20200723 - scamm (2)

oleh S. Arutchelvan

Bukan selalu Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan sidang akhbar mengenai isu individu kerana PSM biasanya kendali isu kumpulan atau masyarakat. Mengapa saya terpanggil untuk membuat sidang akhbar mengenai isu ini? Saya amat terkesan apabila melihat wajah dua orang kanak-kanak perempuan – seorang berumur 12 tahun dan seorang lagi berumur 16 tahun. Ibu dan bapa angkat mereka yang menjadi mangsa penipuan amat tertekan dan telah mengambil keputusan untuk membunuh diri secara bersama satu keluarga dengan mengambil racun serangga. Anak yang berumur 16 tahun itu pada awalnya meminta anak 12 tahun untuk tidak ambil racun tetapi anak yang berumur 12 tahun itu pun bersetuju untuk ambil racun. Nasib baik anak yang berumur 16 tahun itu memaklumkan kepada nenek mereka, dan dalam masa 20 minit nenek dan datuk mereka datang ke rumah untuk menyelamatkan mereka. Mereka semua menangis.

Jika insiden ini sudah berlaku, maka untuk satu minggu semua media sosial akan heboh dengan isu ini, dan mereka akan menjadi sebahagian daripada statistik bunuh diri. Apabila Ketua Polis Negara berkata tempoh hari mengenai peningkatan kes penipuan, maka polis di sana sini membuat tangkapan dan pendakwaan. Bagi mereka, ini adalah statistik untuk menunjukkan bahawa isu penipuan sudah ditangani tetapi hakikat sebenarnya adalah, yang ditangkap adalah mangsa penipuan sementara kepala-kepala penipu masih bebas dan bermaharajalela.

Arumugam dan Valli – seorang pemandu lori gas dan seorang lagi penganggur yang dulunya pekerja kilang, merupakan mangsa kepada satu kes penipuan. Melalui laman facebook, Arumugam cuba mendapat pinjamam wang. Mereka ditipu oleh dua orang yang mendakwa diri mereka sebagai ejen bank yang membantu mereka untuk mendapat pinjaman daripada bank. Penipu ini kelihatan amat profesional dan meminta mereka memberi kenyataan bank dan slip gaji. Mereka pun percaya. Kemudian selepas itu, barulah mereka sedar bahawa kad bank yang diberikan oleh mereka kepada “ejen bank” itu telah digunakan dan mereka terlibat dalam 27 kes dengan jumlah wang lebih RM 260,000.

Saya telah menulis dan merayu kepada Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Majlis Peguam Negara pada 15 Julai 2020. Apabila saya meminta bantuan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, mereka memberitahu saya bahawa ada seorang perempuan Melayu yang terlibat dalam lebih 70 kes dan duduk di Penjara Kajang kerana tidak dapat membayar wang ikat jamin. Saya memaklumkan kerana ini bukan isu perkauman. Kesalahan mereka adalah mereka miskin dan tekanan hidup memaksa mereka untuk meminjam wang. Mereka hendak pinjam RM 30 ribu tetapi kini mereka terpaksa menjual kereta, motosikal, emas dan sebagainya. Di bawah tekanan hebat seperti ini, saya faham mengapa mereka mahu mengambil keputusan drastik untuk membebaskan diri dari dunia ini.

Perkara yang saya bangkitkan dalam surat kepada empat institusi utama adalah seperti di bawah:

  1. Ini adalah isu penipuan di mana mangsa dan pasangannya dalam umur pertengahan mengalami masalah kewangan. Mereka terdesak untuk mendapatkan wang dan telah cuba mendapat pinjaman peribadi melalui satu laman facebook dan laman itu terus menghubungkan mereka ke satu pautan WhatsApp.
  1. Mereka ditipu oleh dua orang ejen yang mengatakan diri mereka boleh membantu untuk mendapatkan pinjaman wang. Seorang yang mengatakan namanya Henna dari Ipoh, sementara seorang lagi bernama Tommy dari Seremban. Mereka mengatakan bahawa boleh mendapatkan pinjaman daripada bank CIMB, RHB dan HONG LEONG BANK.
  1. Membaca mesej WhatsApp mereka dan cara mereka berurusan, iaitu meminta slip gaji dan sebagainya, cara mereka beroperasi amat menyakinkan dan nampak profesional. Modus Operandi mereka adalah meminta mangsa untuk menghantar kad bank dan nomborpin supaya proses pinjaman dapat dibuat dengan mudah. Mereka juga memberikan alasan mengapa mereka perlukan kad bank dan kad SIM. Mereka juga menghantar beberapa gambar sebagai bukti penerimaan pinjaman yang berjaya oleh pihak lain.
  1. Dalam kes ini, mangsa telah mengepos kad bank dan kata laluan kepada ejen tersebut melalui GDX Courier atas alamat yang diberi oleh ejen tersebut.
  1. Mangsa hanya tahu mereka ditipu apabila mendapat telefon daripada pihak polis di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Seorang pegawai polis yang bernama Insp Nalini memberitahu mereka bahawa terdapat 13 aduan polis terhadap si suami dan 14 lagi terhadap pasangannya. Mangsa kemudian atas nasihat polis telah membuat aduan polis dan membatalkan akaun mereka.
  1. Ekoran daripada itu, mereka mula dibanjiri panggilan daripada Polis dari Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk membunuh diri. Mereka dimaklumkan keseluruhannya sebanyak 27 kes setakat ini dan lebih kurang RM260,000 telah masuk keluar dari akaun bank mereka. Oleh sebab tidak tahu apa lagi boleh buat, maka keluarga yang terlalu tertekan ini telah mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan mengambil racun parakuat, termasuk dua orang anak perempuan yang masing-masing berumur 12 dan 16 tahun.

Persoalan dan isu yang ingin saya ketengahkan di sini adalah:

  • Mengapa aduan mangsa bahawa mereka telah ditipu tidak disiasat? Tiada kenyataan saksi di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah diambil berkenaan aduan polis mereka, sedangkan mereka yang membuat aduan ini pula didakwa sebagai penjenayah.
  • Mengapa pihak polis tidak boleh siasat siapa yang gunakan kad ATM mereka kerana mestinya ada CCTV dan cara-cara mengesan lain yang dapat membuktikan mangsa sebenarnya bukan orang yang mengambil wang?
  • Di Mahkamah, mereka dinasihatkan oleh Polis dan Timbalan Pendakwaraya untuk mengaku salah dan jika tidak mengaku salah, maka akan dikenakan bayaran jamin mahkamah yang tinggi. Jika mengaku salah, maka dendanya adalah RM500 sehingga RM1000; sementara jika tidak mengaku salah, maka wang jaminan adalah antara RM1000 sehingga RM6000. Ini menyebabkan mereka mengambil pilihan untuk mengaku salah walaupun pada hakikatnya mereka tidak bersalah.
  • Walaupun di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil, denda maksimum adalah RM1000, tetapi mereka diminta membayar wang jamin mahkamah yang jauh lebih tinggi daripada angka ini. Masalah adalah apabila didakwa di bawah Seksyen 424 sebagai pertuduhan utama dan Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil sebagai pertuduhan pilihan. Jika buat bayaran ikat jamin di satu mahkamah tidak mengapa, tetapi terpaksa dibuat di merata-rata.
  • Selain itu, dalam satu daripada kesyang berkenaan, mereka juga dimaklumkan oleh Polis bahawa kes mereka telah ditutup kerana dua orang runner dari Pahang telah ditahan. Mengapa mangsa masih didakwa padahal runner yang mempunyai kaitan langsung dengan perbuatan jenayah itu sudah ditahan?

Mereka ini merupakan golongan B40 dan membuat pinjaman kerana masalah kewangan. Kini mereka pula kena sangkut dan terpaksa membayar wang untuk menjamin diri dan sebagainya. Nasib baik, pihak kami berjaya mendapat khidmat beberapa orang peguam yang sedia mengendalikan kes mereka secara pro bono, tetapi isu yang lebih parah adalah proses pendakwaan seterusnya.

Kami telah meminta campurtangan daripada Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara untuk:

  1. Mengugurkan semua kes terhadap mereka;
  2. Menghentikan pendakwaan sebarang kes baru;
  3. Membenarkan mereka diikat jamin pada tahap minimum, iaitu tidak melebihi RM 1,000, dan jika mereka sudahpun diikat jamin di satu mahkamah, jaminan tersebut harus dijadikan asas dan digunakan untuk membenarkan jaminan lainm memandangkan ia adalah kes yang bersangkut paut.
  4. Jika ada beberapa kes, ia harus didakwa sekali gus (consolidatated) untuk menjimatkan masamahkamah memandangkan bahan bukti adalah hampir sama.

Peringatan kepada semua yang membaca tulisan ini:

  1. Jangan sekali-kali benarkan sesiapa untuk mengambil nombor kad ATM anda.
  2. Kebanyakan meraka yang dituduh di bawah kes penipuan ini sebenarnya adalah mangsa yang telah dipergunakan. Pihak berkuasa harus tangkap mereka yang betul-betul bersalah.

Tolong sebarkan supaya semua orang dapat faham masalah ini.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

2 thoughts on “Mengapa saya bantu keluarga mangsa kes penipuan ini?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s