Walaupun Kerajaan Thailand pimpinan Prayut Chan-o-cha mengisytihar darurat di bandaraya Bangkok pada 15 Oktober 2020, tetapi gagal menyekat puluhan ribu rakyat Thailand daripada terus berdemonstrasi di jalanan untuk menuntut perletakan jawatan Prayut sebagai Perdana Menteri dan pelaksanaan pembaharuan demokratik di negara yang sering berlakunya kudeta tentera itu.

Darurat yang diisytihar pada 15 Oktober 2020 mengharamkan perhimpunan lebih daripada lima orang dan penerbitan maklumat yang dikatakan boleh mewujudkan kegusaran dan salah faham yang menggugat “keselamatan negara dan ketenteraman”. Negara Thailand sudah pun berada di bawah darurat sejak bulan Mac 2020 yang diisytihar untuk menangani ancaman wabak COVID-19, dan darurat yang terbaru ini diperkenalkan untuk menyekat gelombang protes rakyat pro-demokrasi yang semakin hebat di negara itu.

Selepas pengisytiharan darurat, lebih 20 orang aktivis telah ditahan oleh pihak polis Thailand dan dinafikan ikat jamin. Mereka termasuk Anon Nampa, Prasit Karutarote, Parit Chiwarak, Panusaya Sithijirawattanakul dan Nutchanon Pairoj, yang merupakan pemimpin utama gerakan protes yang semakin memuncak sejak bulan Julai 2020. 20 orang aktivitis yang ditahan lebih awal pada 13 Oktober 2020 kerana cuba mendirikan khemah di Tugu Peringatan Demokrasi juga tidak dibenarkan ikat jamin. Walau bagaimanapun, penahanan beramai-ramai terhadap aktivis-aktivis ini tidak dapat menghalang orang ramai daripada terus berdemonstrasi di jalanan untuk menyuarakan tuntutan demokratik mereka.

Puluhan ribu orang demonstran, dengan kebanyakannya anak-anak muda, telah membanjiri persimpangan Ratchaprasong di Bangkok pada petang 15 Oktober 2020. Ratchaprasong yang terkenal sebagai kawasan pusat beli-belah juga mempunyai makna yang penting kepada gerakan perjuangan demokrasi di Thailand, kerana ia merupakan tapak utama protes Gerakan Baju Merah yang menduduki situ pada tahun 2010 untuk memperjuangkan demokrasi. Gerakan pro-demokrasi pada tahun 2010 yang menduduki Ratchaprasong telah ditindas secara kejam oleh kerajaan Thailand pimpinan Abhisit Vejjajiva pada masa itu dengan lebih 90 orang mati terkorban dan ribuan cedera. Sepuluh tahun kemudian, semangat perjuangan demokrasi rakyat Thailand terus membara malah menular dalam kalangan generasi muda.

Gerakan protes di Thailand yang terbaru ini telah mengemukakan 3+10 tuntutan, iaitu:

  1. Perletakan jawatan Prayut sebagai Perdana Menteri, pembubaran parlimen dan pilihanraya baru yang bebas dan adil.
  2. Menggubal perlembagaan baru untuk menggantikan perlembagaan sekarang yang bersifat autoritarian.
  3. Hentikan gangguan terhadap rakyat yang bersuara mengkritik kerajaan.
  4. 10 tuntutan untuk pembaharuan sistem monarki Thailand.

Protes di Ratchaprasong pada 15 Oktober 2020 telah berlarutan sehingga waktu malam dan mereka kembali lagi pada hari keesokannya. Kebangkitan rakyat Thailand yang hebat ini sedang menggugat kekuasaan kerajaan pimpinan Prayut dan mencabar seluruh kelas pemerintah yang konservatif.

Solidariti daripada gerakan kiri serantau

Parti-parti politik berhaluan kiri dan organisasi-organisasi rakyat di rantau Asia Pasifik telah mengeluarkan satu kenyataan bersama untuk menyatakan sokongan kepada gerakan rakyat Thailand dalam perjuangan demokrasi mereka. Kenyataan bersama ini mengemukakan tuntutan berikut:

  1. Batalkan segera perintah darurat dan hormati hak rakyat untuk berprotes.
  2. Bebaskan segera aktivis-aktivis gerakan pro-demokrasi yang ditahan dan semua tahanan politik.
  3. Hentikan pemerintahan yang dikuasai tentera, dan laksanakan pilihanraya yang bebas dan adil untuk wujudkan sebuah kerajaan yang demokratik.
  4. Laksanakan perubahan perlembagaan yang demokratik.
  5. Mansuhkan kekuasaan feudal dan hentikan penggunaan undang-undang zalim seperti undang-undang lèse majesté yang melenyapkan suara pembangkang.

Kenyataan bersama ini telah disokong oleh 20 buah organisasi termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), Partido Lakas ng Masa (PLM) Filipina, Partai Rakyat Pekerja (PRP) Indonesia, Lembaga Informasi Perburuhan Sedane (LIPS) Indonesia, Socialist Alliance dari Australia, Partai Rakyat Demokratik (PRD) Indonesia, Gerakan Hak Rakyat Pakistan, Jawatankuasa Penyelarasan Petani-petani Pakistan, Borderless Movement dari Hong Kong, Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan, Parti Komunis Nepal, Sanlakas dari Filipina, Indonesia for Global Justice (IGJ) dan sebagainya.  

2 thoughts on “Thailand: Darurat gagal sekat rakyat turun ke jalanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *