Arumugam dan Vally, satu pasangan bertunang yang mengalami masalah kewangan, telah terjebak dalam perangkap penipuan dan menjadi mangsa, tetapi yang lebih perit lagi adalah, mereka sedang berdepan dengan pertuduhan di beberapa mahkamah di tempat yang berlainan. Musibah yang menimpa Arumugam sekeluarga ini menyebabkan mereka pernah cuba membunuh diri bersama.

Masalah yang melanda Arumugam dan Vally ini telah didedahkan dalam satu sidang akhbar yang diadakan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada 22 Julai 2020. Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM.

20200723 - scamm (2)
S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM, bersama dengan mangsa kes penipuan dalam sidang akhbar pada 22 Julai 2020.

Arumugam ialah seorang pemandu lori, sementara Vally sedang menganggur sekarang dan sebelum ini merupakan seorang pekerja kilang. Peristiwa penipuan yang menimpa Arumugam dan Vally ini mula berlaku pada bulan Disember 2019. Pada ketika itu, mereka melayari laman facebook dan terserempak dengan satu akaun dengan nama profail CREDIT LOAN yang menyatakan dapat menawar pinjaman peribadi walaupun pemohon disenaraihitamkan. Mereka memang menghadapi masalah kewangan pada masa itu. Laman facebook tersebut menghubungkan terus ke satu pautan WhatsApp. Melalui pautan WhatsApp tersebut, mereka telah berbincang dengan seorang individu yang bernama Henna yang menggelar dirinya sebagai ejen bank dari Ipoh. “Ejen” tersebut mengatakan bahawa dia boleh menguruskan pinjaman daripada bank CIMB, RHB dan Hong Leong Bank. Arumugam telah dihubungi ejen tersebut dan bersetuju untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM30,000.

“Ejen” tersebut telah meminta Arumugam untuk mengirimkan kad bank dan nombor pin kepadanya supaya dapat memudahkan proses kelulusan pinjaman. Apabila Arumugam bertanya kenapa perlu mengirimkan kad bank dan kata laluan kad, “ejen” tersebut memberi alasan bahawa akaun bank Arumugam tidak begitu kukuh, maka “ejen” itu sendiri akan memasukkan dan mengeluarkan wang untuk mengukuhkan akaun bank Arumugam supaya dia dapat memohon pinjaman. “Ejen” itu meminta masa lebih kurang 2 minggu untuk proses. Arumugam telah mengeposkan kad bank CIMBnya dan kata laluan kad kepada ejen ke alamat yang diberikan. Kad bank CIMB itu ialah akaun bank yang lama disimpan oleh Arumugam. Akaun tersebut dibuka lebih tiga tahun yang lalu di Muar, Johor, dan dia tidak aktif menggunakan akaun ini. Sewaktu Arumugam mengirimkan kad dan nombor pin itu, dia hanya mempunyai lebih kurang RM20 sahaja dalam akaun tersebut. Selepas itu, Arumugam menghubungi ejen yang bernama Henna itu dan dia diberitahu bahawa permohonan pinjamannya masih dalam pemprosesan di Bank CIMB.

Setelah lama menunggu dan ejen yang Henaa itu tidak begitu menyakikan, Arumugam terjumpa lagi satu profail dalam laman facebook yang bernama CREDIT LOAN EXPRESS, yang juga menawarkan pinjaman peribadi. “Ejen” yang berhubung dengannya kali ini ialah seorang yang bernama Tommy dari Seremban. Tommu telah meminta Arumugam untuk mendaftarkan satu kad SIM dan membuka akaun bank baru dengan menggunakan nombor SIM baru itu, supaya memudahkan transaksi atas talian. Arumugam bertanya sama ada boleh memohon menggunakan nama tunangnya, Vally, yang gajinya hanya paras gaji minimum RM1,100 sebulan sahaja. “Ejen” itu kata boleh dan meminta slip gaji dan kenyataan bank untuk 2 bulan. Tommy juga meminta mereka mengirimkan kad ATM baru mereka kepada alamat yang diberikannya.

Setelah lebih sebulan dan masih tidak lagi mendapat apa-apa keputusan kelulusan pinjamannya, Arumugam menerima telefon daripada polis dari Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, yang mengatakan bahawa terdapat sebanyak 13 aduan polis dibuat ke atas akaun banknya. Sementara itu, Arumugam juga dimaklumkan bahawa terdapat 14 aduan berkaitan dengan akaun bank atas nama tunangnya, Vally. Aduan-aduan polis tersebut berkaitan dengan penipuan wang yang melibatkan akuan bank mereka. Pihak polis telah menasihatkan Arumugam untuk membuat satu aduan polis dan menutup akaun banknya segera.

Arumugam dan Vally telah membuat aduan polis masing-masing. Mereka juga mendapati bahawa akaun bank mereka sudahpun ditutup atas laporan polis sebelum mereka menutup akaun itu sendiri. Mereka kemudian hadir ke balai polis di Seberang Perai Tengah untuk diambil keterangan oleh pegawai polis dan diberitahu terdapat sebanyak 27 kes terhadap mereka, melibatkan jumlah wang lebih kurang RM260,000 yang telah masuk keluar hanya dalam akaun Vally.

Arumugam dan Vally telah dituduh di beberapa mahkamah yang berlainan, termasuk Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Mahkamah Majistret Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Pertuduhan yang dikenakan ke atas Arumugam dan Vally adalah di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995.

Arumugam terpaksa menjual motosikal dan keretanya untuk menampung kos perjalanan kes mahkamah dan juga perjalanan jarak jauh. Tekanan jiwa yang teruk ke atas Arumugam dan Vally menyebabkan mereka pernah cuba membunuh diri bersama dengan dua orang anak perempuan.

PSM yang membantu dalam kes ini telah menulis surat kepada Peguam Negara untuk memohon supaya mempertimbangkan untuk menggugurkan kes pendakwaan terhadap Arumugam dan Vally.

Timbalan Pengerusi PSM S. Arutchelvan berkata, “Mereka bukannya penjenayah, sebaliknya mereka ialah mangsa kepada penipuan oleh pihak ketiga. ”

Dalam kes penipuan ini, jelasnya dalang di sebaliknya masih belum lagi ditangkap dan dihadap ke hadapan muka pengadilan, sebaliknya mangsa kepada penipuan ini terpaksa berdepan dengan pertuduhan jenayah atas kegiatan jenayah yang tidak pernah dilakukan mereka.

4 thoughts on “Pasangan jadi mangsa kes penipuan pinjaman bank, tetapi kena dakwa di mahkamah pula

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *