20200903 - cleaner (2)

oleh S. Arutchelvan

Hari ini (3 September 2020), perbicaraan kes pekerja pembersihan Valarmathy melawan PERKESO berlangsung di hadapan Hakim YA Dato Sri Mariana Binti Haji Yahya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Peguam yang mewakili Valar ialah Vivian Kuan, New Sin Yew dan Beatrice Chin.

Peguam Valar menghujah dengan jelas dan nyata bahawa memang terdapat beberapa kes tuntutan PERKESO sebelum ini, seperti lencongan untuk makan, beli barangan dan sebagainya, telah dibenarkan, malah dalam kes Valar ini, tuntutannya adalah lebih berasas lagi, kerana Valar menghantar rakan sekerjanya di sekolah yang sama untuk pulang ke rumah. Tindakan Valar ini ada kaitan dengan pekerjaannya, di mana majikan tidak membekalkan pengangkutan, dan kenyataan ini tidak pernah dibantah oleh pihak majikan. Hujah kedua adalah Valar menggunakan jalan yang sama setiap hari untuk pergi dan balik kerja. Semasa pergi kerja, dia terus datang ke sekolah di mana dia bekerja sebagai pekerja pembersihan di situ. Semasa balik dari kerja, Valar menghantar rakan pekerja dengan motosikal untuk balik rumah sebelum dia pulang ke rumah sendiri. Rakan sekerja Valar itu dihantar oleh suaminya semasa datang bekerja, tetapi dia tidak mempunyai apa-apa pengangkutan sendiri semasa pulang dari kerja. Oleh itu, Valar hanya membantu rakan sekerjanya. Selain itu, Peguam Sin Yew mengatakan bahawa tidak ada dalam undang-undang PERKESO yang menyatakan bahawa pekerja kena mengambil jalan terdekat atau jalan terus pulang ke rumah.

Satu lagi isu adalah PERKESO mengatakan bahawa Valar buat bisnes sampingan dengan menghantar rakan sekerjanya pulang ke rumah. Perkara ini dibidas kuat oleh peguam pihak Valar yang mengatakan bahawa dia hanya mendapat RM50 sebulan dan sebelum ini pun PERKESO mengatakan itu adalah duit minyak. Sebenarnya Valar mengatakan bahawa duit itu pun dia tidak pernah meminta daripada rakan sekerjanya, tetapi suami rakan sekerja yang meminta dia untuk menghantar isterinya pulang ke rumah, dan RM50 hanyalah tanda penghargaan yang begitu kecil jumlahnya.

Selepas Peguam kami membuat penghujahan, pihak PERKESO tidak membuat hujahan balas.

Hakim kemudian menetapkan hari Isnin hadapan (7 September 2020) untuk keputusan. Semasa kes berlangsung, saya nampak Valar tidak dapat duduk secara tegak, dan apabila saya tanya, dia mengatakan bahawa Hospital Putrajaya meminta RM18,000 kerana kena memasukkan 4 skru di bahagian tulang pinggang. Sebelum ini, selepas berlaku kemalangan, Valar telah diberi cuti 3 bulan. Jika Valar menang kes ini nanti, barulah dia dapat memperolehi duit yang dapat digunakan untuk pembedahan. Duit Perkeso ini memanglah untuk isu-isu seperti bencana kerja.

Kami berharap Valar akan menang dalam kes ini. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sokong dan viralkan isu ini.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

5 thoughts on “Kes pekerja pembersihan sekolah lawan PERKESO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *