(Rencana khas Hari Wanita Antarabangsa)
Masyarakat manusia dibentuk oleh lelaki, wanita dan golongan minoriti seksual yang lain. Proses kemajuan masyarakat merupakan hasil usaha manusia daripada semua gender, bukannya satu-satu gender sahaja. Walaupun sistem patriarki mendominasi pada kebanyakan masa sepanjang sejarah kewujudan masyarakat kelas di dunia ini, tetapi golongan wanita telah memainkan peranan yang amat penting dalam mencorak sejarah, bukan sahaja sebagai tenaga kerja yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat, malah juga sering menjadi perintis kepada usaha perjuangan demi pembebasan masyarakat. Seperti yang pernah ditulis oleh Karl Marx dalam sepucuk suratnya kepada Louis Kugelmann pada tahun 1868, “Sesiapa yang mengetahui apa-apa tentang sejarah tahu bahawa perubahan masyarakat yang hebat adalah tidak berkemungkinan tanpa penapaian feminin.”
Dalam sejarah zaman purba, wujudnya pemimpin pemberontak wanita seperti Boudica yang memimpin pemberontakan masyarakat Celt di Kepulauan British pada tahun 60-61 untuk menentang tentera Empayar Rom yang menduduki tempat itu, dan juga adik-beradik perempuan Trung Trac dan Trung Nhi yang memimpin pemberontakan penduduk Vietnam Utara pada tahun 40-43 untuk menentang pemerintahan Kerajaan Dinasti Han dari China.
Kongkongan fahaman patriarki yang mendominasi masyarakat kelas tidak dapat menghalang golongan wanita daripada terus berjuang, sehingga mencapai pembebasan sejati, bukan sahaja untuk golongan wanita malah untuk seluruh umat manusia.
Salah satu peristiwa yang paling penting dalam Revolusi Perancis pada tahun 1789, ialah aksi perarakan wanita pada 5 Oktober 1789. Golongan wanita yang tidak berpuas hati dengan masalah harga barang yang tinggi dan kekurangan bekalan makanan, memberontak dan berhimpun di pasar Paris. Perhimpunan tersebut kemudiannya menjadi aksi menuntut pembaharuan politik dan pembentukan sistem raja berperlembagaan di Perancis untuk menggantikan sistem raja mutlak. Kaum wanita yang berhimpun di pasar memanggil lelaki “penakut” (kerana takut menyuarakan tuntutan pembaharuan politik yang radikal), dan mengisytihar, “Kami akan mengambilalih!” Golongan wanita yang bersemangat radikal telah menyerbu dan menggeledah gedung senjata di Paris, kemudiannya berarak ke Istana Versailles. Demonstran yang kebanyakannya wanita mengepung istana dan mengemukakan tuntutan pembaharuan politik mereka kepada Raja Louis XVI. Pada hari keesokannya, iaitu pada 6 Oktober 1789, Raja Louis XVI, keluarga diraja dan ahli-ahli perwakilan Perhimpunan Kebangsaan yang berada di Versailles telah dipaksa pulang bersama dengan para demonstran ke bandar Paris.
Peristiwa perarakan wanita di Versailles ini merupakan detik penentu untuk Revolusi Perancis, kerana ia menandakan pembentukan imbangan kuasa yang baharu dalam masyarakat Perancis yang sedang mengalami proses peralihan daripada sistem pemerintahan feudal ke sistem demokrasi moden. Kuasa istimewa yang dinikmati oleh golongan bangsawan Perancis sebelum itu telah dihapuskan dan kuasa rakyat (yang diterajui oleh golongan wanita) menunjukkan kehebatannya. Tiga tahun selepas Peristiwa Oktober 1789, kaum wanita Perancis sekali lagi memainkan peranan penting dalam demonstrasi dan pemberontakan massa di Paris pada bulan Ogos 1792 yang akhirnya membawa kepada pemansuhan sistem monarki di Perancis.
Hampir lapan dekad kemudian, golongan wanita di Paris yang menghalang tentera Perancis daripada memindahkan meriam-meriam keluar dari bandar Paris pada 18 Mac 1871, telah mencetuskan pemberontakan yang menubuhkan Komun Paris, kerajaan pemerintahan proletariat yang pertama di dunia. Salah seorang peserta revolusi Komun Paris, Louise Michel, muncul sebagai tokoh revolusioner wanita yang terkenal pada abad ke-19. Semasa bertempur dengan tentera Kerajaan Perancis yang hendak menghancurkan Komun Paris, Louise Michel telah memberi bantuan kepada mereka yang cedera sambil membalas tembakan terhadap musuh.
Di tanah jajahan Perancis di rantau Carribean pula, wanita berketurunan Afrika yang diperhambakan di Saint-Domingue (Haiti hari ini) telah memainkan peranan yang penting dalam perjuangan Revolusi Haiti (1791-1804), satu-satunya pemberontakan hamba yang berjaya mendirikan sebuah negara yang bebas daripada perhambaan dan penjajahan kuasa Eropah. Golongan hamba wanita di Haiti telah berorganisasi untuk mengadakan aksi mogok kerja. Ramai wanita menyertai tentera pemberontak Haiti pimpinan Toussaint Louverture yang anti-perhambaan dan anti-kolonial, seperti Marie-Jeanne Lamartiniére, Victoria Montou, Sanité Bélair dan Romaine-la-Prophétesse (seorang wanita transgender). Sanité Bélair ditangkap oleh tentera Perancis semasa pertempuran dan dihukum mati pada tahun 1802. Pada ketika menjalani hukuman mati, Sanité Bélair enggan ditutup matanya dengan kain, dan menjerit “Viv libète! A ba esclavaj!” (“Hidup kebebasan! Jatuhkan perhambaan!”) ketika berdepan dengan muncung senapang.
Di negara China, golongan wanita yang radikal, telah memainkan peranan dalam menerajui perjuangan menentang pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing yang penuh dengan amalan feudal. Qiu Jin, seorang pejuang revolusioner yang berfahaman feminis, bersuara lantang memperjuangkan hak wanita, seperti kebebasan untuk berkahwin, kebebasan untuk pendidikan dan penghapusan amalan tradisi kolot mengikat kaki perempuan dalam masyarakat China, pada zaman yang masih penuh dengan fahaman konservatif feudal. Qiu Jin ditangkap dan dihukum mati oleh Kerajaan Dinasti Qing pada tahun 1907 selepas satu cubaan pemberontakan yang gagal, tetapi kematiannya telah menjadi salah satu pemangkin kepada revolusi hebat yang akhirnya menjatuhkan pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing. Semasa tercetusnya Revolusi Xinhai pada tahun 1911 yang menjatuhkan Kerajaan Dinasti Qing, beberapa unit tentera pemberontak yang disertai oleh kesemuanya wanita telah ditubuhkan, seperti Pasukan Ekspedisi Utara Hubei Wanita yang dipimpin oleh Wu Shuqing, Tentera Wanita Zhejiang yang dipimpin oleh Yin Weijun (yang hendak membalas dendam untuk gurunya, Qiu Jin), dan sebagainya. Namun, kesemua unit tentera wanita ini dibubarkan oleh Kerajaan Sementara Republik China pada tahun 1912 atas alasan yang bersifat chauvinis lelaki yang diberikan oleh golongan pemerintah baharu yang masih berpegang kuat pada fahaman patriarki. Perjuangan wanita China menentang patriarki tetap berterusan dalam pelbagai gelombang revolusi yang hebat selepas itu.
Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, apabila semakin ramai wanita dijadikan pekerja upahan yang dieksploitasi tenaga buruh mereka untuk menjana keuntungan bagi golongan kapitalis, penglibatan wanita dalam perjuangan gerakan kelas pekerja juga semakin ketara. Pekerja-pekerja wanita telah terlibat dalam banyak aksi perjuangan menuntut hak pekerja. Golongan wanita juga memperjuangkan hak demokratik, seperti hak mengundi sejagat tanpa mengira gender. Perjuangan hak mengundi untuk wanita yang bermula sejak pertengahan abad ke-19 dan berterusan sehingga awal abad ke-20, telah berjaya memenangkan hak mengundi untuk wanita di banyak negara di seluruh dunia.
Pada ketika wanita masih tiadanya hak mengundi seperti lelaki, golongan wanita sudah memainkan peranan yang penting dalam pelbagai perjuangan, malah juga membangunkan pemikiran yang mendahului zamannya. Antaranya, Rosa Luxemburg, seorang tokoh revolusioner sosialis wanita yang berasal dari Poland dan kemudiannya menjadi pemimpin yang penting dalam gerakan kiri di Jerman pada awal abad ke-20, telah menjadi peggerak utama pemikiran sosialis demokratik dan tegas menentang kapitalisme. Rosa Luxemburg yang berpendirian internasionalis dan anti-tentera, telah terlibat secara aktif dalam usaha membantah perang imperialis sehingga beliau dipenjarakan oleh Kerajaan Jerman. Rosa Luxemburg menyokong Revolusi Rusia 1917 dan menaruh harapan besar terhadapnya, tetapi pada masa yang sama tidak segan mengemukakan kritikan tajam terhadap dasar Bolshevik yang dianggapnya tidak demokratik.
Clara Zetkin, seorang tokoh kiri Jerman yang merupakan rakan seperjuangan yang rapat dengan Rosa Luxemburg, telah memainkan peranan penting dalam membangunkan gerakan wanita sosialis melalui penubuhan biro wanita dalam Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) pada tahun 1891, ketika wanita di Jerman masih dilarang untuk menyertai parti politik. Bagi golongan sosialis wanita seperti Zetkin dan Luxemburg, kelas pekerja tidak akan mencapai kemenangan dalam perjuangan membebaskan diri daripada penindasan kelas tanpa penyertaan wanita, khususnya wanita kelas pekerja. Seperti Luxemburg, Zetkin juga pernah ditangkap kerana menyuarakan bantahannya terhadap perang imperialis.
Perjuangan wanita kelas pekerja yang radikal, telah melahirkan sambutan “Hari Wanita Antarabangsa”. Pada tahun 1908, mogok pekerja kilang baju selama 3 bulan di New York, Amerika Syarikat, yang disertai oleh 30,000 orang pekerja yang kebanyakannya wanita migran, mengemukakan tuntutan seperti kenaikan gaji, pengurangan jam kerja dan hak mengundi untuk wanita. Kebanyakan tuntutan dalam mogok tersebut berjaya dimenangi, kecuali hak mengundi untuk wanita. Untuk meneruskan perjuangan menuntut hak mengundi wanita di Amerika Syarikat, golongan kiri seperti Parti Sosialis Amerika (SPA) telah menyeru untuk menetapkan satu hari setiap tahun supaya mengadakan aksi massa yang berkempen untuk hak mengundi wanita dan juga mengetengahkan isu-isu pekerja wanita yang lain. Aksi massa di Amerika Syarikat ini memberi inspirasi kepada golongan sosialis dalam Internasional Kedua untuk mengemukan idea sambutan “Hari Wanita Antarabangsa” dalam Persidangan Wanita Sosialis Antarabangsa yang diadakan di Copenhagen, Denmark, pada tahun 1910. Hari Wanita Antarabangsa disambut untuk kali pertamanya pada tahun 1911, dengan gerakan sosialis di banyak buah negara di Eropah menganjurkan aksi massa yang mengemukakan tuntutan seperti hak mengundi untuk wanita, hak untuk wanita memegang jawatan awam, hak untuk kerja, kesamarataan layanan tanpa mengira jantina dan sebagainya.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa memang berasal daripada gerakan perjuangan kelas dan perjuangan wanita yang radikal. Malah, sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Rusia pada tahun 1917, menjadi pencetus kepada revolusi hebat yang mengubah trajektori sejarah abad ke-20.
Pada 8 Mac 1917 (mengikut Kalendar Gregorian yang digunakan sekarang, bersamaan dengan 23 Februari mengikut Kalendar Julian yang digunakan di Rusia pada masa itu), pekerja-pekerja wanita di Petrograd (iaitu Saint Petersburg), ibu negara Empayar Rusia pada masa itu, mengadakan mogok kerja dan demonstrasi besar-besaran untuk menyambut Hari Wanita Antarabangsa. Penglibatan Rusia dalam Perang Dunia I dan krisis ekonomi yang timbul pada masa itu, telah menyebabkan wanita kelas pekerja hidup dalam keadaan yang amat susah. Harga barangan keperluan harian meningkat dengan hebat, sedangkan gaji yang diterima oleh golongan pekerja wanita adalah begitu rendah walaupun melakukan banyak kerja. Golongan wanita juga perlu beratur panjang selama beberapa jam untuk mendapatkan bekalan roti, selepas habis kerja yang berjam-jam panjangnya setiap hari. Kadang-kadang, selepas mereka beratur menunggu berjam-jam lamanya, barulah mereka diberitahu bahawa bekalan roti yang sepatutnya diedarkan kepada mereka telah habis stok. Kesusahan hidup beginilah yang mencetuskan kemarahan pekerja-pekerja wanita untuk bangkit melawan. Pekerja-pekerja wanita yang berdemonstrasi di jalanan Petrograd melaungkan slogan “roti dan keamanan”. Aksi protes yang dipimpin oleh pekerja-pekerja wanita ini telah mendorong pekerja-pekerja lelaki yang lain untuk menyertai mereka. Gelombang protes hebat yang diterajui oleh pekerja-pekerja wanita ini akhirnya menumbangkan rejim pemerintahan Tsar di Rusia, dan membuka tirai kepada Revolusi Rusia yang menggegarkan seluruh dunia. Revolusi Rusia juga berjaya memenangkan pelbagai hak wanita yang penting di negara itu.
Alexandra Kollontai, seorang tokoh revolusioner Rusia, telah memainkan peranan penting dalam membangunkan kesedaran yang menyatukan perjuangan kelas dengan perjuangan pembebasan wanita dalam gerakan sosialis yang revolusioner di Rusia. Dalam bukunya yang bertajuk “Autobiografi Seorang Wanita Komunis yang Dibebaskan Secara Seksual”, Kollontai menulis, “Pada tahun 1905, pada ketika apa yang dikenali sebagai revolusi pertama tercetus di Rusia, selepas peristiwa terkenal Hari Ahad Berdarah, saya sudah pun memperoleh reputasi dalam bidang penulisan ekonomi dan sosial. Dan pada masa yang memberangsangkan itu, apabila semua tenaga telah digunakan dalam ribut pemberontakan, ternyata saya telah menjadi sangat popular sebagai seorang pemidato. Akan tetapi, dalam tempoh itulah saya menyedari untuk kali pertama bahawa begitu sedikitnya Parti kami (Parti Buruh Demokrat Sosial Rusia) berprihatin pada nasib wanita kelas pekerja dan betapa sedikit minatnya dalam pembebasan wanita. Yang pasti pada masa itu sebuah gerakan wanita borjuis sudah wujud di Rusia. Namun pandangan Marxis saya menunjukkan kepada saya dengan jelas bahawa pembebasan wanita hanya boleh berlaku sebagai hasil daripada kejayaan sebuah susunan masyarakat yang baharu dan sebuah sistem ekonomi yang berbeza. Oleh itu, saya melibatkan diri saya dalam perjuangan hak mengundi untuk wanita (suffragette) di Rusia dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendorong gerakan kelas pekerja supaya memasukkan persoalan wanita sebagai salah satu matlamat perjuangan dalam programnya. Ia adalah sangat sukar untuk menarik sokongan rakan-rakan seperjuangan saya supaya menerima idea ini. Saya terasing sepenuhnya dengan idea dan tuntutan saya. Walaupun demikian, pada tahun 1906-1908, saya berjaya menarik sekumpulan kecil komrad wanita dalam Parti kepada rancangan saya. Saya menulis sebuah rencana yang diterbitkan dalam akhbar yang diharamkan pada tahun 1906 di mana untuk kali pertama saya menyeru gerakan kelas pekerja di Rusia untuk memperjuangan tuntutan itu melalui kerja Parti yang sistematik. Pada Musim Luruh 1907, kami menubuhkan Kelab Wanita Pekerja yang pertama. Ramai dalam kalangan ahli-ahli kelab ini, yang masih merupakan pekerja-pekerja muda pada masa itu, sekarang ini menduduki posisi penting dalam Rusia baharu (selepas Revolusi Rusia 1917) dan dalam Parti Komunis Rusia (K. Nicolaieva, Marie Burke, dan sebagainya). Salah satu hasil daripada aktiviti saya berkaitan dengan pekerja-pekerja wanita, khususnya penulisan politik saya – antaranya satu risalah mengenai Finland yang mengandungi seruan untuk bangkit melawan pemerintahan Tsar dengan ‘senjata’ – ialah pendakwaan terhadap saya yang berkemungkinan menyebabkan saya dipenjarakan banyak tahun. Saya terpaksa menghilangkan diri serta-merta dan tidak lagi dapat melihat kampung halaman saya. Anak saya dijaga oleh kawan baik, rumah tangga kecil saya dibubarkan. Saya menjadi ‘haram’. Itunya masa yang cukup susah.”
Hasil daripada pengorbanan, kegigihan dan kesungguhan perjuangan golongan sosialis feminis seperti Kollontai, wanita Rusia memperoleh pencapaian yang signifikan selepas Revolusi Rusia 1917, seperti hak mengundi untuk manita, kedudukan yang samarata dengan lelaki dalam keluarga, hak penceraian dan sebagainya, di samping pengenalan kemudahan komuniti untuk penjagaan kanak-kanak dan tugasan domestik dengan tujuan meringankan beban kerja rumah wanita. Namun, banyak pencapaian kemajuan dalam menegakkan hak wanita ini dihakis pada zaman pemerintahan birokratik Stalinis mulai penghujung tahun 1920-an.
Golongan wanita juga memainkan peranan kepimpinan yang penting dalam memperjuangkan kemerdekaan negara Mesir daripada penjajahan British semasa berlakunya Revolusi Mesir pada tahun 1919. Golongan intelek feminis Mesir seperti Huda Sha’arawi, telah memimpin aksi protes rakyat yang merentasi batasan agama untuk menentang kolonialisme British di Mesir. Golongan wanita kelas bawahan turut memberi sokongan kepada perjuangan kemerdekaan Mesir dan ramai menyertai aksi protes jalanan bersama-sama dengan golongan lelaki.
Semasa berlakunya Perang Dunia II, golongan wanita di merata tempat telah melibatkan diri mereka dalam perjuangan melawan kekuasaan Fasis. Golongan wanita merupakan komponen yang penting dalam Gerakan Penentangan di banyak tempat, sama ada di Eropah ataupun Asia.
Gelombang perjuangan pembebasan nasional yang melanda benua Asia dan Afrika selepas Perang Dunia II, tidak akan mencapai kejayaan dalam menumpaskan penjajahan kuasa imperialis tanpa penglibatan golongan wanita yang berkesedaran politik dan berpemikiran progresif. Pejuang-pejuang wanita yang revolusioner telah memberi sumbangan yang begitu besar dalam perjuangan hebat seperti Revolusi Kuba, Perang Kemerdekaan Algeria, Perang Vietnam menentang Amerika Syarikat, gerakan anti-apartheid di Afrika Selatan dan banyak lagi.
Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang ditubuhkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan bergerak secara bebas seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), merupakan pertubuhan wanita nasionalis yang pertama di Tanah Melayu dan menjadi sebahagian daripada gerakan masyarakat yang hebat pada tahun 1940-an untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya daripada kuasa penjajah British. AWAS dipimpin oleh tokoh pejuang nasionalis wanita tanahair yang unggul pada masa itu, seperti Shamsiah Fakeh (yang kemudiannya menyertai Parti Komunis Malaya selepas AWAS diharamkan), Aishah Ghani (yang kemudiannya menyertai UMNO dan pernah menjadi Ketua Wanita UMNO serta Menteri Kebajikan Awam Malaysia) dan Sakinah Junid (yang kemudiannya menyertai Parti PAS dan menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS). Ternyata golongan wanita di negara Malaysia juga tidak ketinggalan dalam pelbagai perjuangan menuntut keadilan sosial.
Golongan wanita terus menonjol dalam pelbagai perjuangan rakyat sehingga hari ini. Kita dapat menyaksikan penglibatan golongan wanita yang berani dalam perjuangan seperti Revolusi Rojava yang berjaya menangkis serangan kumpulan pengganas ekstremis, Revolusi Sudan 2019, gerakan protes pro-demokrasi di Thailand, dan juga kebangkitan rakyat Myanmar melawan kudeta tentera baru-baru ini.
Apabila dunia melangkah masuk ke abad ke-21, walaupun golongan wanita sudah pun memperoleh pencapaian yang signifikan dalam usaha mewujudkan kesamarataan gender, tetapi golongan wanita masih menghadapi pelbagai ancaman daripada sistem patriarki yang belum lagi dihapuskan.
Menurut laporan “Women at Work” yang diterbitkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada tahun 2016, adalah didedahkan bahawa wanita yang bekerja sepenuh masa di dunia secara puratanya hanya menerima pendapatan 77% berbanding pendapatan lelaki yang bekerja sepenuh masa. Ini jelas menunjukkan bahawa masih wujudnya layanan yang tidak samarata dalam dunia kerja, walaupun perjuangan untuk kesamarataan dalam layanan kerja sudah pun berlaku lebih seabad lamanya. Laporan ILO yang sama juga menyatakan bahawa golongan wanita melakukan kerja rumah dan kerja penjagaan tanpa bayaran sebanyak 2.5 kali ganda berbanding golongan lelaki. Golongan wanita di seluruh dunia menghabiskan jumlah masa sebanyak 12.5 bilion jam setiap hari untuk melakukan kerja secara percuma, atau tidak dibayar apa-apa ganjaran. Pengiraan Oxfam dalam laporannya pada tahun 2020 yang bertajuk “Masa untuk peduli: Kerja penjagaan yang tidak dibayar dan dibayar gaji yang rendah dan krisis ketidaksamarataan global” (Time to care: Unpaid and underpaid care work and the global inequality crisis), menganggarkan bahawa kerja-kerja wanita ini menambah nilai sekurang-kurangnya USD10.8 trilion (lebih kurang RM44 trilion) kepada ekonomi dunia. Namun, kebanyakan faedah kewangan telah dibolot oleh golongan mahakaya, dengan majoriti mereka ialah lelaki. Jika hendak membuat perbandingan sejauh mana ketidaksamarataan wujud dari segi gender, kita boleh lihat pada realiti ini: pada tahun 2020, 22 orang lelaki terkaya di dunia lebih kaya daripada semua wanita di Afrika (lebih kurang 670 juta orang).
Di samping itu, golongan wanita juga menghadapi pelbagai masalah akibat ketidaksamarataan gender yang masih wujud sehingga hari ini, seperti keganasan terhadap wanita, kekurangan ruang penglibatan politik dan sebagainya. Setakat tahun 2021, hanya 22 buah negara (daripada hampir 200 buah negara di dunia) mempunyai ketua negara atau ketua kerajaan wanita. Hanya 25% ahli parlimen di dunia ialah wanita, dan angka ini hanya 14% di negara Malaysia. Lebih-lebih lagi, walaupun sesuatu jawatan awam dipegang oleh wanita, ia tidak semestinya bermakna sudah mencapai keadaan wujudnya kesamarataan gender atau pembebasan wanita, sekiranya pemimpin wanita itu masih dikongkong dengan fahaman patriarki. Menurut laporan “Indeks Norma Sosial Gender 2020” yang diterbitkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), hampir 90% orang (termasuk wanita) di seluruh dunia mempunyai pandangan prejudis terhadap wanita.
Sistem kapitalis yang bersebati dengan patriarki, masih mengeksploitasi dan meminggirkan wanita yang termiskin dalam masyarakat, sementara kekayaan dan kekuasaan semakin tertumpu dalam tangan segelintir kecil golongan elit mahakaya. Oleh itu, ketidakadilan sosio-ekonomi yang dihadapi oleh golongan wanita tidak akan dapat dihapuskan sepenuhnya jika sistem kapitalis masih wujud dan bermaharajarela. Perjuangan pembebasan wanita tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan kelas melawan sistem kapitalis yang membiak ketidakadilan masyarakat. Begitu juga perjuangan kelas melawan kapitalisme tidak akan dapat mencapai kejayaan yang sebenar jika kita tidak menggabungkannya dengan perjuangan pembebasan wanita dan kesamarataan gender.
Very comprehensive n well written article. A bit long though. Tq n wd share with others