KUALA LUMPUR – 7 SEPTEMBER 2020: Wakil masyarakat Orang Asli di Pos Lanai, Pahang, bersama dengan aktivis-aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), telah menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kuala Lumpur pada hari ini. Wakil daripada perkampungan Orang Asli Pos Lanai yang hadir pada hari ini ialah Jeffry Hassan, Mada dan Atan.

(Foto oleh Azneal Ishak / Malaysiakini.com)

Memorandum ini membantah “kebenaran” yang diberikan oleh JAKOA untuk menjalankan kajian di perkampungan Orang Asli untuk perlombongan unsur lantanid.

Lantanid merupakan unsur nadir bumi yang wujud dalam konsentrasi yang rendah. Maka, keluasan tanah yang besar perlu dilombong untuk mendapatkan sebilangan kecil unsur nadir bumi yang boleh digunakan. Perlombongan yang mahu dilakukan di Mukim Hulu Jelai ini melibatkan 660 hektar tanah, dipercayai menceroboh kawasan tanah adat masyarakat Orang Asli di Pos Lanai.

Perlombongan ini adalah sangat berbahaya kepada alam sekitar dan akan memberi kesan kepada sumber air Orang Asli. Oleh itu, penduduk Orang Asli di kawasan Pos Lanai membantah apa jua kajian yang dibuat untuk membuka lombong di wilayah adat masyarakat Orang Asli setempat.

Dalam perjumpaan dengan JAKOA hari ini, wakil-wakil masyarakat Orang Asli telah bertemu dengan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKOA, Puan Fairus binti Yahya.

Puan Fairus telah memaklumkan bahawa syarikat yang diberikan kebenaran itu sepatutnya melakukan satu kajian impak sosial (Social Impact Assessment, SIA) antara 17 Jun hingga 31 Ogos 2020. Namun, wakil Orang Asli, Jeffry bin Hassan, memberitahu bahawa tidak ada mana-mana pihak yang berjumpa dengan komuniti Orang Asli untuk membuat kajian tersebut.

Masyarakat Orang Asli Pos Lanai curiga terhadap hasil kajian tersebut yang tidak mengambil kira suara masyarakat Orang Asli di situ, dan akan dipesongkan seolah-olah mereka setuju dengan aktiviti perlombongan tersebut. Oleh itu, Jeffry telah menyatakan bantahan yang jelas dan akan mengemukakan surat bantahan bertulis daripada Tok Batin dan juga penduduk yang lain.

(Laporan ini ditulis oleh Sarah Irdina. Sarah Irdina ialah pelatih di PSM.)

One thought on “Bantah rancangan perlombongan lantanid di perkampungan OA Pos Lanai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *