereka memperoleh peluang yang paling sedikit dalam masyarakat. Mereka yang menjadi jurusolek, pemilik perniagaan kecil dan jurujual sebelum pandemik, terpaksa terlibat dalam kerja seks kerana ekonomi yang tidak stabil. Mereka terdedah kepada lebih banyak lagi diskriminasi apabila menjadi pekerja seks.

Pembentangan satu analisis yang berdasarkan survei komuniti pekerja informal juga merupakan tumpuan utama kepada forum semalam. Berdasarkan maklum balas daripada satu sampel pekerja informal yang kecil, beberapa perkara telah diketengahkan: bagi lebih daripada separuh pekerja informal yang disurvei, gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan tidak dicapai, dan pendapatan mereka sebagai pekerja informal tidak dapat menyara kehidupan mereka. Kebanyakan pekerja informal tidak dilindungi di bawah mana-mana skim perlindungan sosial seperti KWSP atau PERKESO. Lebih-lebih lagi, pekerja-pekerja informal yang disurvei mengatakan bahawa masa depan mereka tidak menentu walaupun dengan bantuan daripada kerajaan. Mereka tidak dijamin dalam sektor pekerjaan informal.

Survei tersebut juga mengumpulkan tuntutan-tuntutan daripada pekerja-pekerja informal. Tuntutan yang paling kritikal ialah meningkatkan gaji, memberikan mereka perlindungan sosial yang diperlukan, dan memberi perhatian kepada syarikat yang menganiayai pekerja secara terang-terang dengan sistem yang tidak menegakkan hak pekerja dan mengabaikan keperluan pekerja. Tuntutan daripada wakil pekerja seks termasuk insentif dan bantuan daripada kerajaan yang dapat memperbaiki kehidupan mereka dan mengeluarkan mereka daripada industri seks.

Pekerja-pekerja sangat ketara dalam ekonomi gig. Kehadiran mereka tidak boleh dipadamkan daripada pandangan masyarakat, dan sumbangan mereka kepada masyarakat adalah tidak dapat diukur. Namun, dalam isu diskriminasi dan penganiayaan yang dihadapi mereka, pengendalian kes-kes dan rezeki mereka secara keseluruhannya menjadi sesuatu yang mudah dinafikan. Kenapa kita membiarkan diri kita tidak peduli tentang ketidakadilan terang-terangan dalam sebuah masyarakat yang sepatutnya adil kepada semua orang?

Kita menuntut kondisi yang lebih baik untuk semua rakyat tanpa mengira apa peranan yang dimainkan mereka dalam masyarakat, sama ada pemandu-pemandu dan rider-rider e-hailing yang berusaha keras untuk upah yang tidak pernah cukup bagi mereka ataupun pekerja-pekerja seks di lorong-lorong yang menunggu masa depan di mana mereka bukan lagi sekadar komoditi dalam ekonomi gig ini.

==========

Ahmad Yasin ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM dan ahli Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF).

==========

Sesiapa yang berminat terlibat dalam inisiatif Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF), sila ikuti saluran telegram JPTF atau twitter JTPF.

==========

Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF) ialah sebuah platform di bawah Gabungan Marhaen untuk menyatukan suara-suara pekerja dalam sektor tidak formal supaya memperjuangkan hak pekerja sektor tidak formal.

Gabungan Marhaen ialah sebuah gabungan gerakan masyarakat yang terdiri daripada komuniti-komuniti akar umbi, kolektif-kolektif masyarakat, kesatuan-kesatuan sekerja, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang progresif dan aktivis-aktivis masyarakat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak.

One thought on “Nasib 62% rakyat Malaysia yang tiada perlindungan sosial formal perlu dibela

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *