(foto: Money Sharma / AFP / Getty Images)

Petani-petani di India telah mengadakan aksi protes yang berlarutan lebih 3 minggu untuk membantah undang-undang anti-petani yang dibawa oleh Kerajaan BJP pimpinan Narendra Modi. Ratusan ribu petani yang berprotes telah menduduki sekurang-kurangnya lima lebuhraya utama di kawasan pinggiran New Delhi, ibu negara India, dan bertekad untuk terus menduduki situ sehingga undang-undang baru yang menganiayai petani itu dibatalkan.

Aksi protes petani sudah pun bermula sejak bulan Ogos 2020, apabila kerajaan BJP di bawah pimpinan Modi tergesa-gesa untuk meluluskan di dalam Parlimen rang undang-undang yang hanya menguntungkan syarikat korporat dengan mengorbankan kehidupan petani bawahan. Tiga rang undang-undang yang diperkenalkan itu ialah:

  • Rang Undang-undang Perdagangan dan Perniagaan Pengeluaran Petani (Promosi dan Pemudahan) 2020;
  • Rang Undang-undang Perjanjian Jaminan Harga dan Perkhidmatan Pertanian Petani (Pemberdayaan dan Perlindungan) 2020;
  • Rang Undang-undang Komoditi Penting (Pindaan) 2020.

“Pembaharuan pertanian” bersifat neoliberal yang diperkenalkan oleh kerajaan Modi ini akan melonggarkan peraturan berkaitan dengan penjualan, perhargaan dan penyimpanan hasil pertanian. Ini akan menyebabkan petani-petani miskin di India lebih terdedah kepada ancaman kuasa “pasaran bebas” yang didominasi oleh golongan kapitalis mahakaya dan menurunkan harga jualan hasil tanaman mereka serta menghancurkan rezeki mereka.

Menurut perangkaan Biro Rekod Jenayah Kebangsaan (NCRB), sekurang-kurangnya 10,281 orang petani India atau mereka yang bekerja dalam sektor pertanian membunuh diri pada tahun 2019. Ini bersamaan dengan 28 orang petani membunuh diri setiap hari di India, ataupun sekurang-kurangnya seorang petani membunuh diri setiap jam! Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah petani membunuh diri di India sentiasa mencecah angka 5-digit. Antara punca kepada kes petani membunuh diri ini adalah beban hutang yang melemaskan dan pendapatan yang rendah. Dasar dan undang-undang yang dibawa oleh kerajaan Modi hanya akan memburukkan lagi keadaan yang dihadapi oleh petani India.

(foto: Adnan Abidi / Reuters)

Di bawah mobilisasi gerakan petani yang bergabung di bawah badan-badan penyelarasan seperti Sanyukt Kisan Morcha (SKM) dan Kesatuan Petani Seluruh India (All India Kisan Sabha, AIKS), petani-petani India mengadakan aksi protes besar-besaran. Gelombang protes petani yang terbaru tercetus serentak dengan aksi mogok nasional pada 26 November 2020, apabila puluhan ribu petani berarak menuju ke Delhi dan melakukan sekatan jalan. Selepas 250 juta orang pekerja, petani, pelajar dan anggota masyarakat sivil mengambil bahagian dalam mogok yang bersejarah itu, petani-petani yang berprotes meneruskan aksi menyekat lebuhraya yang menuju ke Delhi. Pihak polis telah menggunakan kekerasaan sebagai cubaan untuk menyuraikan petani-petani yang berprotes.

Sanyukt Kisan Morcha (SKM), sebuah gabungan yang terdiri daripada 500 buah pertubuhan petani di seluruh India, telah menganjurkan satu aksi mogok besar-besaran pada 8 Disember 2020. Lebih 5 juta orang mengambil bahagian dalam aksi mogok tersebut, dan demonstrasi diadakan di sekurang-kurangnya 20,000 lokasi yang berbeza di 22 buah negeri seluruh India.

Tuntutan yang dibawa oleh petani-petani yang berprotes termasuk:

  • Memansuhkan tiga undang-undang pertanian baru yang anti-petani.
  • Memastikan jaminan untuk harga sokongan minimum (MSP) dan perolehan hasil tanaman oleh kerajaan melalui MSP.
  • Melaksanakan cadangan Suruhanjaya Swaminathan mengenai MSP harus ditetapkan pada kadar sekurang-kurangnya 50% lebih daripada kos pengeluaran purata berwajaran.
  • Membatalkan Rang Undang-undang (Pindaan) Elektrik yang tidak akan memberikan bekalan elektrik percuma kepada petani.
  • Kurangkan harga diesel untuk pertanian sebanyak 50%.
  • Menarik balik kes pendakwaan dan membebaskan semua pemimpin petani yang ditahan.

6 thoughts on “India: Petani bangkit lawan dasar kerajaan Modi yang anti-petani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *