KUALA LUMPUR: Sebuah keluarga hendak bunuh diri, seorang terkena strok dan seorang lagi mengalami trauma kerana dibawa jerayawara tukar gari oleh pihak polis… Tiga kes di mana mangsa penipuan telah dikenakan tindakan undang-undang, telah dibawa kepada perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 27 Ogos 2020.
“Mangsa penipuan telah dilayan dan didakwa seperti jenayah, tetapi penjenayah sebenar yang menjadi dalang di sebalik kes penipuan masih bermaharajarela,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), semasa hadir bersama dengan mangsa kes penipuan untuk menyerahkan memorandum kepada SUHAKAM.
Ketiga-tiga kes yang dibawa oleh PSM kepada perhatian SUHAKAM, melibatkan maklumat peribadi dan kad ATM telah digunakan oleh sindiket penipuan untuk melakukan jenayah penipuan, tetapi mangsa yang ditipu untuk mendedahkan maklumat mereka pula dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan jenayah. Salah satu kes ialah satu pasangan ditipu apabila cuba mendapatkan pinjaman bank, satu kes melibatkan pinjaman wang ah long, sementara satu kes lagi ialah mangsa ditipu apabila mencari pekerjaan. Mangsa-mangsa kes penipuan ini merupakan golongan B40. Mereka telah dikejutkan apabila mendapati mereka ditipu, dan dikejutkan lagi apabila didakwa di mahkamah.
Antara masalah yang dikemukakan dalam memorandum kepada SUHAKAM adalah:
- Aduan mangsa bahawa mereka ditipu itu tidak disiasat, sebaliknya mereka didakwa atas pertuduhan penipuan.
- Polis tidak berminat untuk mendapatkan rakaman CCTV di mesin dan tindakan penyiasatan yang selanjutnya, serta mengatakan ini membuang masa apabila dicadangkan kepada polis untuk mengambil tindakan sedemikian.
- Mangsa telah “dipaksa” untuk mengaku salah, oleh pihak polis dan pendakwaraya bercakap dengan mereka bahawa mereka akan dikenakan wang ikat jamin yang lebih tinggi jika tidak mengaku salah sementara denda wang adalah lebih rendah jika mengaku salah. Walaupun denda maksimum untuk Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil adalah RM1,000, tetapi mereka sering disuruh untuk membayar wang jamin mahkamah jauh lebih tinggi daripada angka itu, iaitu antara RM2,000 hingga RM6,000. Tambahan pula mereka sering diberitahu polis bahawa orang yang kena dakwa perlu selalu hadir ke mahkamah, kos peguam tinggi dan akan dibawa jelajah sampai ke Sabah dan Sarawak, ini telah memberi tekanan kepada mangsa untuk mengaku salah terhadap perbuatan yang dilakukan oleh pihak lain.
- Mangsa telah didakwa di beberapa mahkamah di tempat yang berlainan untuk tuduhan yang sama.
- Ada juga mangsa ditangkap dan dibawa “jerayawara” (roadshow) tukar gari di balai polis yang berlainan.
Cadangan yang dikemukakan dalam memorandum kepada SUHAKAM adalah:
- Siasatan harus dilakukan terhadap setiap kes yang dibawa oleh mangsa dan mereka harus dijadikan saksi pendakwaan dan bukannya terus dianggap sebagai penjenayah. Jika sudah dapat mengesahkan mereka ialah mangsa, maka gugurkan kes pendakwaan jenayah terhadap mereka.
- Polis harus mengemaskinikan siasatan, kerana bahan kes ini adalah sama dan ia boleh diseragamkan supaya seorang mangsa tidak dibawa ke merata tempat di seluruh negara untuk didakwa bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) padahal penjenayah penipuan yang sebenar dan dalang di sebaliknya langsung tidak ditahan.
- Tangkapan secara Roadshow adalah salah di sisi undang-undang. Menggunakan roadshow terhadap golongan miskin B40 adalah sesuatu yang sangat kejam dan zalim.
- Satu Moratorium untuk semua tahanan dan pendakwaan harus dibuat sehingga satu tatacara pengendalian piawai (SOP) yang lebih baik dan lebih prihatin kepada mangsa terutamanya golongan B40 dapat diwujudkan.
- Membenarkan mangsa diikat jamin dengan wang jamin minimum yang tidak melebihi RM 1,000, dan jika mereka sudahpun diikat jamin di satu mahkamah, jaminan tersebut harus dijadikan asas dan digunapakai untuk membenarkan jaminan lain memandangkan ia adalah kes bersangkutan. Selain itu, jika ada beberapa kes, ia harus didakwa sekali gus (consolidatated) untuk menjimatkan masa dan wang mahkamah memandangkan bahan bukti hampir sama.
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai akses penuh untuk mendapatkan sebarang maklumat, maka PDRM seharusnya melibatkan MCMC dalam siasatan mereka.
Memorandum tersebut telah diterima oleh Pesuruhjaya SUHAKAM Jerald Joseph.