Pada 10 Oktober 1911, tercetusnya satu pemberontakan di bandar Wuchang (iaitu daerah yang membentuk sebahagian daripada bandaraya Wuhan hari ini) yang kemudiannya menular menjadi revolusi yang akhirnya menjatuhkan pemerintahan kerajaan monarki Dinasti Qing (1636-1911) dan menamatkan pemerintahan imperial berterusan selama lebih 2,000 tahun di China sejak penubuhan Dinasti Qin (221 SM – 206 SM). Namun, revolusi nasionalis yang dikenali sebagai “Revolusi Xinhai” ini, hanya berlaku sehingga separuh jalan apabila hasil kejayaannya diculik oleh golongan panglima tentera perang dan oligarki masyarakat yang mengekalkan keadaan semi-feudal dan semi-kolonial di negara China…
Kemunculan nasionalis awal di China
Kuasa imperialis Barat mula menakluk negara China dan menjarah kekayaan negara itu pada abad ke-19. Perluasan kuasa imperialis ke China, telah melemahkan sistem pemerintahan pra-kapitalis di China yang berasaskan sistem birokrasi autokratik yang terdiri daripada gabungan kuasa maharaja, golongan birokrat dan tuan tanah besar. Kerajaan Dinasti Qing yang berasal dari Manchuria dan menggantikan Dinasti Ming (1368-1644) pada tahun 1644, telah mengalami krisis yang teruk mulai pertengahan abad ke-19. Antara krisis yang paling hebat pada masa itu ialah Pemberontakan Taiping (1851-1864) yang melemahkan kuasa pemerintahan Dinasti Qing dengan hebatnya walaupun tentera Qing berjaya mematahkan pemberontakan tersebut selepas sekurang-kurangnya 20 juta orang terbunuh dalam peperangan. Di samping itu, Kerajaan Dinasti Qing mengalami kekalahan dari segi ketenteraan semasa menghadapi kuasa asing dalam Perang Candu Pertama (1839-1842) dan Perang Candu Kedua (1856-1860). Kekalahan Kerajaan Dinasti Qing dalam tangan kekuasaan imperialis Barat telah menyebabkannya terpaksa menandatangani perjanjian-perjanjian tidak adil yang menghakis kedaulatan negara China pada masa itu, termasuk pemindahan hak milik Hong Kong kepada Britain dan penguasaan kuasa Barat ke atas kawasan-kawasan konsesi yang diwujudkan di bandar-bandar pelabuhan penting.
Penyebaran pemikiran Barat yang moden pada penghujung abad ke-19 telah melahirkan golongan intelek baharu yang berkesedaran nasionalis dan hendak mencari jalan untuk membebaskan bangsa China daripada cengkaman kekuasaan imperialis Barat. Golongan birokrat dalam Kerajaan Dinasti Qing juga melancarkan usaha pembaharuan yang dikenali sebagai “Gerakan Penguatan Diri” sebagai cubaan memodenkan ekonomi China untuk memulihkan kekuasaan China di hadapan ancaman kuasa imperialis Barat. Selepas China tewas dalam Perang China-Jepun Pertama (1894-1895), golongan intelek di China telah menuntut usaha pembaharuan yang lebih mendalam seperti yang dilakukan oleh Jepun dalam “Pembaharuan Meiji”. Maharaja Guangxu bersama dengan sebahagian pegawai kerajaan yang berpemikiran reformis melancarkan “Reformasi Seratus Hari” pada tahun 1898 dengan hasrat meniru pembaharuan sistem sosio-politik di bawah kekuasan monarki seperti yang dilakukan di Jepun dan Rusia pada masa itu, tetapi usaha reformasi tersebut digagalkan selepas satu rampasan kuasa oleh golongan konservatif dalam Kerajaan Dinasti Qing yang membolehkan Maharani Balu Cixi memegang kuasa mutlak sehingga dia mati pada tahun 1908.
Pergelutan kuasa dalam istana Qing, konflik agama yang timbul kerana kemasukan agama Kristian yang dibawa oleh kuasa Barat dan juga bencana alam yang menyusahkan hidup rakyat, telah mencetuskan Gerakan Yihetuan (juga dikenali sebagai Pemberontakan Boxer) yang anti-pendatang asing dan anti-Kristian pada ketika peralihan abad memasuki abad ke-20. Kerajaan Dinasti Qing yang dikuasai oleh Maharani Balu Cixi menyokong Gerakan Yihetuan yang melaungkan slogan “mendukung Kerajaan Qing, menghapuskan orang asing” untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah pokok pemerintahan Dinasti Qing. Namun, kuasa imperialis Barat telah menggunakan pembunuhan orang Kristian China dan mubaligh luar oleh Yihetuan sebagai alasan untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara China. Tentera “Perikatan Lapan Negara” (terdiri daripada Amerika Syarikat, Austria-Hungary, Britain, Itali, Jepun, Jerman, Perancis dan Rusia) menawan bandar Beijing, ibu negara China, pada tahun 1900 dan memaksa Kerajaan Qing membayar “ganti rugi” serta membenarkan pendudukan tentera asing di Beijing.
Pencerobohan tentera “Perikatan Lapan Negara” menyebabkan Kerajaan Dinasti Qing terpaksa melaksanakan beberapa pembaharuan untuk memodenkan negara itu, termasuk penghapusan sistem peperiksaan pegawai kerajaan, pembangunan sistem sekolah aliran Barat, penghantaran pelajar China ke luar negara dan sebagainya. Namun, Kerajaan Dinasti Qing telah kehilangan kewibawaannya dalam mata banyak golongan intelek. Golongan reformis seperti Kang Youwei dan Liang Qichao yang merupakan penggerak “Reformasi Seratus Hari” menubuhkan organisasi yang berhasrat memulihkan kekuasaan maharaja dan melaksanakan sistem raja berperlembagaan. Terdapat banyak golongan nasionalis yang membangunkan sentimen anti-Manchu yang kuat telah mengangkat idea untuk menggulingkan pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing yang dianggap sebagai pemerintahan kuasa asing.
Zou Rong (1885-1905), seorang intelek muda yang pernah belajar di Jepun, menerbitkan sebuah risalah yang bertajuk “Tentera Revolusioner” yang mempromosikan fahaman anti-Manchu dan republik demokratik. Zou Rong menyeru pada warga China beretnik Han untuk menjatuhkan Kerajaan Dinasti Qing yang berasal dari Manchuria dan menghalau keluar semua orang Manchu, menentang pencerobohan kuasa asing dan membina sebuah “Republik Tionghua” yang merdeka serta berdikari. Fahaman anti-Manchu sebegini, yang boleh dikatakan agak rasis juga, telah mempengaruhi sesetengah golongan nasionalis China yang awal.
Sun Yat-sen dan gerakan revolusioner
Penyebaran idea-idea politik Barat telah membangkitkan semangat nasionalis dalam kalangan golongan intelek China dan menaburkan benih kepada pembentukan gerakan revolusioner yang bermatlamat untuk menggulingkan pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing yang gagal menyelamatkan rakyat China daripada krisis yang mendalam.
Antara organisasi anti-Qing yang paling awal ditubuhkan ialah “Persatuan Pemulihan China” (Hsing Chung Hui) yang diasaskan oleh Sun Yat-sen (1866-1925) pada tahun 1894 di Honolulu, Hawaii. “Persatuan Pemulihan China” pernah merancang untuk melancarkan pemberontakan di bandar Guangzhou pada tahun 1895, tetapi digagalkan apabila maklumat terdedah kepada pihak Kerajaan Qing. Lu Haodong (1868-1895), seorang kawan karib Sun Yat-sen dan juga pereka “Bendera Langit Biru dengan Mentari Putih” (yang digunakan sebagai bendera Tongmenghui dan kemudiannya dijadikan bendera Kuomintang), ditangkap dan dihukum mati oleh Kerajaan Qing yang mematahkan Pemberontakan Guangzhou itu; dan Sun Yat-sen terpaksa melarikan diri ke luar negara.
Pada tahun 1905, Sun Yat-sen bersama-sama dengan Huang Xing (1871-1916) dan Song Jiaoren (1882-1913) daripada “Persatuan Kebangkitan China” (Huaxinghui) serta banyak lagi revolusioner menubuhkan “Liga Bersatu China” (Tongmenghui) di Tokyo, Jepun. Tongmenghui telah mengangkat program politik yang berasaskan idea “menghalau keluar orang gasar, memulihkan Tionghua, menubuhkan negara republik, mengagihkan hak tanah secara sama rata”, di mana masih menunjukkan sentimen perkauman yang anti-Manchu. Sentimen yang anti-Manchu hanya mula dikikis selepas pembentukan Republik China.
Tongmenghui telah merancang banyak kali pemberontakan bersenjata untuk menggulingkan Kerajaan Dinasti Qing untuk mencapai matlamat revolusinya, antaranya termasuklah Pemberontakan Pingxiang-Liuyang-Liling pada tahun 1906, Pemberontakan Huanggang di wilayah Guangdong pada tahun 1907, Pemberontakan Qinlian-Fangcheng di wilayah Guangxi pada tahun 1907, Pemberontakan Hekou di wilayah Yunnan pada tahun 1908, Pemberontakan Guangzhou Kedua pada tahun 1910 dan Pemberontakan Huanghuagang (juga dikenali sebagai Pemberontakan Guangzhou Ketiga) pada tahun 1911. Semua pemberontakan ini telah menemui kegagalan tetapi tidak mematahkan semangat revolusioner golongan nasionalis yang hendak menjatuhkan Kerajaan Dinasti Qing.
Tentera Baharu
Gerakan revolusioner yang menentang pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing mendapat sokongan kebanyakannya daripada golongan intelek yang dipengaruhi oleh pemikiran Barat yang moden. Namun begitu, pengaruhnya berkembang ke lapisan masyarakat yang lain, termasuk warga China yang tinggal di negara lain sehinggalah ahli kongsi gelap. Malaya di bawah British pada masa itu, menjadi satu pangkalan penting kepada sokongan gerakan revolusioner di luar China, antaranya termasuk Pemberontakan Huahuagang pada tahun 1911 dirancang oleh Sun Yat-sen dan rakan-rakan seperjuangannya di Pulau Pinang pada bulan November 1910.
Pada tahun 1908, golongan revolusioner mula mengalihkan kerja-kerja organisasi mereka kepada “Tentera Baharu”. “Tentera Baharu” ialah pasukan tentera darat yang dibentuk selepas Perang China-Jepun pada tahun 1894-1895 sebagai salah satu pembaharuan yang dilakukan oleh Kerajaan Dinasti Qing. “Tentera Baharu” mengamalkan sistem organisasi tentera, latihan dan kelengkapan mengikut piawaian Barat. Selepas pemansuhan sistem peperiksaan pegawai kerajaan pada tahun 1905, ramai intelek muda telah menyertai Tentera Baharu dan menjadi tunjang kepada kekuatannya. Golongan revolusioner telah menggunakan kesempatan pada masa itu untuk menjalankan aktiviti penyebaran fahaman revolusioner dalam kalangan Tentera Baharu. Ramai pelajar yang pulang dari luar negara juga menyertai Tentera Baharu untuk menjadi pegawai tentera. Golongan intelek muda yang menyertai Tentera Baharu berbeza dengan anggota tentera lama yang hanya setia sepenuhnya kepada kekuasaan monarki, sebaliknya mereka mempunyai pengetahuan yang lebih luas dan pendirian politik yang berlainan. Tentera Baharu yang diserap oleh fahaman revolusioner inilah menjadi salah satu kuasa penting dalam Revolusi Xinhai pada tahun 1911.
Pemberontakan Wuchang
Pada bulan Mei 1911, Kerajaan Dinasti Qing mengumumkan dasar untuk memiliknegarakan projek pembangunan landasan keretapi tempatan dan memindahkan kawalannya kepada bank asing. Ini mencetuskan gerakan protes besar-besaran di banyak wilayah untuk mempertahankan landasan keretapi daripada jatuh ke dalam tangan bank asing, dengan aksi paling besar berlaku di wilayah Sichuan pada bulan Ogos 1911.
Pada 24 September 1911, “Persatuan Kesusasteraan” (Wenxueshe) dan “Persatuan Maju Bersama” (Gongjinhui), dua buah pertubuhan revolusioner yang bergerak secara bawah tanah, mengadakan satu mesyuarat bersama dengan wakil unit Tentera Baharu di bandar Wuchang di wilayah Hubei. Jiang Yiwu selaku pemimpin “Persatuan Kesusasteraan” dan Sun Wu selaku pemimpin “Persatuan Maju Bersama” dipilih sebagai ketua komander dan ketua turus untuk melancarkan pemberontakan bersenjata di situ. Pada asalnya mereka merancang untuk memberontak pada 6 Oktober 1911 tetapi terpaksa ditangguhkan kerana persiapan yang tidak mencukupi.
Golongan revolusioner di Wuchang telah membuat bom untuk digunakan semasa pemberontakan. Namun, pada 9 Oktober 1911, tanpa dijangkakan, salah satu bom yang dibuat oleh golongan revolusioner telah meletup secara tidak sengaja. Pentadbiran Qing di wilayah Hubei cuba mengesan dan menangkap golongan revolusioner yang berkaitan dengan letupan bom tersebut. Salah seorang ketua skuad Tentera Baharu di Wuchang, Xiong Bingkun, bersama-sama dengan beberapa orang lagi revolusioner memutuskan bahawa pemberontakan tidak boleh ditangguhkan lagi dan melancarkan pemberontakan bersenjata pada 10 Oktober 1911.
Pemberontakan bersenjata oleh Tentera Baharu di Wuchang pada 10 Oktober 1911 menjadi batu pencetus kepada Revolusi Xinhai yang akhirnya menjatuhkan pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing.
Golongan revolusioner yang anti-Qing berjaya menguasai seluruh bandar Wuchang pada 11 Oktober 1911 dan mengumumkan penubuhan “Kerajaan Tentera Hubei Republik China”.
Kejayaan pemberontakan di Wuchang dan pembentukan kerajaan baharu di wilayah Hubei, merangsang pemberontakan Tentera Baharu di wilayah-wilayah yang lain. Tentera Baharu di wilayah Hunan dan Shaanxi melancarkan pemberontakan pada 22 Oktober 1911, diikuti pula dengan pemberontakan rakyat di wilayah Jiangxi, Shanxi, Yunnan, Shanghai, Guizhou, Zhejiang, Jiangsu, Anhui, Guangxi, Fujian, Guangdong, Shandong, Ningxia dan Sichuan. Kerajaan Tentera ditubuhkan di wilayah-wilayah yang mengisytihar kemerdekaan daripada pemerintahan Kerajaan Qing.
Penubuhan Republik China
Kerajaan Dinasti Qing yang berdepan dengan gelombang pemberontakan yang hebat cuba menyelamatkan kekuasaannya melalui cubaan “pembaharuan” untuk beralih kepada sistem raja berperlembagaan. Yuan Shikai, seorang panglima perang berpangkat tinggi dalam Tentera Qing, telah dilantik oleh Kerajaan Dinasti Qing sebagai Perdana Menteri. Yuan Shikai melancarkan serangan ke atas tentera pemberontak dalam cubaan mematahkan gelombang revolusi. Tentera Baharu Beiyang yang berada di bawah perintah Yuan Shikai, berjaya menawan bandar Hanyang (sebahagian daripada Wuhan hari ini), yang berada di tebing utara Sungai Yangtze yang bertentangan dengan bandar Wuchang, pada bulan November 1911. Pada masa itu, kebanyakan wilayah di Selatan China telah mengisytihar kemerdekaan daripada Kerajaan Qing sementara kebanyakan wilayah di Utara China pula masih dikuasai oleh Tentera Beiyang yang berkhidmat dengan Kerajaan Qing. Golongan revolusioner yang menguasai Selatan China mengadakan rundingan damai dengan pihak Tentera Beiyang. Yuan Shikai bersetuju untuk memaksa Maharaja Qing turun takhta dengan syarat perwakilan dari wilayah-wilayah di Selatan China menyokongnya untuk menjadi Presiden Republik China.
Kerajaan Sementara Republik China ditubuhkan di Nanjing pada 1 Januari 1912 oleh golongan revolusioner yang menguasai wilayah-wilayah di Selatan China. Sun Yat-sen telah dipilih sebagai Presiden Sementara Republik China. Sun Yat-sen hanya menyandang jawatan Presiden Sementera untuk tempoh 3 bulan sahaja dan digantikan oleh Yuan Shikai.
Maharaja terakhir Dinasti Qing, Pu Yi, berundur dari takhta pada 12 Januari 1912, menandakan tamatnya sistem pemerintahan maharaja di China yang sudah berlarutan lebih 2,000 tahun dan mewujudkan sistem republik yang baharu.
Revolusi yang belum selesai
Sun Yat-sen bersetuju untuk melepaskan jawatan Presiden Sementara kepada Yuan Shikai, kerana pertimbangannya untuk mengelakkan perang saudara yang berpanjangan (antara golongan revolusioner di Selatan dengan kuasa Tentera Beiyang di Utara) dan kemungkinan campurtangan kuasa luar yang akan melemahkan lagi republik baharu yang ditubuhkan itu. Namun, Yuan Shikai bukannya seorang yang revolusioner, malah hanya seorang reaksioner yang menggilakan kuasa.
Parti Nasionalis China (Kuomintang) yang ditubuhkan dan dipimpin oleh Song Jiaoren, salah seorang sekutu kepada Sun Yat-sen, menang besar dalam Pilihanraya Parlimen Republik China yang pertama yang diadakan pada bulan Disember 1912 hingga Januari 1913. Namun, Song Jiaoren dibunuh pada bulan Mac 1913, satu peristiwa yang dianggap ramai sebagai konspirasi Yuan Shikai untuk menghapuskan golongan revolusioner yang boleh menggugat kekuasaannya. Pergolakan yang menyaksikan Yuan Shikai cuba memperkukuhkan kuasanya mencetuskan pemberontakan pada tahun 1913 oleh penyokong-penyokong Kuomintang dan gabenor-gabenor di beberapa buah wilayah di Selatan China untuk menentang Kerajaan Beiyang yang dipimpin oleh Yuan Shikai. Pemberontakan yang juga dikenali sebagai “Revolusi Kedua” ini ditumpaskan oleh Kerajaan Beiyang dan Sun Yat-sen terpaksa melarikan diri ke Jepun (dan pulang semula ke China pada tahun 1917).
Yuan Shikai kemudiannya memulihkan sistem monarki dengan mengangkat dirinya sebagai Maharaja China pada tahun 1915, tetapi terpaksa berundur dari takhtanya selepas 102 hari kerana penentangan yang hebat daripada masyarakat China, termasuk tercetusnya pemberontakan bersenjata yang dikenali sebagai “Perang Perlindungan Nasional” (1915-1916).
Selepas Yuan Shikai meninggal dunia pada tahun 1916, kerajaan pusat China masih dikuasai oleh sistem panglima tentera Beiyang. Namun, oleh sebab tiadanya satu puak panglima tentera yang mempunyai kekuasaan yang mencukupi untuk menguasai seluruh pemerintahan Kerajaan Beiyang, maka negara China terjerumus dalam keadaan yang berpecah-belah dan peperangan yang tidak kehabis-habisan.
Kemunculan Gerakan 4 Mei pada tahun 1919 membuka satu lembaran baharu kepada perjuangan revolusioner di China, di mana gerakan tersebut menjadi pemangkin kepada penubuhan Parti Komunis China pada tahun 1921. Parti Komunis China dan Kuomintang pernah bekerjasama dalam “Barisan Bersatu Pertama” (1923-1927) untuk melawan Kerajaan Beiyang pada masa gelombang revolusi memuncak pada pertengahan tahun 1920-an, tetapi saling bermusuhan selepas puak berhaluan kanan yang diketuai oleh Chiang Kai-shek menguasai Kuomintang. Parti Komunis China mengalihkan strategi perjuangannya ke kawasan luar bandar dan mengadakan perjuangan bersenjata selama 10 tahun untuk melawan pemerintahan Kerajaan Kuomintang yang reaksioner sebelum bekerjasama semula pada tahun 1937 dalam “Barisan Bersatu Kedua” (1937-1945) untuk menentang pencerobohan tentera imperialis Jepun. Parti Komunis China dan Kuomintang kembali berperang selepas penyerahan kalah tentera Jepun, dengan Parti Komunis China akhirnya berjaya menewaskan Kuomintang dan menubuhkan Republik Rakyat China pada tahun 1949.
Mao Zedong (1893-1976) pernah membahagikan proses perjuangan pembebasan nasional di negara China kepada dua peringkat, iaitu Revolusi Demokratik Lama dan Revolusi Demokratik Baharu. Revolusi Xinhai tergolong dalam peringkat Revolusi Demokratik Lama yang berlarutan dari tahun 1840-an hingga 1919. Gerakan 4 Mei 1919 dianggap sebagai titik permulaan Revolusi Demokratik Baharu yang berlarutan sehingga kejayaan Perang Pembebasan pada tahun 1949. Revolusi Demokratik Lama merujuk kepada revolusi demokratik kelas borjuis untuk menghapuskan sistem pemerintahan kelas zaman feudal dan membangunkan jalan untuk kapitalisme; sementara Revolusi Demokratik Baharu bertujuan untuk menjatuhkan “Tiga Buah Gunung Besar” (imperialisme, feudalisme dan kapitalisme birokratik) dan membina sebuah negara demokratik rakyat yang berasaskan gabungan pekerja-petani dengan kelas pekerja sebagai pemimpin.
Revolusi Xinhai pada tahun 1911, merupakan satu usaha oleh golongan nasionalis China untuk membebaskan masyarakat China daripada pemerintahan lama tetapi ia tidak dapat disempurnakan kerana hasilnya diculik oleh golongan berkuasa dalam masyarakat lama yang masih menguasai jentera ketenteraan yang kuat. Namun, pergolakan revolusioner yang hebat dalam siri peristiwa yang bersejarah ini telah membuka ruang kepada pembangunan idea politik pembebasan masyarakat yang lebih radikal sehingga membawa kepada perjuangan pembebasan yang lebih hebat.