20200817 - Tatyana Zenkovich EPA Screenshot_2020-08-17 3866 jpg (WEBP Image, 780 × 430 pixels)
(foto oleh Tatyana Zenkovich / EPA)

Lebih 100,000 orang turun ke jalanan di bandar Minsk, ibu negara Belarus, pada 16 Ogos 2020, untuk menyertai aksi demonstrasi yang paling besar dalam sejarah negara itu. Aksi massa yang hebat dengan penyertaan daripada rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat ini telah menggegarkan kedudukan Presiden Alexander Lukashenko yang cuba mempertahankan kuasa yang dipegangnya sejak tahun 1994.

Gelombang protes di Belarus memuncak dalam seminggu yang lepas kerana kemarahan rakyat terhadap keputusan Pilihanraya Presiden pada 9 Ogos 2020 yang tidak kredibel dan Lukashenko diumumkan sebagai pemenang dengan memperolehi undian lebih 80%, sesuatu yang tidak dapat dipercayai ramai orang kerana popularitinya sudah jatuh dengan hebat sejak kebelakangan ini. Pelaksanaan dasar kerajaan Lukashenko beberapa tahun kebelakangan ini seperti penswastaan, peningkatan umur persaraan, penghapusan faedah sosial dan sistem pekerjaan kontrak, telah menjejaskan standard kehidupan masyarakat Belarus, khususnya golongan pekerja bergaji yang sebelum ini merupakan asas sokongan kepada kerajaan Lukashenko yang tidak mengamalkan dasar “terapi kejutan” yang membuka ekonomi secara luas kepada pasaran kapitalis pada tahun 1990-an seperti negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang lain. Tambahan pula dengan sikap Lukashenko yang tidak memandang ringan ancaman wabak COVID-19, turut membangkitkan ketidakpuasan hati rakyat.

Pada 16 Ogos 2020, kerajaan pemerintah juga memobilisasi ribuan penyokong Lukashenko untuk berhimpun di hadapan bangunan parlimen yang terletak di Dataran Kemerdekaan, Minsk. Lukashenko berucap di hadapan penyokongnya dengan menyatakan pendiriannya yang tidak akan berundur. Lukashenko menuduh bahawa tentera NATO sedang bersiap sedia untuk menceroboh Belarus. Namun, aksi demonstrasi yang anti-kerajaan disertai oleh jumlah demonstran yang jauh lebih besar jumlahnya, dengan seruan menuntut perletakan jawatan Lukashenko.

Seminggu lalu, apabila protes tercetus pada hari mengundi, demonstran yang anti-Lukashenko telah diserang oleh polis dengan gas pemedih mata, peluru getah dan belantan, serta ribuan orang ditangkap, tetapi selepas beberapa hari suasana di dalam negara Belarus telah berubah daripada kekecewaan kepada keriangan dengan aksi massa di jalanan semakin bertambah momentum. Kebangkitan untuk menyuarakan bantahan terhadap Lukashenko merebak dengan cepat, dengan puluhan ribu pekerja daripada kilang-kilang milik negara telah mengadakan mogok. Wartawan-wartawan yang bekerja di stesen televisyen kerajaan juga mengemukakan tuntutan untuk melaporkan berita secara objektif.

Lukashenko membuat lawatan ke kilang pembuat kenderaan tentera MZKT milik kerajaan pada 17 Ogos 2020, dengan tujuan menunjukkan bahawa dirinya masih mempunyai sokongan daripada pekerja yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. Namun, ketika Lukashenko berucap di hadapan sekumpulan pekerja kilang yang terpilih, dia telah diganggu dan dikejutkan dengan teriakan “Letak jawatan!” dan “Penipu!”

Pihak pembangkang telah menyeru untuk mengadakan mogok umum, yang boleh memberi impak yang lebih besar kepada rejim Lukashenko dan meneruskan momentum aksi protes yang terbesar pada 16 Ogos 2020.

Walau bagaimanapun, situasi di Belarus pada takat ini adalah kompleks, dengan pelbagai kuasa politik cuba mempergunakan keadaan yang tidak menentu ini untuk melanjutkan agenda sendiri, termasuklah kuasa-kuasa luar seperti Kesatuan Eropah dan Rusia. Situasi ini adalah agak mirip dengan apa yang pernah berlaku di Ukraine pada tahun 2014.

Di Ukraine, sebuah lagi negara bekas Kesatuan Soviet di Eropah Timur yang berjiranan dengan Belarus, gelombang protes besar-besaran tercetus pada bulan November 2013 apabila kerajaan Ukraine menggantungkan proses penandatanganan perjanjian kerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) dan hendak mengeratkan hubungan dengan Rusia. Tuntutan protes yang digelar “Euromaidan” itu kemudian diperluaskan kepada mendesak perletakan jawatan Presiden Viktor Yanukovych. Demonstran yang terlibat dalam aksi protes Euromaidan ini terdiri daripada spektrum politik yang agak luas, termasuk golongan yang pro-EU yang merupakan kumpulan yang agak mendominasi gerakan protes, demokrat sosial dan juga golongan nasionalis yang berfahaman pelampau kanan. Protes Euromaidan akhirnya berjaya menumbangkan pemerintahan Yanukovych pada bulan Februari 2014 dan mewujudkan kerajaan yang pro-EU, tetapi disusuli dengan krisis pemisahan Krimea yang berakhir dengan pengilhakan wilayah itu oleh Rusia dan gelombang protes pro-Rusia di wilayah-wilayah Timur Ukraine yang kemudiannya mencetuskan Perang Donbass. Penembakan jatuh pesawat MH17 oleh peluru berpandu pada 17 Julai 2014 merupakan tragedi yang berkaitan dengan dengan perang di Timur Ukraine.

Di Belarus, dalam gerakan protes menentang Lukashenko, terdapat sebahagian besar puak elit politik liberal yang hendak menjalin hubungan lebih rapat dengan EU dan memperkenalkan lebih banyak dasar neoliberal, bukannya hendak mempertahankan ekonomi negara itu yang masih sebahagian besar berada dalam sektor awam. Golongan pembangkang yang “demokratik” ini memang menjadi sekutu kepada kuasa-kuasa Barat seperti EU untuk memperluaskan pasaran kapitalis di negara itu. Puak elit politik liberal ini hanya akan membawa bencana kepada golongan pekerja Belarus walaupun sekiranya berjaya menumbangkan rejim Lukashenko. Namun, gerakan protes di Belarus sekarang ini telah disertai oleh golongan pekerja dalam jumlah yang besar, yang mempunyai potensi untuk mengubah haluan perjuangan. Ramai orang termasuk pekerja mengundi untuk calon pembangkang Sviatlana Tsikhanouskaya dalam pilihanraya bukan kerana menyokong dasar sosio-ekonominya yang tidak jelas, tetapi hanya untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Lukashenko yang sudah semakin terputus hubungan dengan kepentingan kelas pekerja. Jika golongan pekerja boleh bergerak tanpa mempunyai ilusi terhadap pembaharuan ekonomi borjuis yang dibawa oleh golongan liberal, mereka dapat mempertahankan kepentingan kelas pekerja dalam proses mewujudkan perubahan kepada sistem politik di negara itu. Ini memang satu cabaran yang besar.

Persaingan kuasa geopolitik juga merupakan satu faktor penting yang boleh mempengaruhi imbangan kuasa dalam pergolakan di Belarus. Amat jelas negara-negara Barat yang ingin menyekat kekuasaan Rusia sudah menyatakan sokongan mereka kepada gerakan yang hendak menumpaskan Lukashenko, sementara Kerajaan Rusia pimpinan Putin pula menyatakan kesediaannya untuk memberikan bantuan komprehensif untuk memastikan keselamatan Belarus sekiranya wujud ancaman ketenteraan luar, atau dalam erti kata lain, memperluaskan pengaruh Rusia di Belarus.

Belarus sedang berada di persimpangan sejarahnya, dan nasibnya hanya dapat diubah oleh rakyat yang bersedia untuk memperjuangkan pembebasan dan keadilan sosial…

117724003_193590572134450_4655735429932357525_n

Sedikit latar belakang sejarah Belarus

Belarus ialah sebuah negara yang dikelilingi daratan di Eropah Timur dengan penduduk sejumlah 9.5 juta pada masa kini. Ia bersempadan dengan Rusia di sebelah timur laut, Ukraine di sebelah selatan, Polah di sebelah barat, dan Lithuania dan Latvia di sebelah barat laut. Tanah Belarus merupakan sebahagian daripada Komanwel Poland-Lithuania sebelum ia dikuasai oleh Empayar Rusia berikutan Pemisahan Poland pada 1795. Belarus diduduki oleh tentera Jerman semasa Perang Dunia I. Berikutan Revolusi Rusia 1917, negara Republik Rakyat Belarus ditubuhkan pada tahun 1918 di wilayah yang masih dikuasai oleh tentera Jerman dan kekuasaan silih berganti dalam perang saudara, sehingga akhirnya ditubuhkan Republik Sosialis Soviet Belarusia pada tahun 1920 yang menjadi salah satu daripada empat republik sosialis soviet yang menubuhkan Kesatuan Soviet pada tahun 1922. Belarus diduduki oleh tentera Jerman sekali lagi pada tahun 1941-1944. Republik Sosialis Soviet Belarusia merupakan salah satu daripada 51 buah negara yang terlibat dalam pembentukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1945. Republik Sosialis Soviet Belarusia bersama dengan Republik Sosialis Soviet Ukraine merupakan dua buah republik yang bergabung dalam Kesatuan Soviet yang mempunyai perwakilan yang berhak mengundi dalam Persidangan Agung PBB. Belarus paling terkesan kerana pencemaran radioaktif daripada bencana loji nuklear Chernobyl di Ukraine. Berikutan kejatuhan Tembok Berlin, Republik Sosialis Soviet Belarusia mengisytihar kemerdekaan pada tahun 1990 dan akhirnya membawa kepada pembubaran Kesatuan Soviet pada tahun 1991. Alexander Lukashenko menang dalam Pilihanraya Presiden Belarus pada tahun 1994, dan memegang jawatan itu sehingga sekarang melalui cara menyekat ruang demokrasi untuk pembangkang dan manipulasi pilihanraya.

3 thoughts on “Belarus: Ulang tayang Euromaidan?

  1. This is a very pertinent point raise by Comrade Joto Brar of the Workers’Party of Britain about Belarus.

    I.E. :- Whatever his neo-liberal, privatisation of whatever policies, Lukashenko won the election with 80% of the vote, which is opponents claim is “fraudulent”.

    This is a classic Otpor, CANVAS, Soros and NED backed groups, when elections don’t go the imperilaists’ way and it’s also a common allegation – i.e. that the election process is “rigged”, by Pakatan Harapan parties when BN won elections previously.

    Imperialism must impose its own democracy

    Also:-

    The media are spinning a yarn over Belarus

    Like

  2. And commentor SONGUN007 wrote in response to the Workers’ Party of Britain video on the media

    “Absolutely spot on but I am never amazed that the corporate msm spin so many yarns . what is amazing is so many people including some calling themselves leftists , socialists and even communists fall for them time and time again”

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s