20200729 - 5943e5b115000037004e6b08

oleh S. Arutchelvan

Ini adalah catatan tentang dua peristiwa yang berlaku di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur pada bulan ini. Satu melibatkan seorang bekas Perdana Menteri dan satu lagi melibatkan satu pasangan – seorang pemandu lori gas dan seorang wanita yang hilang kerja semasa pandemik COVID-19.

Salah satu insiden berlaku pada 7 Julai 2020, manakala insiden yang satu lagi pada 28 Julai 2020.

Satu dituduh terlibat dalam korupsi, rasuah dan salahgunakuasa, manakala pasangan pemandu lori gas pula dituduh kerana kad ATM mereka telah digunakan oleh pihak lain untuk penipuan.

Bekas PM mempunyai 7 tuduhan, manakala pasangan pemandu lori gas pula hanyalah 3 tuduhan.

Jika bekas PM disabit kesalahan, hukuman maksimumnya adalah penjara selama 20 tahun dan denda 5 kali ganda daripada wang yang dilesapkan, iaitu RM42 juta (jika 5 kali ganda maka adalah RM210 juta). Jika pasangan pemandu lori gas mengaku salah, maka hukuman maksimum adalah RM3 ribu, iaitu denda di bawah Akta Kesalahan Kecil, dengan denda untuk setiap pertuduhan adalah maksimum RM1 ribu.

Bekas PM mengaku tidak bersalah kerana mendakwa tidak mengetahui wang sebanyak RM42 juta dimasukkan dalam akaun banknya; pasangan pemandu lori gas pula mengaku tidak bersalah kerana tidak tahu kad ATM mereka disalahgunakan oleh orang yang melakukan penipuan.

Bekas PM didapati bersalah oleh mahkamah dan dikenakan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Dia merayu untuk hukuman ditangguhkan. Peguamnya berkata dia “dilumpuhkan” (crippled) dan merayu kerana memerlukan masa untuk mendapatkan arahan dan duit jamin.

Hakim mengenakan wang ikat jamin RM1 juta padahal hukuman dendanya sahaja sudah mencecah RM210 juta. Dalam kes pasangan pemandu lori gas pula, mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM 4,800, walaupun denda maksimum jika mengaku salah hanya RM3,000.

Mahkamah bermurah hati. Memberikan masa sehingga hari keesokan untuk menjelaskan wang ikat jamin RM1 juta. Bekas PM tidak perlu masuk penjara sehingga duit jaminnya disediakan.

Untuk pasangan pemandu lori gas pula, dia membawa RM3,000 atas nasihat polis. Itu pun duit yang dipinjamkannya melalui potongan gaji. Pasangannya membawa RM1,000 daripada duit yang diperoleh daripada pajak emas dan lain-lain. Mereka masih tak cukup duit. Saya pula pinjamkan RM800 yang dikutip daripada kawan-kawan PSM. Kami berlari ke Maybank di Mahkamah, tetapi tidak sempat kerana tutup pukul 3 petang. Kami berkejar ke Bank Simpanan Nasional di bangunan sebelah. Kami sempat balik pukul 4.30 petang, tetapi kaunter ikat jamin tidak mahu layan, suruh semak dengan mahkamah. Kami pergi ke mahkamah pada pukul 4.45 petang, tetapi mahkamah pun tiada orang.

Bukan seperti bekas PM, yang masih bebas dan boleh bayar jamin hari esok. Untuk pasangan ini, jika dibenarkan bayar hari keesokan, tidak perlu pula untuk mereka masuk penjara.

Maka si perempuan masuk penjara buat pertama kali. Dia menangis. Si pemandu lori gas terpaksa berada di dalam penjara selama dua hari untuk proses ikat jamin diselesaikan. Apabila dia keluar, dia memang rasa satu kakinya lumpuh kerana tidak dapat ubat insulin semasa di dalam penjara.

Inilah kisah dua orang yang tidak mengaku salah. Semua orang sepatutnya sama di sisi undang-undang. Namun, layanan berbeza antara dua darjat.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *