25158185_10155872618584847_3597720245658232405_n.jpg

 

oleh S. Arutchelvan

Pada pagi 28 September 2018, saya tidak dibenarkan untuk masuk ke mesyuarat runding damai yang dijalankan oleh Jabatan Perhubungan Perusaahaan (JPP) dalam kes antara seorang bekas pekerja di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Kedutaan AS itu sendiri. Saya diberitahu oleh pegawai JPP bahawa Kedutaan AS telah membantah kehadiran saya. Saya terkejut kerana saya telahpun menghadiri mesyuarat-mesyuarat berkaitan kes tersebut sebelum ini, termasuklah perjumpaan yang diadakan di Kedutaan itu sendiri. Namun begitu, saya menunggu di luar bilik mesyuarat, kerana setelah berlarutan untuk sepuluh tahun, akhirnya kes ini telah dipanggil untuk pendengaran.

Lebih sepuluh tahun lalu, pada suatu hari hujan, iaitu 2 April 2008, Subramaniam, seorang pengawal keselamatan yang telah berkhidmat lebih sepuluh tahun di Kedutaan AS ketika itu, berasa tidak sihat untuk bekerja. Dia telah terkena hujan dan pergi ke klinik. Walaupun dalam hujan lebat, beliau tetap hadir ke Kedutaan AS di Jalan Tun Razak untuk mengemukakan sijil cuti sakit (MC) yang dikeluarkankan oleh doktor untuk tarikh 2 dan 3 April 2008. Beliau menyerahkan sijil cuti sakit tersebut kepada seorang penyelia bernama En Prakash (ASO) yang kemudiannya merekodkan ke dalam buku log dan memberitahu beliau untuk balik dan menjaga kesihatan.

Pada 4 April 2008, Subramaniam menerima panggilan telefon yang mengejutkan daripada En.Darshan yang merupakan penyelia beliau. Subramaniam diberitahu bahawa beliau telah diberhentikan kerja dan diarahkan untuk memulangkan semua kelengkapan kepada Kedutaan.

Beliau terkejut dan sukar untuk percaya. Pada 7 April 2008, apabila beliau ingin masuk kerja seperti biasa, beliau tidak dibenarkan masuk dan disekat di pondok pengawal. Beliau diberitahu untuk memulangkan semua kelengkapannya dan dibuang kerja serta-merta tanpa notis, dan tanpa sebarang penjelasan. Pada keesokan harinya, beliau menulis sepucuk surat untuk meminta penjelasan. Beliau merayu kepada Kedutaan agar diterima bekerja semula kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Pada 23 Mei 2008, setelah mendapatkan khidmat nasihat undang-undang, beliau membuat satu aduan kepada JPP, di bawah Seksyen 20 iaitu pemberhentian yang tidak sah mengikut undang-undang. Di bawah undang-undang berkenaan, seseorang perlu membuat aduan dalam tempoh masa 60 hari. Dalam keadaan biasa, JPP akan memanggil satu mesyuarat rundingan damai dalam tempoh 3 minggu, tetapi dalam kes ini, mesyuarat rundingan damai secara rasminya hanya diadakan pada hari ini – 28 September 2018, iaitu 10 tahun 4 bulan selepas beliau membuat aduan. Kenapa terjadi sebegini? Ya, ini disebabkan beliau menentang Kedutaan AS, kuasa besar dunia.

Kenapa 10 tahun?

Tiga minggu selepas laporan kepada JPP, Subramaniam tidak mendapat temujanji untuk mesyuarat rundingan, tetapi yang mengejutkan adalah kesnya telah dirujuk ke Ibupejabat Ketua Pengarah JPP di Putrajaya. Untuk bulan-bulan dan tahun-tahun seterusnya, tiada apa-apa berlaku. Peguam yang ditemuinya telah melakukan apa yang perlu dilakukan, tetapi ianya bergantung kepada Menteri untuk kes ini dirujukkan.

Dengan perasaan yang kecewa, Subramaniam kemudiannya datang ke Pejabat PSM di Bandar Rinching. Itu adalah pada tahun 2010. Setelah memeriksa dari sudut undang-undang, kami yakin bahawa tiada apa yang boleh menghalangkan JPP daripada meneruskan kes ini.

Kami kemudiannya membantu Subramaniam untuk menulis satu surat kepada Menteri Sumber Manusia pada masa itu, yang juga bernama Subramaniam. Kami meminta beliau untuk mengarahkan JPP supaya merujuk kes tersebut di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan untuk pemberhentian kerja yang tidak sah.

Lima bulan selepas itu, pada 1 Mac 2011, akhirnya Ketua Pengarah JPP ketika itu, Hj Md Yunus bin Razally, menulis satu surat kepada Pengerusi Protokol dan Konsular, Kementerian Luar Negeri Malaysia. Dalam surat tersebut, Ketua Pengarah JPP secara dasarnya mengatakan bahawa beliau tidak boleh mengambil tindakan kerana menurutnya Kedutaan AS mempunyai kekebalan diplomatik di bawah Konvensyen Vienna 1966 yang diperakui oleh Malaysia. Surat tersebut turut mendakwa bahawa di bawah Artikel 31 Akta 636, Kedutaan AS mempunyai kekebalan undang-undang daripada saman jenayah dan sivil apabila menjalankan tugas rasmi. Secara asasnya, ia bermakna Kedutaan AS boleh melepaskan diri daripada tuduhan membunuh sekalipun di bumi Malaysia selagi ia berkaitan dengan tugas. Akhir sekali, surat tersebut juga menyatakan bahawa JPP tidak dapat mengendalikan kes tersebut dan perlu meminta Kementerian Luar Negeri untuk membantu dan menasihati Subramaniam.

Kami kemudiannya membuat susulan dengan Bahagian Protokol dan Konsular di Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra. Tiada apa-apa maklumat diperolehi. Selepas 16 bulan, pada 28 Julai 2012, kami menulis semula kepada Bahagian Protokol dan Konsular diikuti satu surat lagi setahun kemudia,n iaitu pada 30 Julai 2013. Dalam surat kedua, kami melahirkan kekecewaan dan memberikan mereka masa dua minggu untuk memberikan maklumbalas. Kami juga memberitahu tentang bagaimana urusan kes ini telah dipindah daripada satu orang kepada yang lain – Cik Kusaima, Cik Mira, Cik Mimi dan Cik Malar. Tetap, masih tiada maklumbalas.

Pada 24 September 2013, kami memfailkan satu aduan kepada Biro Pengaduan Awam, yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, terhadap Pengerusi Bahagian Protokol dan Konsular dan juga Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan. Aduan tersebut adalah berkaitan dengan kegagalan jabatan kerajaan berkenaan dalam mengambil tindakan yang sewajar, dan pengadu ditendang ke sana ke mari seperti bola.

Usaha ini akhirnya membuahkan sedikit hasil yang positif. Akhirnya, En Istaq Nadzril daripada Kementerian Luar Negeri memanggil satu mesyuarat. Mesyuarat tersebut telah diadakan di Wisma Putra pada 23 Januari 2014. Dalam mesyuarat tersebut, Kedutaan AS diberitahu bahawa mereka telah diarahkan oleh Pejabat Perdana Menteri untuk mengendalikan kes ini. Dalam mesyuarat itu juga, wakil Kedutaan AS menyatakan bahawa mereka tidak berapa tahu tentang kes ini dan juga mengatakan bahawa segala rekod telah dihantar balik ke Washington DC.  Mereka juga meminta kami untuk berkongsi sebarang maklumat jika ada kepada mereka membantu mereka dalam kes ini. Dalam mesyuarat itu juga, En Istaq memberitahu kami bahawa Kedutaan perlu mematuhi undang-undang Malaysia.

Rentetan dari mesyuarat itu, pada 25 April 2014, kami menulis surat kepada Kedutaan AS dan membekalkan mereka dengan kronologi kes antara 28 Ogos 2007 hingga 23 Januari 2014. Untuk enam bulan seterusnya, fail tersebut kembali menjadi dingin. Pada 14 Julai 2014, saya telah menghantar satu email kepada En Istaq kerana tiada apa-apa maklumbalas. Saya memberitahu padanya bahawa Pegawai Sumber Manusia (HR) Kedutaan En Jared P. Webber telah bersetuju untuk berjumpa kerana mereka telah mendapat dokumen dari Washington. Saya meminta Bahagian Protokol untuk mengaturkan perjumpaan tersebut. Satu tarikh juga dicadangkan, iaitu pada 26 Ogos 2014. Tapi secara tiba-tiba pada sehari sebelum tarikh tersebut, pada 25 Ogos 2014, En Istaq memberitahu bahawa perjumpaan pada 26 Ogos 2014 yang dicadangkan tidak dapat diadakan kerana beliau telah diarahkan untuk tidak masuk campur dalam kes ini. Malah, beliau juga memaklumkan bahawa adalah menjadi satu kesilapan untuknya memanggil mesyuarat sebelum itu, iaitu pada 23 Januari 2014. Saya tersinggung dengan langkah pusingan U ini dan memberitahunya supaya memaklumkan ketidaksudiannya untuk memanggil mesyuarat tersebut melalui surat rasmi. Dan seperti yang dijangka, beliau tidak menulis surat rasmi yang kami minta itu.

Akhirnya, oleh kerana kami tidak mendapat satu tempat yang neutral, kami bersetuju untuk bertemu di Kedutaan AS pada 17 Oktober 2014. Saya tidak senang hati untuk mengadakan mesyuarat di Kedutaan dan mahu satu tempat yang neutral, tetapi kerana Bahagian Protokol telah tidak mengendahkan kami, sehingga kami tiadanya pilihan. Dalam mesyuarat tersebut, Kedutaan AS diwakili oleh Mr Jared Webber (Pegawai HR), J. Kentv (Kaunselor Pengurusan Antarabangsa) dan Cik Sangeetha. Subramaniam dan saya menghadiri mesyuarat tersebut yang diadakan di dalam sebuah bilik yang agak besar. Mesyuarat itu pendek dan sangat memgecewakan. Wakil AS mengatakan bahawa berdasarkan rekod, penamatan kerja dilakukan dengan cara yang betul menurut prosedur standard mereka. Saya menegaskan bahawa tiada surat penamatan kerja, tiada siasatan dalaman, dan apakah prosedur standard yang dikatakan oleh mereka? Saya memberitahu mereka, saya yakin  bahawa pelaksanaan undang-undang buruh di AS mestilah jauh lebih baik. Tetapi mereka tidak berminat untuk berbincang dan apabila saya menanyakan tentang sebarang penyelesaian ataupun pampasan, mereka mengatakan bahawa tiadanya pampasan. Jadi, saya memberitahu mereka bahawa saya akan membawa kes ini ke langkah seterusnya. Kami tidak akan menyerah, walaupun pada masa itu sudah berlalunya 6 tahun.

Kami kemudiannya pergi berjumpa dengan Ragu, peguam kami. Beliau bersetuju untuk memfailkan satu saman – membuat permohonan mandamus untuk mengarahkan Menteri Sumber Manusia supaya merujuk kes ini di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan. Kami kemudiannya menulis satu lagi surat kepada Menteri Sumber Manusia bertarikh 17 Disember 2014, memaklum bahawa tiada penyelesaian dan sekali lagi meminta Menteri untuk membuka semula kes ini. Kami juga membuat Salinan surat kepada Ketua Pengarah JPP dan juga Menteri Sumber Manusia yang baru pada masa itu, Richard Riot. Pada 7 Disember 2015, peguam kami menghantar surat peguam kepada JPP untuk bertanyakan adakah mereka mempunyai rancangan untik merujuk kes atau tidak. Hal ini kemudian diteruskan oleh Prof Gurdial melalui peguamnya yang menulis beberapa surat, mewakili Subramaniam.

Ini telah menghasilkan beberapa maklumbalas. Telefon Subramaniam dan saya mula menerima panggilan daripada Jabatan. Mereka mahukan maklumat dan dari masa ke semasa memberitahu kami bahawa hal ini masih di bawah perhatian mereka. Pada tahun 2017, kami masih menerima surat mengatakan bahawa hal ini dalam tindakan jabatan. Akhirnya, Subaramaniam menerima surat daripada JPP pada 5 April 2017.

Pada 30 Mac 2018, sebulan setengah sebelum pilihanraya, kami menulis surat yang menyatakan kemarahan kami kepada Menteri Sumber Manusia Richard Riot dan Ketua Pengarah JPP Yunus Eazally, di mana kami berkata bahawa mereka tidak berani untuk mengambil tindakan terhadap Kedutaan. Kami juga melampirkan rencana suratkhabar NST yang bertarikh 10 Jun 2016 dengan tajuk “Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi bukan di atas undang-undang Malaysia, mahkamah menetapkan” (Embassies, High Commissions not above Malaysia laws, court rules). Dalam kes yang bersejarah itu, di mana ia diusahakan oleh peguam Edmond Bon, mahkamah menetapkan bahawa Suruhanjaya Tinggi Australia tidak dilindungi oleh Akta 1966 kerana ianya hanya terpakai untuk “ejen diplomatik” seperti Pesuruhjaya Tinggi itu sendiri. Mahkamah juga tidak menerima hujah Ketua Pengarah JPP bahawa Suruhanjaya Tinggi Australia dilindungi oleh Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Imuniti) 1992. Dalam kes tersebut, JPP telah memaklumkan bahawa ianya tiada kuasa berdasarkan sebab bahawa Suruhanjaya Tinggi Australia adalah dilindungi oleh Imuniti Diplomatik. Ini adalah senario yang sama seperti dalam kes Subramaniam.

Setelah kejatuhan rejim BN, kami menulis lagi kepada Menteri yang baru, iaitu Kula Segaran, pada 12 Julai 2018. Kami memberitahu beliau untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan lebih 10 tahun ini dengan merujuk kes ini di bawah Seksyen 20.

Akhirnya, pada 18 September 2018, satu mesyuarat rundingan damai telah dipanggil dan sekali lagi pada 28 September 2018. Kedutaan telah bertanya pada Subramaniam tentang apakah penyelesaian dikehendakinya dan kami memberitahu bahawa kami akan memaklumkannya nanti.

Akhirnya, kekebalan Kedutaan AS, imuniti dan juga kegagalan birokrat kerajaan kita untuk bertindak telah sampai ke satu penghujung. Subramaniam memberitahu saya bahawa ramai orang telah dibuang kerja sewenang-wenangnya sebelum ini dan mungkin kesnya akan memberi sedikit kelegaan kepada pekerja yang mungkin akan mengalami masalah yang sama pada masa depan.

———-

Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini asalnya dalam Bahasa Inggeris, diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia oleh Wan Zamzaidi, dan disunting oleh Choo Chon Kai.

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s