(foto: League of Social Democrats)

47 orang aktivis pro-demokrasi Hong Kong didakwa di bawah undang-undang keselamatan negara pada 1 Mac 2021 dan dinafikan ikat jamin, hanya kerana mereka mengambil bahagian dalam pemilihan awal untuk calon Pilihanraya Dewan Perundangan Hong Kong pada tahun 2020.

55 orang telah ditangkap pada bulan Januari 2021 dalam satu operasi penangkapan besar-besaran terhadap ahli-ahli politik dan aktivis-aktivis gerakan pro-demokrasi. Semua orang yang ditangkap ialah mereka yang terlibat dalam pemilihan awal untuk calon pilihanraya daripada kem pro-demokrasi telah diadakan pada bulan Julai 2020, sama ada sebagai penganjur ataupun peserta yang menawarkan diri sebagai calon pilihanraya. Mereka pada awalnya dikehendaki melaporkan diri di balai polis pada bulan April 2021, tetapi 47 orang antaranya telah dipanggil untuk melaporkan diri sebulan lebih awal, iaitu pada 28 Februari 2021. Kesemua orang yang melaporkan diri di balai polis yang berlainan telah ditangkap dan kemudiannya didakwa di Mahkamah Magistret Kowloon Barat.

47 orang yang ditahan dan didakwa ini, termasuklah Benny Tai Yiu-ting (bekas Profesor Madya Undang-undang di Universiti Hong Kong yang pernah menjadi penggerak kempen “Occupy Hong Kong with Love and Peace”), Leung Kwok-hung (Naib Pengerusi Liga Demokrat Sosial dan bekas Ahli Dewan Perundangan Hong Kong), Eddie Chu Hoi-dick (bekas Ahli Dewan Perundangan Hong Kong), Raymond Chan Chi-chuen (bekas Ahli Dewan Perundangan Hong Kong), Lester Shum (Ahli Majlis Daerah Tsuen Wan), Jimmy Sham Tsz-kit (seorang lagi Naib Pengerusi Liga Demokrat Sosial dan Ahli Majlis Daerah Sha Tin, juga merupakan bekas Penganjur Fron Hak Asasi Sivil yang pernah mengadakan aksi protes jalanan yang terbesar dalam sejarah Hong Kong), Winnie Yu Wai-ming (seorang jururawat yang juga merupakan Pengerusi kepada kesatuan sekerja “Hospital Authority Employees Alliance”), Carol Ng (Pengerusi Konfederasi Kesatuan Sekerja Hong Kong), dan sebagainya.

47 orang aktivis pro-demokrasi ini didakwa melakukan kesalahan “bersubahat dalam subversi terhadap pemerintahan negara” di bawah Undang-Undang Keselamatan Negara Hong Kong yang diperkenalkan dan diluluskan pada 30 Jun 2020 oleh Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China yang berpusat di Beijing. Di bawah pendakwaan ini, sekiranya disabit kesalahan, hukuman tertinggi ialah penjara seumur hidup. Mereka yang didakwa juga dinafikan ikat jamin. Pendengaran permohonan ikat jamin pada 1 Mac 2021 masih tidak dapat selesai walaupun berlarutan selama 14 jam sehingga hampir pukul 3 pagi, dan bersambung lagi pada waktu tengah hari 2 Mac 2021.

Alasan yang digunakan untuk membuktikan bahawa aktivis-aktivis pro-demokrasi ini “bersubahat dalam subversi” ialah penglibatan mereka dalam satu proses pengundian yang bertujuan untuk menentukan calon pilihanraya daripada kem pro-demokrasi. Pemilihan awal calon kem pro-demokrasi untuk Pilihanraya Dewan Perundangan Hong Kong yang dianjurkan pada bulan Julai 2020 telah menyaksikan lebih 600,000 orang keluar mengundi. Pilihanraya Dewan Perundangan Hong Kong yang dijadualkan pada bulan September 2020 kemudiannya telah ditangguhkan selama setahun atas alasan ancaman penularan wabak COVID-19. Pemilihan awal tersebut bertujuan untuk menentukan senarai calon yang dapat mengelakkan perpecahan undi yang diperoleh calon-calon pro-demokrasi supaya membolehkan mereka menguasai majoriti dalam Dewan Perundangan Hong Kong yang mempunyai 70 kerusi. Namun, amalan demokratik untuk melibatkan diri dalam proses pemilihan calon ini telah dianggap subversif dari sudut pandangan pihak berkuasa.

Perkembangan terbaru ini amat jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Hong Kong dan pemerintah kerajaan pusat di Beijing semakin tidak bertolak ansur dengan apa jua politik pembangkang, termasuk golongan pembangkang yang paling lembut dan moderat, sama ada berhaluan kiri atau kanan. Undang-Undang Keselamatan Negara Hong Kong yang penuh kontroversi diperkenalkan berikutan tercetusnya gelombang protes yang hebat pada tahun 2019; dan kini ia telah dijadikan alat untuk melenyapkan semua suara pembangkang dan menyekat ruang demokrasi di bandaraya itu dengan lebih lanjut lagi. Sejak kebelakangan ini, kerajaan pusat di Beijing juga sering mempromosikan idea “Hong Kong harus ditadbir oleh golongan patriotik” untuk menjustifikasi kawalan politik yang lebih lanjut lagi. “Golongan patriotik” yang dimaksudkan oleh pemerintah di Beijing ialah mereka yang setia sepenuhnya kepada kerajaan pusat. Sekarang ini, bagi golongan berkuasa di Beijing, menjadi pembangkang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan kepada negara. Kebanyakan ahli politik pembangkang yang terkenal di Hong Kong sekarang ini, sudah pun sama ada direman, dipenjara ataupun hidup dalam buangan di negara lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *