Tahun 2020 merupakan satu tahun yang mencabar untuk rakyat di seluruh dunia. Dengan kes jangkitan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) yang paling awal dikesan di bandaraya Wuhan, China, dan mula merebak ke seluruh dunia sejak awal tahun 2020, pandemik koronavirus masih mengancam dunia kita dengan kes jangkitan yang terkumpul mencecah 80 juta dan angka kematian melebihi 1.7 juta pada penghujung tahun 2020. Pandemik COVID-19 telah mendatangkan impak yang amat teruk kepada ekonomi dan masyarakat dunia, malah menjadi satu titik tolak yang mengubah trajektori perkembangan sejarah masyarakat dunia dalam abad ke-21.

Penularan pandemik COVID-19 telah mendedahkan kelemahan dan kepincangan yang serius dalam sistem kapitalis global. Krisis ekonomi wujud secara kitaran walaupun dalam keadaan tanpa berlakunya pandemik, menjadi lebih teruk kerana pandemik COVID-19. Sementara itu, kegagalan kerajaan di banyak negara dalam menangani pandemik dan tindakan kerajaan yang bersifat autoritarian untuk menangani krisis, turut mengundang pelbagai masalah. Penentangan melawan penindasan dan perjuangan rakyat untuk keadilan sosial masih berterusan di banyak tempat…

Marilah kita imbas kembali beberapa peristiwa perjuangan rakyat yang penting sepanjang tahun 2020:

1. Thailand: Generasi baru bangkit memperjuangkan pembaharuan demokratik

Gelombang protes yang diterajui oleh golongan anak muda dan pelajar tercetus pada bulan Februari 2020 selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand membubarkan Parti Maju Masa Depan, sebuah parti pembangkang yang lantang bersuara melawan kekuasaan pihak tentera. Aksi protes tergendala untuk beberapa bulan kerana penularan wabak COVID-19, tetapi kembali membara pada bulan Julai 2020. Gerakan pro-demokrasi Thailand yang terbaru ini mengemukakan tuntutan yang termasuk pengunduran Prayut Chan-o-cha sebagai Perdana Menteri untuk pilihanraya baru, menggubal perlembagaan baru untuk menggantikan perlembagaan sekarang yang bersifat autoritarian, menghentikan gangguan terhadap rakyat yang bersuara mengkritik kerajaan dan melakukan pembaharuan terhadap sistem monarki Thailand. Prayut cuba mengisytihar darurat yang diperketatkan pada bulan Oktober 2020 tetapi gagal menyekat rakyat daripada turun ke jalanraya. Ramai aktivis telah didakwa atas pertuduhan hasutan dan lèse-majesté.

2. Nigeria: Rakyat bangkit lawan keganasan polis

Gelombang protes besar-besaran tercetus di Nigeria pada bulan Oktober 2020, dengan tuntutan membubarkan Skuad Anti-Perompakan Khas (SARS) yang terkenal dengan penggunaan keganasan terhadap orang awam. Pasukan Polis Nigeria mengumumkan pembubaran SARS pada 11 Oktober 2020, tetapi aksi protes diteruskan kerana rakyat menuntut perubahan sistemik yang sebenar pada badan penguatkuasaan di negara itu.

3. India: Gelombang protes petani lawan dasar neoliberal Modi

Petani-petani India yang membantah dasar neoliberal kerajaan pimpinan Narendra Modi yang anti-petani, mengadakan aksi protes besar-besaran, termasuk mogok nasional pada 25 September 2020 dan kempen berarak menuju ke Delhi serentak dengan mogok pekerja seluruh India pada bulan November 2020. Petani-petani yang berprotes mengemukakan tuntutan seperti memansuhkan tiga undang-undang pertanian baru yang diluluskan oleh Parlimen India yang dikuasai BJP, memastikan jaminan untuk harga sokongan minimum (MSP) bagi hasil pertanian, melaksanakan cadangan daripada Suruhanjaya Petani Kebangsaan dan sebagainya.

4. Belarus: Gelombang protes mencabar kekuasaan Lukashenko

Gelombang protes besar-besaran tercetus di Belarus dan memuncak apabila Alexander Lukashenko diisytihar sebagai menang untuk kali keenam dalam Pilihanraya Presiden yang penuh dengan kontroversi pada bulan Ogos 2020. Ini merupakan gelombang protes yang terbesar dalam sejarah negara Belarus. Kerajaan Lukashenko yang berkuasa sejak tahun 1994, telah menggunakan kekerasan untuk mematahkan kebangkitan rakyat Belarus, tetapi demonstrasi jalanan masih berterusan. Gerakan protes menuntut perletakan jawatan Lukashenko sebagai Presiden, pilihanraya baru yang bebas dan adil, pembebasan tahanan politik dan penghapusan keganasan polis.

5. Indonesia: Aksi massa lawan undang-undang Omnibus

Gelombang protes besar-besaran tercetus di Indonesia untuk menentang Undang-undang Omnibus (Undang-undang Sapu Jagat) yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Presiden Jokowi. Undang-undang Omnibus yang digubal atas alasan menarik pelaburan dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, sebenarnya hanya merupakan usaha kerajaan berfahaman neoliberal untuk memudahkan golongan kapitalis dan korporat multinasional dalam mengeksploitasi pekerja dan menggondol lebih banyak sumber alam di Indonesia.

6. AS: Kematian George Floyd dan gerakan Black Lives Matter

Kematian seorang warga Amerika Afrika, George Floyd, selepas dilayan secara keras oleh pegawai polis di bandar minneapolis pada 25 Mei 2020, mencetuskan gelombang gerakan Black Lives Matter yang terbaru dengan aksi protes besar-besaran merebak ke seluruh negara Amerika Syarikat (AS). Aksi-aksi protes ini telah mengetengahkan isu-isu seperti keganasan polis dan rasisme institusi yang dihadapi oleh golongan keturunan Afrika serta golongan minoriti di AS. Terdapat juga insiden keganasan polis yang berlaku di beberapa buah bandar mencetuskan demonstrasi dan rusuhan, antaranya insiden penembakan Jacob Blake di Kenosha, Wisconsin, pada 23 Ogos 2020, dan dua orang demonstran yang berprotes membantah rasisme dan keganasan polis di Kenosha ditembak mati oleh seorang pendukung fahaman pelampau kanan. Gelombang protes ini juga mewujudkan kempen menurunkan tugu peringatan yang berkaitan dengan sejarah perhambaan dan ketuanan orang berkulit putih. Beberapa bandar di AS telah melakukan pengurangan belanjawan dan pembaharuan terhadap jabatan polis masing-masing berikutan gerakan protes Black Lives Matter.

7. Bolivia: Rakyat tewaskan rejim kudeta dalam pilihanraya

Selepas setahun rampasan kuasa yang menjatuhkan Evo Morales, parti Gerakan Menuju Sosialisme (MAS) yang dipimpin oleh Morales kembali berkuasa selepas mendapat kemenangan besar dalam Pilihanraya Umum yang diadakan pada 18 Oktober 2020. Pilihanraya tersebut diadakan selepas gelombang aksi protes hebat yang menentang usaha rejim kudeta pimpinan Jeanine Áñez daripada terus menangguhkan pilihanraya. Luis Arce, calon MAS untuk Presiden Bolivia, meraih sebanyak 55.10% undi dalam pusingan pertama pengundian untuk Pilihanraya Presiden, sekali gus memberi tamparan hebat kepada golongan berhaluan kanan dan kuasa imperialis yang menjatuhkan Morales setahun sebelum itu. Morales pulang ke Bolivia pada bulan November 2020.

8. Mali: Gelombang protes jatuhkan kerajaan

Gerakan protes besar-besaran yang tercetus di Bamako, Mali, pada 5 Jun 2020, akhirnya membawa kepada kudeta tentera yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Ibrahim Boubacar Keïta pada 19 Ogos 2020.

9. Colombia: Protes lawan keganasan polis

Gelombang protes besar-besaran tercetus di Colombia pada bulan September selepas berlaku insiden kematian Javier Ordóñez kerana keganasan polis. Protes membantah keganasan polis ini telah dilayan dengan penindasan yang keras daripada pasukan polis Colombia, sehingga menyebabkan 13 orang mati terkorban. Di samping itu, satu aksi mogok nasional diadakan pada 21 Oktober 2020, untuk memprotes terhadap dasar sosial dan ekonomi yang dibawa oleh Kerajaan pimpinan Presiden Iván Duque.

10. Poland: Protes lawan undang-undang anti-wanita

Gelombang protes yang hebat tercetus di seluruh negara Poland selepas mahkamah perlembagaan negara itu memutuskan pada 22 Oktober 2020 untuk memperketatkan lagi undang-undang mengenai pengguguran kandungan di Poland, sehingga hampir semua kes pengguguran boleh dianggap haram. Ini merupakan gelombang kebangkitan rakyat yang terbesar di Poland sejak kejatuhan pemerintahan parti komunis di negara itu pada tahun 1989.

Aksi perjuangan yang lain…

Selain daripada contoh perjuangan rakyat hebat yang disenaraikan di atas, terdapat banyak lagi perjuangan rakyat yang berlaku di seluruh dunia sepanjang tahun 2020, antaranya: protes tercetus di Iran berikutan penembakan jatuh pesawat penumpang atas kesilapan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada bulan Januari 2020; gerakan protes di Lubnan yang tercetus sejak tahun 2019 berterusan lagi khususnya selepas berlaku insiden letupan hebat di Pelabuhan Beirut pada bulan Ogos 2020; aksi mogok lawan korupsi dan pengangguran di Afrika Selatan pada 7 Oktober 2020; protes di Kyrgyzstan yang membantah penyelewengan pilihanraya pada bulan Oktober 2020 memaksa Presiden Sooronbay Jeenbekov meletak jawatan pada 15 Oktober 2020; gelombang protes di Peru berikutan pemecatan Martín Vizcarra sebagai Presiden negara itu pada 9 November 2020 berjaya menumpaskan rejim kudeta dalam tempoh 5 hari; protes di Guatemala pada bulan November 2020 yang membantah kelulusan belanjawan yang mengurangkan perbelanjaan untuk pesakit COVID-19; gelombang protes di Bulgaria sejak bulan Julai 2020 yang menuntut perletakan jawatan Perdana Menteri Boyko Borisov dan kerajaannya; protes rakyat Perancis melawan rang undang-undang keselamatan global yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Emmanuel Macron; kemenangan Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV) dalam Pilihanraya Parlimen Venezuela pada bulan Disember 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *