“Satu hantu sedang berkeliaran di Thailand – hantu Pridi Banomyong. Semua kekuasaan di Siam lama akan menyatukan diri dalam satu persekutuan suci untuk mengusir hantu ini.”
[Adaptasi daripada ayat pertama dalam teks Manifesto Komunis (1948). Pridi Banomyong (1900-1983), ialah tokoh negarawan Thailand dan pemimpin Parti Rakyat (Khana Ratsadon) yang memainkan peranan penting dalam Revolusi Siam pada tahun 1932 untuk mewujudkan peralihan politik ke sistem raja perlembagaan di Thailand.]
Tugu Peringatan Demokrasi yang terletak di bulatan trafik di Lebuh Ratchadamnoen di pusat bandar Bangkok, yang didirikan untuk memperingati peristiwa “Revolusi Siam 1932” yang mewujudkan transisi dari pemerintahan raja mutlak kepada sistem raja berpelembagaan dan melahirkan Perlembagaan Thailand yang pertama, merupakan tempat yang popular untuk aksi demonstrasi di Thailand. Pada 16 Ogos 2020, sekurang-kurangnya 10,000 orang membanjiri Lebuh Ratchadamnoen dan mengelilingi Tugu Peringatan Demokrasi ini, untuk mengambil bahagian dalam aksi perhimpunan pro-demokrasi yang terbesar sejak peristiwa rampasan kuasa oleh pihak tentera yang membolehkan Perdana Menteri Thailand sekarang Prayut Chan-o-cha untuk berkuasa. Demonstrasi ini menunjukkan bahawa kemarahan rakyat terhadap rejim Prayut semakin memuncak dan seruan untuk perubahan politik dan institusi di negara Thailand semakin lantang suaranya.
Aksi perhimpunan di Bangkok pada 16 Ogos 2020 dianjurkan oleh kumpulan “Rakyat Bebas” dan Kesatuan Pelajar Thailand, dengan penyertaan daripada rakyat Thailand, kebanyakannya anak muda, yang mendahagakan perubahan kepada sistem politik Thailand sekarang. Perhimpunan ini merupakan sebahagian daripada gelombang protes pro-demokrasi terbaru yang dimulakan semula sejak 18 Julai 2020 selepas tergendala beberapa bulan kerana penularan wabak COVID-19. Tiga tuntutan utama gerakan protes ini ialah:
- Membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya yang baru;
- Menghentikan gangguan terhadap rakyat yang mengkritik kerajaan;
- Menggubal perlembagaan baru untuk menggantikan perlembagaan bersifat autoritarian sekarang yang dibuat oleh rejim pemerintahan tentera pada tahun 2016.
Sebelum ini, aksi perhimpunan pelajar di di kampus Rangsit, Universiti Thammasat, pada 10 Ogos 2020, telah menyaksikan pelajar yang berani mengemukakan Deklarasi Thammasat yang mengandungi 10 perkara tuntutan untuk pembaharuan terhadap sistem monarki di Thailand, termasuk pemansuhan undang-undang lèse majesté dan penghapusan hak istimewa Raja Thailand, satu tindakan yang mengungkitkan ketidaksenangan hati dan kemarahan dalam kalangan golongan setiaraja yang membentuk tulang belakang gerakan Baju Kuning yang menyokong kekuasaan tentera.
Kemudiannnya berlaku penangkapan terhadap aktivis demokrasi Parit Chiwarak, atau juga dikenali dengan nama gelaran “Penguin”. Parit ditangkap oleh polis pada 14 Ogos 2020 semasa dalam perjalanannya ke Jeti Nonthaburi untuk berucap dalam satu demonstrasi. Parit dituduh menghasut dan menganjurkan perhimpunan haram. Parit dibebaskan dengan ikat jamin pada 15 Ogos 2020 dengan syarat bahawa dia tidak boleh melakukan kesalahan yang sama dengan pertuduhan terhadapnya. Selepas dibebaskan, Parit menegaskan bahawa dia tetap akan menghadiri aksi protes pada 16 Ogos 2020. Parit juga membaca semula Deklarasi Thammasat yang mengandungi 10 perkara untuk pembaharuan sistem monarki Thailand. Parit berkata bahawa selagi isu pembaharuan terhadap monarki tidak boleh dibincangkan secara terbuka, slogan yang digunakan oleh gerakan pelajar “tamatkannya pada zaman kita” hanyalah mimpi sahaja.
Mesej-mesej yang menuntut pembaharuan terhadap sistem monarki semakin tersebar luas dalam protes pro-demokrasi di Thailand baru-baru ini, tetapi mesej-mesej ini hanya mendapat sedikit liputan atau tidak dilaporkan langsung oleh media arus perdana di negara itu kerana masih wujudnya ketakutan ancaman pihak berkuasa yang boleh menggunakan undang-undang lèse majesté terhadap mereka bila-bila masa.
Demonstrasi pada 16 Ogos 2020 telah memberi cabaran hebat kepada kerajaan pimpinan Prayut, yang berkuasa sejak tahun 2014 selepas rampasan kuasa oleh pihak tentera dan “dipilih” untuk meneruskan pemerintahan dalam pilihanraya tahun 2019 dengan sistem politik yang berpihak kepada kuasa tentera.
Semasa perhimpunan pada 16 Ogos 2020, Anon Nampa, seorang peguam hak asasi manusia yang lebih awal mengemukakan cadangan untuk pembaharuan terhadap sistem monarki baru-baru ini sebelum Deklarasi Thammasat, berkata di atas pentas perhimpunan bahawa gerakan pelajar telah membangun dengan begitu cepat. “Ramai orang telah diganggu. Sekarang ini, kita menghadapi ancaman kuasa gelap dari setiap sudut, malah mencapai hingga ke dalam mahkamah,” kata Anon. Anon menggesa mahkamah Thailand untuk memilih sama ada berpihak kepada kediktatoran atau demokrasi, dan mengingatkan tentang Kanakorn Pianchana (1969-2020), seorang hakim yang membunuh diri pada bulan Mac 2020 untuk menyatakan bantahannya terhadap sistem kehakiman negara Thailand yang penuh dengan kepincangan.
Anon berkata bahawa apa yang penting adalah rakyat dan pelajar sedang menerajui gerakan ini. “Walaupun menghadapi gangguan, pemimpin-pemimpin protes ini tidak rasa kesal kerana mengambil langkah yang pertama,” kata Anon sambil menyeru pada rakyat untuk terus menyokong dan melindungi mereka. Anon berkata bahawa mereka pernah disuruh untuk jangan mimpi tentang pembaharuan terhadap sistem monarki Thailand, atau meletakkan kedudukan monarki mengatasi politik dan di bawah perlembagaan, namun mereka akan “terus bermimpi”. Anon berkata bahawa mereka sudi menjemput Raja Thailand untuk bermimpi bersama mereka dan menjadikannya realiti, supaya rakyat Thailand akan dapat memberitahu kepada dunia bahawa “kita benar-benar diperintah oleh raja berperlembagaan”. Anon berkata bahawa dia dan pemimpin-pemimpin gerakan protes ini hanyalah meneruskan apa yang ditinggalkan oleh Parti Rakyat dan Pridi Banomyong dalam usaha menuju kebebasan dan demokrasi untuk Thailand. “Kita akan berjuang habis-habisan dalam generasi kita. Selagi misi ini tidak selesai, kita tidak akan mengaku kalah,” tegas Anon.
Dengan kebangkitan rakyat yang hebat untuk menuntut demokrasi di Thailand, wujud juga kebimbangan dalam kalangan masyarakat Thailand yang pernah melalui detik hitam sejarah pembunuhan beramai-ramai terhadap pelajar di kampus Tha Phra Chan Universiti Thammasat yang terletak tidak jauh dari Tugu Peringatan Demokrasi, pada 6 Oktober 1976. Pada ketika itu, golongan pelampau kanan setiaraja telah bermobilisasi atas nama mempertahankan Raja Thailand, dan bersama-sama dengan pihak tentera, melakukan serangan keganasan terhadap pelajar-pelajar yang memperjuangkan demokrasi di Thailand.
Negara Thailand telah mengalami sekurang-kurangnya 19 kali rampasan kuasa oleh pihak tentera sejak negara itu menggantikan sistem raja mutlak dengan sistem raja berpelembagaan pada tahun 1932, dengan 12 kali yang berjaya, termasuklah kudeta pada tahun 2014 yang membolehkan Prayut Chan-o-cha berkuasa sehingga sekarang. Terdapat 20 perlembagaan telah digunapakai di Thailand sejak tahun 1932, dengan kebanyakannya digubal selepas berlaku rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Perjuangan demokrasi di negara Thailand memang penuh dengan liku-liku dan cabaran hebat. Pembaharuan kepada sistem politik yang sepatutnya dibawa “Revolusi Siam” pada tahun 1932, telah digagalkan oleh golongan setiaraja dan pihak tentera yang masih berpegang kuat pada kekuasaan pemerintahan. Kebangkitan rakyat Thailand pada 14 Oktober 1973 yang berjaya menjatuhkan kerajaan diktator Thanom Kittikachorn pada masa itu, pernah membuka ruang baru untuk pembaharuan demokratik, tetapi digagalkan tiga tahun kemudian berikutan kudeta pada 6 Oktober 1976 yang melibatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap pelajar-pelajar di Universiti Thammasat. Kebangkitan rakyat pada tahun 1992 yang menentang pemerintahan tentera pada masa itu, walaupun menghadapi penindasan yang zalim daripada pihak tentera, tetapi akhirnya berjaya mendesak untuk penggubalan Perlembagaan 1997, yang dikatakan perlembagaan yang paling demokratik dalam sejarah Thailand kerana ia melibatkan penyertaan masyarakat awam yang agak besar dalam proses mendraf perlembagaan tersebut dan juga isi kandungannya yang jauh lebih demokratik berbanding perlembagaan-perlembagaan sebelum itu. Akan tetapi, Perlembagaan 1997 dibatalkan berikutan kudeta pada tahun 2006 yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Thaksin Shinawatra, satu-satunya Perdana Menteri Thailand yang dapat mengekalkan jawatannya dengan partinya memenangi kerusi majoriti dalam pilihanraya yang demokratik. Untuk hampir satu dekad antara tahun 2005 hingga 2014, arena politik Thailand menyaksikan pertembungan antara gerakan Baju Merah yang pro-demokrasi, yang diterajui oleh Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Kediktatoran (UDD), dengan golongan Baju Kuning yang setiaraja dan menyokong pemerintahan tentera, yang diterajui oleh Pakatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD). Pada bulan Mei 2010, ketika zaman pentadbiran Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva daripada Parti Demokratik yang mendapat sokongan Baju Kuning dan berkuasa selepas kudeta melalui mahkamah, gerakan Baju Merah pro-demokrasi ditindas secara ganas oleh pihak berkuasa dengan puluhan orang mati terkorban. Golongan Baju Kuning menjelma kepada Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) yang bermobilisasi untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra dan kemudiannya membuka laluan kepada rampasan kuasa oleh pihak tentera di bawah kepimpinan Prayut Chan-o-cha pada bulan Mei 2014.
Pemerintahan ketenteraan di bawah pimpinan Prayut Chan-o-cha telah menggubal Perlembagaan baru yang memberi lebih banyak kuasa kepada pihak tentera untuk mendominasi politik negara Thailand melalui satu referendum yang penuh dengan kepincangan pada tahun 2016. Prayut kemudiannya mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya umum pada tahun 2019, walaupun Parti Palang Pracharath yang mencalonkannya sebagai Perdana Menteri hanya memperoleh 23.34% undi, tetapi mendapat sokongan daripada 249 orang Senator yang dilantik oleh pihak tentera (terdapat 250 orang perwakilan dalam Senat Thailand) yang menjamin perlantikannya. Parti ketiga besar dalam Parlimen, Parti Maju Masa Depan yang mengambil pendirian yang anti-tentera, telah menghadapi pelbagai gangguan dan intimidasi daripada pihak berkuasa. Pemimpin Parti Maju Masa Depan, Thanathorn Juangroongruangkit telah dibatalkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen dan dilarang untuk mengambil bahagian dalam politik selama 10 tahun bersama dengan 15 orang pemimpin parti yang lain. Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan pada 21 Februari 2020 untuk membubarkan Parti Maju Masa Depan, dan keputusan itulah yang mencetuskan gelombang protes besar-besaran oleh anak muda di seluruh Thailand pada akhir bulan Februari 2020. Gelombang protes tergendala seketika kerana ancaman penularan wabak COVID-19, tetapi disambung semula dengan momentum yang lebih hebat pada bulan Julai 2020.
Mereka yang merupakan pelajar generasi 1970-an masih mempunyai ingatan dan trauma terhadap peristiwa sejarah hitam 6 Oktober 1976 di Universiti Thammasat, dan mungkin mengalami deja vu seolah-olah berlaku ulang tayang apa yang pernah terjadi pada tahun 1970-an. Anak muda generasi baru tidak lagi mempunyai beban rasa trauma dan ketakutan sebegini. Namun, anak muda generasi baru Thailand yang berani menyuarakan tuntutan untuk pembaharuan demokrasi ini telah mewarisi semangat perjuangan demokrasi Thailand yang dimulakan sejak hampir 80 tahun dahulu, dalam perjuangan Pridi Banomyong dan Parti Rakyat, gerakan rakyat pada tahun 1970-an dan 1990-an, dan juga gerakan Baju Merah yang pro-demokrasi, yang belum selesai lagi. Mereka hendak menyempurkan misi perjuangan ini dalam generasi ini juga.
5 thoughts on “Thailand: Hantu Pridi Banomyong sedang berkeliaran di Lebuh Ratchadamnoen”