SUBANG JAYA – 8 SEPTEMBER 2020: 9 orang pekerja dari Sri Lanka yang bekerja di panggung wayang telah diusir keluar dari asrama pekerja tanpa dibayar gaji oleh majikan mereka sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020.

Pekerja-pekerja dari Sri Lanka yang diupah oleh syarikat UMR Solutions Sdn Bhd ini, telah dibawa masuk ke Malaysia pada bulan April dan Mei 2019. 8 orang pekerja telah ditempatkan untuk bekerja sebagai pekerja pembersihan di panggung wayang GSC Queensbay Mall di Pulau Pinang, manakala seorang lagi ditempatkan di sebuah panggung wayang di Kuala Lumpur. Mereka telah dijanjikan dengan bayaran gaji RM1,660.10 sebulan dan disediakan asrama pekerja.

Namun, pekerja-pekerja ini tidak lagi dibayar apa-apa gaji sejak bulan Mac 2020, iaitu apabila PKP dilaksanakan. Malah, yang lebih teruk lagi adalah, apabila pekerja-pekerja cuba meminta pada pihak majikan untuk membayar gaji mereka yang tertunggak itu, pihak majikan telah menghalau pekerja-pekerja keluar dari asrama yang dihuni mereka. Pekerja-pekerja yang ditempatkan di Pulau Pinang itu telah diusir keluar dari asrama mereka pada 1 Julai 2020. Selain itu, majikan UMR Solutions Sdn Bhd juga enggan memulangkan pasport kepada semua pekerja, walaupun Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia juga memintanya berbuat demikian. Menyimpan pasport pekerja migran merupakan satu kesalahan, tetapi pihak majikan langsung tidak mempedulikannya. Pekerja-pekerja ini memerlukan pasport mereka untuk menguruskan penghantaran pulang ke negara asal mereka.

Oleh yang demikian, di bawah bantuan Parti Sosialis Malaysia (PSM), pekerja-pekerja migran ini mengambil tindakan untuk membuat aduan polis di Balai Polis USJ 8, Selangor, pada hari ini. Turut hadir bersama dengan pekerja-pekerja ini semasa membuat aduan polis ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM.

Pekerja-pekerja dari Sri Lanka ini juga memfailkan kes di Pejabat Tenaga Kerja Subang Jaya untuk menuntut gaji tunggakan selama 6 bulan. Pekerja-pekerja ini juga memerlukan wang bayaran tiket untuk mereka pulang ke Sri Lanka.

Pekerja-pekerja dari Sri Lanka ini merantau jauh datang ke negara kita untuk bekerja dengan harapan menjana pendapatan yang mencukupi kepada diri dan keluarga mereka, tetapi kini telah dimangsakan dan dizalimi oleh majikan mereka, lebih-lebih lagi pada ketika dunia dilanda pandemik COVI-19. Mereka bukan sahaja tidak dibayar gaji semasa pandemik, malah telah diusir keluar dari tempat penginapan mereka. Mereka juga menghadapi masalah untuk pulang ke negara asal mereka kerana majikan yang zalim itu enggan memulangkan pasport yang dipegangnya secara haram. Oleh yang demikian, pekerja-pekerja ini cuba menuntut keadilan dengan memfailkan kes di Jabatan Tenaga Kerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *