20200222 - thailand86451124_2953860281320164_7171836064166838272_o (2)
(foto oleh Prachatai)

Walaupun Thailand tidak lagi diperintah oleh kediktatoran tentera secara rasminya, tetapi kekuasaan kediktatoran tentera masih bertapak kukuh di negara itu, dengan bukti terbarunya adalah parti politik yang paling lantang bersuara menentang kekuasaan tentera telah dibubarkan oleh mahkamah dan pemimpinnya dilarang daripada mengambil bahagian dalam politik untuk 10 tahun.

Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan pada 21 Februari 2020 untuk membubarkan Parti Maju Masa Depan (Future Forward Party), atas pertuduhan parti tersebut melanggar undang-undang dalam isu berkenaan dengan derma kepada parti politik. Pinjaman wang sebanyak 191 juta baht (lebih kurang RM 25 juta) yang diterima oleh Parti Maju Masa Depan daripada pemimpinnya Thanathorn Juangroongruangkit telah dianggap sebagai derma oleh mahkamah dan dikatakan telah melanggar undang-undang. Thanathorn Juangroongruangkit dan 15 orang lagi pemimpin Parti Maju Masa Depan juga dilarang daripada mengambil bahagian dalam politik untuk selama 10 tahun!

20200222 - 49564942631_6c38c50f5d_h
Thanathorn Juangroongruangkit (kanan) yang telah dilucutkan status ahli parlimen 3 bulan dahulu telah dilarang untuk mengambil bahagian dalam politik untuk 10 tahun akan datang. (foto oleh Prachatai)

Daripada 16 orang pemimpin Parti Maju Masa Depan yang dikenakan larangan politik, selain Thanathorn Juangroongruangkit yang sudah hilang statusnya sebagai ahli parlimen, terdapat 11 orang lagi pemimpin parti yang merupakan ahli parlimen.

Keputusan mahkamah ini dibuat 3 hari sebelum perdebatan usul ketidakpercayaan di Parlimen terhadap 6 orang menteri kabinet, termasuk Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, yang dijadualkan bermula pada 24 Februari 2020. Dengan bilangan ahli parlimen daripada Parti Maju Masa Depan telah dikurangkan berikutan keputusan mahkamah ini, sudah pastinya Prayut akan menghadapi penentangan yang berkurangan dalam Parlimen terhadap kekuasaannya.

Parti Maju Masa Depan yang ditubuhkan pada bulan Mac 2018, merupakan sebuah parti politik berhaluan kiri-tengah yang paling lantang bersuara mencabar kekuasaan tentera. Parti tersebut memenangi 81 kerusi (daripada 500 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan) dalam pilihanraya umum yang pertama di Thailand selepas rampasan kuasa tentera pada tahun 2014 yang dipimpin oleh Prayut Chan-o-cha, menjadikannya parti ketiga besar dalam Parlimen Thailand. Namun, kemenangan Parti Maju Masa Depan yang dianggap sebagai satu cabaran kepada kekuasaan tentera telah membawa kepada siri penindasan yang berterusan oleh jentera negara yang masih dikuasai oleh pihak tentera terhadap parti tersebut.

Suruhanjaya Pilihanraya membatalkan kelayakan Thanathorn Juangroongruangkit sebagai ahli parlimen dengan tuduhan bahawa Thanathorn masih memegang saham dalam sebuah syarikat media, V-Luck Media, semasa beliau mendaftar sebagai calon pilihanraya, sesuatu yang dikatakan melanggar undang-undang pilihanraya Thailand. Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan pada 20 November 2019 untuk menarik balik status ahli parlimen Thanathorn. 3 bulan selepas itu, Mahkamah Perlembagaan yang sama membubarkan Parti Maju Masa Depan.

Keputusan mahkamah Thailand untuk membubarkan Parti Maju Masa Depan merupakan satu keputusan yang bermotifkan politik, dengan tujuan melenyapkan kuasa politik yang mampu menggugat kedudukan kekuasaan tentera dan elit yang berkuasa di negara itu. Jelas sekali bahawa Kerajaan Thailand pimpinan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, yang berkuasa melalui kudeta tentera dan kemudiannya memperkukuhkan kuasa melalui pilihanraya yang diadakan di bawah “sistem baru” yang dicipta oleh pemerintahan tentera itu sendiri untuk mengekalkan kekuasaannya, tidak akan membenarkan sebarang alternatif politik yang menggugat kepentingannya, dan sanggup menggunakan segala taktik yang boleh untuk mempertahankan kuasa, termasuk melalui mahkamah.

Ramai orang berhimpun di ibupejabat Parti Maju Masa Depan di Bangkok untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pengharaman Parti Maju Masa Depan. Walau bagaimanapun, pemimpin Parti Maju Masa Depan mengatakan bahawa parti tersebut menerima keputusan Mahkamah Perlembagaan, dan meminta penyokong-penyokongnya untuk mengawal diri daripada mengecam Mahkamah atau bertindak menghina Mahkamah.

Berucap di hadapan penyokong-penyokongnya, Thanathorn mengatakan bahawa parti politik yang dibubarkan itu akan disusun semula sebagai Kumpulan Maju Masa Depan untuk meneruskan misi perjuangan parti tersebut, termasuk memperjuangkan negara kebajikan, reformasi terhadap tentera dan meminda Perlembagaan.

Thanathorn juga berkata bahawa ahli-ahli parlimen daripada Parti Maju Masa Depan yang masih berada di Dewan Rakyat akan menyertai satu parti politik baru, dan beliau meminta pada penyokong-penyokongnya untuk menyokong parti baru tersebut.

Thanathorn sendiri dan pemimpin-pemimpin Parti Maju Masa Depan yang telah dilarang untuk mengambil bahagian dalam politik selama 10 tahun berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan, tidak akan dapat memegang apa-apa jawatan dalam parti politik sekiranya parti politik baru ditubuhkan, dan juga tidak boleh menyertai pilihanraya sebagai calon sepanjang tempoh larangan berpolitik selama 10 tahun ini.

20200222 - thai87120374_2953924721313720_8403204785657872384_o (2)
(foto oleh Prachatai)

Perjuangan demokrasi di Thailand memang jauh belum lagi selesai dan cabarannya amat hebat. Sejak tahun 1932, selepas sistem raja mutlak digantikan dengan sistem raja berperlembagaan, Thailand telah mengalami lebih kurang 20 kali kudeta tentera, dengan 12 kali yang berjaya termasuk kudeta terbaru pada tahun 2014 yang dipimpin oleh Jeneral Prayut Chan-o-cha, iaitu Perdana Menteri Thailand sekarang. Perlembagaan Thailand terbaru yang digubal pada tahun 2017 telah memperkenalkan lebih banyak lagi peruntukan undang-undang untuk melindungi kepentingan kekuasaan tentera.

6 thoughts on “Thailand: Parti anti-tentera dibubarkan mahkamah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *