Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) menerbitkan laporan terbarunya, “Perubahan Iklim 2022: Mitigasi Terhadap Perubahan Iklim”, dengan satu lagi amaran kepada kerajaan-kerajaan di dunia untuk mengambil tindakan serta-merta supaya mengehadkan pemanasan global dalam lingkungan 1.5oC sekiranya dunia kita hendak mengelak daripada malapetaka iklim yang lebih besar.

Laporan “Perubahan Iklim 2022: Mitigasi Terhadap Perubahan Iklim” yang disediakan oleh Kumpulan Kerja III (WGIII) bagi Laporan Penilaian Keenam (AR6) IPCC, mengemukakan penilaian global yang terkini mengenai kemajuan dan janji-janji dalam mitigasi perubahan iklim, serta meneliti sumber-sumber pelepasan karbon di peringkat global. Laporan ini menerangkan tentang perkembangan dalam usaha pengurangan pelepasan karbon dan mitigasi, di samping menilai impak janji-janji iklim di peringkat kebangsaan dalam negara-negara di dunia berhubung matlamat pengurangan pelepasan jangka masa panjang.

Ringkasan untuk Pembuat Dasar bagi laporan WGIII IPCC ini, telah diluluskan pada 4 April 2022, dalam Sesi ke-14 WGIII dan Sesi ke-56 IPCC yang dianggotai oleh 195 buah kerajaan negara di dunia. Laporan ini pada asalnya dijadualkan untuk diterbitkan pada bulan Julai 2021, tetapi ditunda beberapa bulan kerana pandemik COVID-19. IPCC telah beralih ke atas talian untuk meneruskan usaha penyediaan laporan ini. Sebanyak 278 orang penulis dari 65 buah negara terlibat dalam proses penyediaan laporan ini, di samping 354 orang penulis penyumbang. Laporan ini telah memetik lebih 18,000 sumber rujukan, dan menerima sejumlah 59,212 ulasan daripada pakar dan kerajaan seluruh dunia.

Kajian daripada ahli-ahli sains mendapati bahawa dalam tempoh tahun 2010-2019, pelepasan gas rumah hijau tahunan secara puratanya berada pada paras yang tertinggi dalam sejarah kewujudan manusia di atas muka bumi ini. Namun, kadar pertumbuhan pelepasan gas rumah hijau telah berkurangan dalam tempoh ini juga (bermakna pelepasan gas rumah hijau masih meningkat setiap tahun, hanya kadar peningkatannya lebih rendah sahaja).

Perlu pengurangan pelepasan karbon yang hebat dalam semua sektor

Menurut IPCC, tanpa pengurangan pelepasan karbon yang segera dan mendalam merentasi semua sektor, mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C adalah sesuatu yang mustahil dicapai. Walau bagaimanapun, semakin banyak tindakan iklim telah diambil di banyak tempat di seluruh dunia. Sejak tahun 2010, terdapat penurunan berterusan dalam kos tenaga suria dan angin, dan bateri, mencecah 85%. Terdapat semakin banyak dasar dan undang-undang yang dirangka untuk meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kadar penyahhutanan dan mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Kita sedang berada di persimpangan jalan. Keputusan yang kita buat sekarang boleh menjamin sebuah masa hadapan yang sesuai didiami. Kita ada alat dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengehadkan pemanasan,” kata Hoesung Lee, Pengerusi IPCC. “Saya terangsang oleh tindakan iklim yang telah diambil di dalam banyak negara. Terdapat dasar, peraturan dan instrumen pasaran yang terbukti berkesan. Jika semua ini ditingkatkan dan diaplikasi lebih meluas dan saksama, mereka dapat menyokong pengurangan pelepasan yang mendalam dan merangsang inovasi.”

Mengehadkan pemanasan global memerlukan transisi yang hebat dalam sektor tenaga. Ini akan melibatkan pengurangan yang ketara dalam penggunaan bahan api fosil, pengelektrikan yang meluas, kecekapan tenaga yang ditingkatkan dan penggunaan bahan api alternatif (seperti hidrogen).

“Melaksanakan dasar, infrakstruktur dan teknologi yang betul untuk membolehkan perubahan kepada gaya hidup dan tingkah laku kita boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 40-70% pada tahun 2050. Ini menawarkan potensi besar yang tidak pernah diterokai,” kata Priyadarshi Shukla, Pengerusi Bersama WGIII IPCC. “Bukti juga menunjukkan bahawa perubahan gaya hidup ini boleh meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kita.”

Menurut laporan IPCC, kawasan bandar boleh menawarkan peluang penting untuk pengurangan pelepasan gas rumah hijau. Ini dapat dicapai melalui penggunaan tenaga yang lebih rendah (seperti mewujudkan bandar yang padat dan sesuai untuk berjalan kaki), pengelektrikan pengangkutan bergabung dengan sumber tenaga yang rendah-pelepasan, dan peningkatan dalam pengambilan serta penyimpanan karbon dengan menggunakan alam semula jadi. “Kita melihat contoh-contoh bangunan sifar-tenaga atau sifar-karbon dalam hampir semua iklim,” kata Jim Skea, seorang lagi Pengerusi Bersama WGIII IPCC. “Tindakan dalam dekad ini adalah kritikal untuk menangkap potensi mitigasi yang terdapat pada bangunan-bangunan.”

Pengurangan pelepasan dalam sektor perindustrian akan melibatkan penggunaan bahan-bahan dengan lebih cekap, penggunaan semula dan pengitaran semula produk serta meminimumkan sisa buangan. Untuk bahan-bahan asas, seperti keluli, bahan binaan dan bahan kimia, proses pengeluaran yang rendah hingga sifar-gas rumah hijau sedang berada di peringkat perintis hingga hampir-komersial. Sektor perindustrian menyumbang kira-kira satu perempat daripada pelepasan global. Mencapai sifar bersih adalah mencabar dan memerlukan perubahan struktur kepada proses pengeluaran industri itu. Sektor pertanian, perhutanan dan penggunaan tanah yang lain juga boleh menyumbang dalam pengurangan pelepasan gas rumah hijau pada skala besar, di samping mengeluarkan dan menyimpan karbon dioksida dalam kuantum yang besar.

Beberapa tahun akan datang ini sangat kritikal

Dalam penilaian IPCC, mengehadkan pemanasan pada sekitar 1.5oC memerlukan senario pelepasan gas rumah hijau sudah berada pada puncak selewat-lewatnya sebelum tahun 2025, dan dikurangkan sebanyak 43% selewat-lewatnya pada tahun 2030. Pada masa yang sama, metana juga perlu dikurangkan sebanyak satu pertiga.

“Ini adalah sekarang atau tidak sama sekali, jika kita mahu mengehadkan pemanasan global kepada 1.5oC,” kata Jim Skea. “Tanpa pengurangan pelepasan segera dan mendalam merentasi semua sektor, ia adalah mustahil.”

Suhu dunia akan distabilkan apabila pelepasan karbon dioksida mencapai sasaran sifar bersih. Jika hendak mengehadkan peningkatan suhu global dalam lingkungan 1.5oC, maka perlu mencapai sasaran sifar bersih dalam pelepasan karbon dioksida di seluruh dunia pada awal tahun 2050-an; sementara jika hendak mengehadkan peningkatan suhu dalam lingkungan 2oC, sasaran sifar bersih untuk seluruh dunia ialah pada awal tahun 2070-an. Penilaian IPCC menunjukkan bahawa mengehadkan pemanasan global pada sekitar 2oC masih memerlukan keadaan pelepasan gas rumah hijau global sudah berada di puncak selewat-lewatnya sebelum tahun 2025, dan dikurangkan sebanyak satu perempat pada tahun 2030. Oleh itu, beberapa tahun yang akan datang ini merupakan tempoh yang kritikal untuk mengambil tindakan yang paling drastik dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Kerajaan kapitalis dan korporat sedang cekik planet kita

António Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), berkata semasa pelancaran laporan IPCC terbaru pada 4 April 2022, “Juri telah mencapai satu keputusan. Dan ia adalah menjahanamkan. Laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim ini ialah rungutan tentang janji-janji iklim yang dimungkiri. Ia ialah fail yang memalukan, mengkatalogkan janji-janji kosong yang meletakkan kita betul-betul di atas landasan menuju ke sebuah dunia yang tidak sesuai untuk didiami.”

“Kita sedang berada di atas landasan pantas menuju malapetaka iklim. Bandar-bandar besar berada di bawah air. Gelombang haba yang tidak pernah berlaku. Ribut yang menakutkan. Kekurangan air yang berleluasa. Kepupusan jutaan spesies tumbuhan dan haiwan. Ini bukannya fiksyen atau penokoktambahan. Ia ialah apa yang sains beritahu kita tentang hasil daripada dasar-dasar tenaga kita sekarang ini,” kata Guterres. “Kita sedang menuju ke arah pemanasan global yang lebih daripada dua kali ganda had 1.5°C yang dipersetujui di Paris. Sesetengah pemimpin kerajaan dan bisnes sedang bercakap satu benda, tetapi melakukan benda yang lain. Dalam erti kata mudah, mereka sedang berbohong. Dan kesannya akan mendatangkan malapetaka. Ini ialah darurat iklim.”

“Ahli-ahli sains iklim memberi amaran bahawa kita sudah menghampiri titik genting yang boleh mendatangkan impak iklim yang melata dan tidak dapat dipulihkan. Namun, kerajaan-kerajaan dan syarikat-syarikat korporat yang tinggi pelepasannya bukan sahaja menutupi mata, malah mereka sedang menambahkan bahan api ke atas api itu,” Guterres merungut. “Mereka sedang mencekik planet kita, berasaskan kepentingan diri dan pelaburan bersejarah mereka dalam bahan api fosil, sedangkan solusi yang lebih murah dan boleh diperbaharui menyediakan pekerjaan hijau, keselamatan tenaga dan kestabilan harga yang lebih besar.”

“Akvitis-aktivis iklim kadang-kadang digambarkan sebagai golongan radikal yang berbahaya. Namun, golongan radikal berbahaya yang sebenarnya ialah negara-negara yang sedang meningkatkan pengeluaran bahan api fosil,” tambah Guterres. “Melabur dalam infrastruktur bahan api fosil yang baharu adalah kegilaan moral dan ekonomi. Pelaburan sedemikian tidak lama lagi akan menjadi aset yang terkandas – tompok pada lanskap dan kelapukan pada portfolio pelaburan.”

“Laporan hari ini datang pada masa dunia bergelora. Ketidaksamarataan berada pada tahap yang tidak pernah wujud. Pemulihan daripada pandemik COVID-19 adalah sangat tidak sekata. Inflasi sedang meningkat, dan perang di Ukraine sedang menyebabkan harga makanan dan tenaga melabung tinggi. Namun, meningkatkan pengeluaran bahan api fosil hanya akan memburukkan lagi masalah,” kata Guterres lebih lanjut lagi. “Pilihan yang dibuat oleh negara-negara sekarang akan menegakkan atau membelakangkan komitmen pada 1.5°C. Peralihan ke tenaga boleh diperbaharui akan memperbaiki campuran tenaga global kita yang sudah rosak dan menawarkan harapan kepada jutaan rakyat yang menderita akibat impak iklim pada hari ini. Janji-janji dan rancangan-rancangan iklim harus ditukar menjadi realiti dan tindakan sekarang juga. Ini masanya untuk berhenti membakar planet kita dan mula melabur dalam tenaga boleh diperbaharui yang banyak itu di sekeliling kita.”

IPCC juga menekan pada ketidaksamarataan yang wujud dalam isu pemanasan global dan keperluan untuk keadilan iklim. 46 buah negara yang kurang membangun, dengan kebanyakannya di benua Afrika, hanya menyumbang kurang daripada 0.4% pelepasan gas rumah hijau sejak tahun 1850, sementara 38 buah negara pulau kecil yang sedang membangun, yang sedang menghadapi ancaman ditenggelamkan kerana kenaikan paras laut, hanya menyumbangkan lebih kurang 0.5% pelepasan gas rumah hijau. Sebaliknya, 10% isi rumah dengan pelepasan karbon tertinggi di dunia (kebanyakannya di negara maju) telah menyumbang 34-45% pelepasan berasaskan penggunaan di peringkat dunia. Setiap orang warga Amerika Utara mempunyai cap kaki karbon dioksida hampir 20 tan setahun, manakala rakyat di benua Afrika dan Asia Selatan adalah kurang daripada 5 tan setahun. Ketidaksamarataan dari segi pelepasan karbon dan penerimaan kesan pemanasan yang wujud di peringkat global merupakan produk daripada imperialisme dan kesan berpanjangan berikutan penjajahan kuasa besar ke atas negara-negara miskin.

Kapitalisme, sejak kemunculannya sehingga hari ini, merupakan sebuah sistem ekonomi yang ketagihkan karbon atau bahan api fosil, sehingga mendatangkan krisis iklim sedunia yang kita hadapi sekarang. Sekiranya kita hendak benar-benar membina sebuah ekonomi yang bebas karbon untuk mengelakkan daripada malapetaka iklim global, kita harus melangkaui ekonomi kapitalis itu sendiri dengan membina sebuah ekonomi yang berasaskan kesejahteraan rakyat, kemampanan ekologi dan keadilan sosial bukannya keuntungan korporat. Kita harus meningkatkan usaha untuk memperjuangkan keadilan iklim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *