Aktivis-aktivis daripada gerakan sosial di Venezuela berkumpul di Caracas pada 16 November 2020 untuk menyatakan solidari bersama rakyat Sahrawi dan membantah serangan tentera Maghribi. (Foto: Instituto Simón Bolívar)

Kerajaan Maghribi melancarkan serangan ketenteraan pada 13 November 2020 ke atas Guerguerat, sebuah perkampungan Sahrawi yang terletak di hujung Barat Daya Sahara Barat, sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata yang dipersetujuinya hampir 30 tahun dahulu. Organisasi-organisasi progresif di seluruh dunia menyuarakan solidariti mereka kepada rakyat Sahara Barat dan menyatakan bantahan terhadap tindakan pencerobohan Maghribi yang memungkiri janji gencatan senjata ini.

Wilayah Sahara Barat dipertikaikan antara kerajaan negara Maghribi dan Republik Demokratik Arab Sahrawi (SADR) sejak tahun 1970-an. Wilayah ini pernah dijajah oleh Sepanyol, tetapi semakin kehilangan penguasaan terhadap kawasan luar bandar kepada kumpulan gerila “Fron Polisario” (singkatan untuk “Fron Popular untuk Pembebasan Saguia el-Hamra dan Río de Oro”), sebuah pertubuhan nasionalis Sahrawi (masyarakat penduduk asal Sahara Barat) yang memperjuangkan kemerdekaan Sahara Barat sejak penubuhannya pada tahun 1973.  Kerajaan Sepanyol mula berundur dari Sahara Barat pada tahun 1975, untuk memindahkan kawalan pentadbiran wilayah tersebut kepada Maghribi dan Mauritania, atas desakan kuasa imperialis seperti Perancis dan Amerika Syarikat. Kerajaan Maghribi cuba menduduki wilayah Sahara Barat dengan mengerahkan tentera ke situ tetapi mendapat tentangan daripada Fron Polisario. Fron Polisario mengisytihar penubuhan Republik Demokratik Arab Sahrawi (SADR) pada bulan Februari 1976. Konflik bersenjata tercetus antara Kerajaan Maghribi dengan golongan nasionalis Sahrawi yang diterajui Fron Polisario. Kerajaan Mauritania yang pada awalnya turut terlibat dalam konflik ini menarik diri daripadanya selepas menandatangani satu perjanjian pendamaian dengan Fron Polisario pada tahun 1979. Pertikaian diteruskan antara Maghribi yang disokong oleh kuasa imperialis Blok Barat zaman Perang Dingin seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Arab Saudi, dengan Fron Polisario yang disokong oleh Algeria dan Libya. Kerajaan Maghribi telah membina benteng-benteng pasir yang sepanjang 2,700 km merentasi Sahara Barat untuk memisahkan kawasan yang dikuasai Maghribi dengan kawasan yang dikuasai Fron Polisario. Perang Sahara Barat yang tercetus pada tahun 1975 berlarutan sehingga tahun 1991, apabila satu perjanjian gencatan senjata telah ditandatangani antara dua pihak dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai perantara. Perjanjian gencatan senjata tersebut menjanjikan satu referendum dalam kalangan warga Sahrawi untuk memilih sama ada merdeka atau diserapkan ke dalam Maghribi, tetapi referendum untuk rakyat Sahara Barat menentukan nasib sendiri ini telah ditangguhkan sehingga kini. Satu misi pengamanan PBB yang dikenali sebagai Misi Pungutan Suara Sahara Barat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (MINURSO) telah diwujudkan untuk memantau proses gencatan senjata.

Pencerobohan tentera Maghribi di Sahara Barat yang terbaru ini, telah melanggar perjanjian gencatan senjata yang telah berkuatkuasa hampir 30 tahun dan merupakan satu tindakan berniat jahat untuk menafikan hak rakyat Sahara Barat menentukan nasib sendiri.

Kerajaan Venezuela telah menyatakan sokongannya terhadap hak masyarakat Sahrawi untuk menentukan nasib sendiri. Gerakan sosial di Venezuela telah mengadakan aksi bersolidariti dengan perjuangan rakyat Sahrawi dan mengecam tindakan pencerobohan Maghribi. Demonstran menggesa PBB untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dalam menghentikan konflik di Sahara Barat. Pablo Iglesias Turrión, Timbalan Perdana Menteri Kedua Sepanyol juga menyatakan sokongannya kepada rakyat Sahrawi.

Pada 16 November 2020, tentera Maghribi telah melakukan serbuan terhadap kediaman orang awam di kawasan El-Aaiun yang didudukinya untuk menangkap mereka yang menyatakan solidariti terhadap rakyat Sahrawi dan menyokong tuntutan untuk kemerdekaan Sahara Barat. Tentera Maghribi juga menahan beberapa orang wartawan yang melaporkan tindakan pencerobohan tenteranya.

Merespon kepada serangan agresif Maghribi ini, Fron Polisario telah menuntut pada PBB supaya mencampurtangan segera untuk mengawal tentera yang menceroboh. Fron Polisario juga menggesa PBB supaya segera memberi satu kenyataan yang jelas untuk membolehkan rakyat di Sahara Barat menentukan nasib mereka sendiri melalui referendum.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *