Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) mengadakan satu sidang akhbar secara atas talian pada hari ini (4 Februari 2021), untuk menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor kebelakangan ini berkenaan dengan rancangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Gabungan PHSKLU terdiri daripada organisasi-organisasi yang prihatin pada isu perlindungan hutan dan alam sekitar, seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Klima Action Malaysia (KAMY), Greenpeace Malaysia, Five Arts Centre, Empower Malaysia, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Global Environment Centre (GEC), Center for Orang Asli Concerns (COAC), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) Malaysia, Treat Every Environment Special (TrEES), Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Menurut Gabungan PHSKLU, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, tidak memberikan alasan-alasan yang kukuh kenapa hutan yang bernilai kepada manusia, flora dan fauna ini perlu dimusnahkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan bercampur. Mereka juga hairan kenapa Menteri Besar Selangor tidak mempedulikan Usul No. 26 yang telah diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 11 November 2020. Usul No. 26 (Tahun 2020) ini menyatakan, “bahawa Dewan Yang Mulia ini menggesa Kerajaan Negeri Selangor mempertahankan status warta hutan simpan di seluruh negeri agar kawasan-kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpan di Negeri Selangor dikekalkan dan dipelihara dengan baik supaya sumber air di Negeri Selangor mencukupi dan tidak terjejas untuk masa akan datang.”

Dalam laporan berita Malaysiakini pada 27 Januari 2021, Amirudin Shari berkata, “Sesetengah bantahan adalah tidak relevan, sebagai contoh, bantahan mengenai (ancaman terhadap) spesies yang terancam. Ya, mereka (spesies-spesies ini) boleh ditemui di kawasan ini, tetapi mereka juga boleh ditemui di kawasan-kawasan yang lain dan bukannya sebegitu terancam seperti yang dikatakan.” Gabungan PHSKLU mempertikaikan kenyataan ini kerana ia nampaknya cuba meremeh-temehkan bantahan yang dibangkitkan oleh masyarakat sivil. Sebanyak 45,000 surat bantahan telah diserahkan, tambahan pula dengan aksi demonstrasi aman, 130,000 bantahan secara atas talian, 1,500 e-mel yang dihantar kepada ADUN-ADUN berkenaan dengan perkara ini, dan Usul No. 26 yang diluluskan sebulat suara di dalam DUN Selangor pada tahun 2020. Semua ini menunjukkan bahawa tuduhan tentang bantahan tidak relevan itu adalah begitu tidak berasas.

“Jika sesuatu spesies boleh ditemui di tempat yang lain, tidak bermakna bahawa ia tidak lagi terancam atau mudah terkesan. Kenyataan ini tidak mempedulikan idea mengenai pemuliharaan spesies, biodiversiti tempatan dan hak kebudayaan masyarakat Orang Asli serta hubungan mereka dengan flora dan fauna dalam hutan,” begitu katanya Gabungan Gabungan PHSKLU untuk membidas kenyataan Menteri Besar Selangor.

Menurut satu laporan berita dalam akhbar The Star pada 20 Februari 2020, Amirudin Shari berkata bahawa cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dikemukakan kerana 40% daripada kawasan di situ tidak lagi mempunyai unsur hutan dara, dan juga bertujuan untuk mencegah pembakaran terbuka yang berulangan. Gabungan PHSKLU mengatakan kenyataan ini adalah mengelirukan dan tidak menawarkan penyelesaian yang lebih baik, kerana masih terdapat 60% kawasan hutan dara yang belum lagi terjejas. “40% kawasan yang terkesan oleh kebakaran hutan telah ditanam semula dan dipulihkan oleh komuniti setempat dan kumpulan-kumpulan masyarakat. Friends of Kuala Langat North Peat Swamp Forest, yang terdiri daripada komuniti-komuniti Orang Asli yang tinggal berdekatan dengan hutan ini, telah bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan organisasi-organisasi lain untuk menjalankan aktiviti pemulihan dan pemuliharaan di kawasan ini sejak tahun 2015. Mereka telah menanam lebih daripada 10,000 batang pokok dan membantu dalam pertumbuhan semula hutan semula jadi. Hasilnya, hutan ini sedang berpulih dengan baik di dalam kawasan hutan simpan seluas 300 hektar yang sebelum ini terkesan kerana kebakaran. Hanya satu kejadian kebakaran di situ dalam tempoh lima tahun yang lepas,” jelas Gabungan PHSKLU.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari juga pernah berkata, “Sejajar dengan cadangan penyahwartaan ini, kami menawarkan empat kawasan hutan yang kurang diteroka untuk menggantikan 931 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara. Lokasi-lokasi baharu ini juga mempunyai hutan paya gambut dan ekosistem yang serupa. Jika cadangan penyahwartaan diluluskan, kami akan memilih empat lokasi sebagai hutan simpan baharu.” Empat lokasi baharu ini ialah kawasan hutan di Sungai Panjang di Sabak Bernam, Hutan Simpan Sabak Bernam, Hutam Simpan Taman Alam di Kuala Selangor dan Hutan Simpan Ampang Pecah di Ampang. Gabungan PHSKLU mempertikaikan “pertukaran kawasan hutan simpan” yang dicadangkan oleh Menteri Besar Selangor ini, kerana Hutan Simpan Kuala Langat Utara merupakan salah satu daripada hutan paya gambut yang begitu sedikit yang masih wujud di bahagian selatan negeri Selangor dengan kepelbagaian yang tinggi dalam spesies unik. Idea bahawa hutan “boleh ditukar” dan boleh “dipotong dan ditampal” (cut and paste) kepada 4 kawasan hutan yang lain menunjukkan bahawa kekurangan pemahaman Menteri Besar Selangor mengenai sifat saling hubungkaitan hutan dengan hidrologi tempatan dan biodiversiti tempatan. Ini akan mendatangkan perubahan yang jelas kepada iklim di kawasan ini, spesies yang hidup di hutan ini dan komuniti yang tinggal berdekatan dengan hutan ini.

Pemeliharaan hutan amat penting untuk melindungi masyarakat kita daripada ancaman pemanasan dunia dan krisis iklim. Ili Nadiah Dzulfakar daripada Klima Action Malaysia (KAMY) berkata, “Pada penghujung abad ini, kita akan menyaksikan peningkatan suhu dunia sebanyak 1.5 hingga 2 darjah selsius atau lebih. Peningkatan suhu ini akan meningkatkan lagi kebarangkalian berlakunya lebih banyak kejadian cuaca yang teruk. Kita sudah melihatnya beberapa minggu yang lalu semasa banjir melanda kerana hujan yang intensif. Jika kita kehilangan benteng ekosistem ini untuk melindungi kita daripada iklim yang memanas, kita tidak akan dapat kekal hidup sebagai komuniti, negeri dan negara. Ini adalah krisis eksistensial.”

Gabungan PHSKLU juga menegaskan bahawa penyahwartaan hutan simpan ini boleh mengurangkan hutan simpan yang dilindungi daripada 958 hektar sekarang ini kepada 28 hektar, ataupun kehilangan hutan simpan sebanyak 97%. Ini bermakna kemusnahan sepenuhnya hutan dan biodiversitinya, yang pasti akan mendatangkan kesan teruk kepada masyarakat Orang Asli yang hidup bergantung kepada hutan ini.

Shaq Koyok, wakil masyarakat Orang Asli di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, mengatakan bahawa sejak awal lagi pihak Kerajaan Negeri yang hendak menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara tidak pernah mengadakan rundingan dengan masyarakat Orang Asli yang tinggal berdekatan dengan hutan ini.

Gabungan PHSKLU pernah menghantar surat pada 4 Disember 2020 dengan permohonan untuk bertemu dengan Menteri Besar Selangor supaya membincangkan perkara ini, tetapi tidak menerima apa-apa respon daripada Pejabat Menteri Besar Selangor. Satu lagi surat dihantar kepada Menteri Besar Selangor pada 21 Januari 2021 yang menyeru supaya pihak Kerajaan Negeri Selangor menarik balik cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan segera.

Masyarakat sivil sudah bersuara dengan jelas kenapa membantah sepenuhnya rancangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara. Rancangan ini tidak memanfaatkan masyarakat umum, malah boleh menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli yang berdekatan dan memburukkan krisis iklim yang sedang mengancam kita semua. Dengan begitu banyak bantahan telah dikemukakan kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor, maka tiada sebab untuk Kerajaan Negeri masih hendak mempertimbangkan cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

==========

Sokong kempen Selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara di sini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s