oleh S. Arutchelvan

Saya mendapat panggilan telefon daripada Vally pada hari ini (21 Oktober 2021). Dalam keadaan separuh menangis dan separuh gembira, Vally berkata kes pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada hari ini telah ditarik balik oleh pengadu, dan dia ada satu lagi kes di mahkamah.

Suara Vally berbeza dengan 40 minit sebelum itu, apabila dia panggil saya dan berkata bahawa jika dia tidak mengaku salah dan meminta kes untuk dibicarakan, dan jika dia kalah, dia akan didenda dan masuk penjara. Vally berkata dia pening kepala tetapi jika dia sedia bayar pengadu duit sebanyak RM390, maka kes akan digugurkan. Saya tanya Vally, apakah pendiriannya? Vally berkata dia tidak bersalah. Dia telah ditipu oleh scammer tetapi kini pula dia yang didakwa. Dia berkata dia akan lawan kerana dia hendak menegakkan kebenaran.

Kes hari ini berakhir dengan pengadu menarik balik dakwaannya di mahkamah dan Vally telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan. Namun, Vally masih ada satu lagi kes di mahkamah, sementara suaminya ada lagi 2 kes mahkamah yang belum dibicarakan. Terdapat juga kes-kes lain terhadap mereka yang belum lagi didakwa di mahkamah.

Vally bernasib baik kerana dia mempunyai satu pasukan peguam yang mengendalikan kes ini secara percuma. Hari ini, beliau diwakili oleh peguam Kirthiraj Rajasundram yang berjaya mendapatkan kes Vally dilepaskan. Selain daripadanya, ada sekumpulan peguam yang cukup komited telah membantu dalam kes ini. Mereka termasuklah Yen Hui, Shasi Devan, Asiah dan Kohila.

Yang pentingnya, selain daripada mengendalikan kes secara percuma, mereka juga tidak mengambil jalan singkat untuk menasihatkan atau mengugut anak guam untuk mengaku salah sahaja dengan membayar denda. Di mahkamah sebelum kes hari ini, Vally telah dinasihatkan oleh polis dan peguam untuk mengaku salah. Jika Vally mengaku salah, maka dendanya adalah RM500 sehingga RM1,000, tetapi jika dia tidak mengaku salah, duit jaminan adalah antara RM1,000 sehingga RM6,000. Ini menyebabkan Vally dan ramai mangsa penipuan mengambil pilihan untuk mengaku salah walaupun pada hakikatnya mereka tidak bersalah.

Yang lebih menyakitkan adalah, untuk kesalahan di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil, walaupun denda maksimum jika disabit kesalahan adalah RM1,000, adakalanya mangsa penipuan diminta untuk membayar wang ikat jamin mahkamah yang jauh lebih tinggi daripada angka ini jika mereka tidak mahu mengaku salah. Mereka biasanya diberi pilihan, iaitu sama ada mereka mahu mengaku salah di bawah Seksyen 29 atau mereka mahu kes dibicarakan, tetapi mereka akan diugut bahawa mereka akan didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda yang lebih tinggi dan penjara. Ini menyebabkan walaupun diberikan pilihan, tetapi banyak orang yang didakwa lebih rela untuk mengaku salah sahaja di bawah Seksyen 29 dan membayar denda.

Sebenarnya kami di PSM telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kecil dengan bantuan daripada Pusat Bantuan Guaman dan pasukan peguam yang berdedikasi, di mana Jawatankuasa Kecil ini telah mengambil pendirian untuk mencabar dan melawan kes-kes ini, kerana dalam kes-kes ini, kami berpendirian golongan mangsa penipuan ini tidak bersalah, tetapi mereka yang mengalami kesusahan apabila didakwa di mahkamah.

Yang didakwa adalah mereka yang telah ditipu semasa cuba mendapat bantuan pinjaman wang dan sebagainya. Mereka ditipu oleh scammer besar. Mangsa kes-kes penipuan yang kami kendalikan ini tidak bersekongkol dengan pelaku malah tidak mendapat sesen pun keuntungan daripadanya. Mereka juga mempunyai bukti yang cukup, tetapi biasanya polis tidak mahu mendengar alasan mereka. Polis hanya berminat untuk tutup kes, dan tidak membuat siasatan atau mengambil inisiatif untuk mencari scammer besar, sebaliknya mengambil langkah shortcut dalam membuat siasatan, di mana orang-orang kecil yang merupakan mangsa penipuan yang ditahan dan didakwa.

Namun, polis berkata mereka hanya menjalankan siasatan, dan kerja pendakwaan adalah tugas Bahagian Pendakwaan. Bahagian Pendakwaan pula senada sejiwa untuk mendakwa orang-orang kecil ini. Sementara itu, scammer besar yang beroperasi di dalam dan luar negara masih bermaharajalela. Baru pada bulan Mac tahun ini, mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, telah berkata bahawa Datuk Seri Nicky Liow, seorang scammer besar, telah terlepas daripada tahanan polis. Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata bahawa seramai 34 orang pegawai polis terlibat dan bersekongkol dalam kes ini, di mana beliau melabelkannya sebagai kartel dalam polis. Ini memberikan gambaran “satu sistem, dua darjat”.

Apabila bertanya pada pihak polis, mengapa mereka menangkap mangsa-mangsa ini, anggota polis pula berkata bahawa mereka juga ditekan oleh pihak atasan kerana terlalu banyak kes penipuan. Maka polis hanya tangkap mereka yang akaun bank mereka dijadikan akaun keldai dan selepas habiskan siasatan, dalam kebanyakan kes ini, polis akan menasihatkan mangsa penipuan ini untuk mengaku salah dan membayar denda sahaja! Tetapi jika mereka tidak mengaku salah, mereka akan dikenakan duit ikat jamin yang lebih tinggi dan akan dituduh dengan pertuduhan yang membawa hukuman lebih tinggi. Ramai telah menjadi mangsa sistem yang tidak adil ini, di mana sistem ini menghukum mereka yang sebenarnya tidak bersalah.

(Gambar arkib) S. Arutchelvan (kiri) bersama dengan Vally (tengah) dan Arumugam (kanan), dua orang mangsa kes penipuan, dalam satu sidang akhbar pada 22 Julai 2020.

Ini adalah kes pertama yang kami ambil di Pusat Khidmat PSM setelah kami dikejutkan dengan cerita cubaan membunuh diri oleh Vally dan suaminya bersama dua orang anak Vally yang berumur 12 dan 16 tahun, dengan meminum racun serangga. Nasib baik anak berumur 16 tahun memaklumkan kepada nenek dan datuk mereka, yang sempat datang ke rumah mereka dalam masa 20 minit dan selamatkan mereka. Mereka semua menangis.

Arumugam dan Vally, seorang ialah pemandu lori gas dan seorang lagi pemunggah tong gas. Mereka ditipu semasa cuba membuat pinjaman wang daripada seorang yang mengatakan dia ialah ejen bank. Mereka hanya mahu pinjaman wang tetapi akhirnya scammer yang mendakwa dirinya sebagai ejen bank itu telah menipu mereka, sehingga kad ATM dan akaun mereka digunakan tanpa pengetahuan mereka untuk menipu mangsa-mangsa penipuan yang lain. Ini ialah apa yang dikenali sebagai Macau Scam. Akhirnya keluarga B40 ini mendapati mereka terlibat dalam 27 kes dengan jumlah wang lebih kurang RM260,000. Berdepan dengan kemelut ini, mereka pernah cuba mengambil nyawa mereka sendiri.

Kami telah mengambil kes ini, dan menulis kepada Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Majlis Peguam Negara, SUHAKAM dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Akhirnya kami berjumpa dengan pegawai berpangkat kedua tertinggi daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. Kami juga membuat representasi kepada Peguam Negara untuk kes ini digugurkan. Namun, dua orang ini tidak mendapat pembelaan, malah sistem pendakwaan masih mahu mendakwa mereka walaupun mereka ialah mangsa, malah ada juga kes di mana majistret sendiri mencadangkan kepada mangsa untuk mengaku salah sahaja atas alasan hendak menjimatkan masa mahkamah.

Peguam Asiah Abdul Jalil yang banyak membantu mangsa kes sebegini berkata bahawa, dalam semua kes yang meminta untuk dibicara, walaupun adanya peluang kemenangan untuk mangsa, tetapi ramai mangsa tidak dapat tahan kerana mereka terpaksa turun naik mahkamah beberapa kali, kes di mahkamah yang terletak jauh dari tempat tinggal mereka dan nasihat daripada pihak polis untuk mengaku salah, maka ramai mangsa penipuan tiada stamina untuk terus melawan dan tewas begitu sahaja. 

Asiah Abdul Jalil berkata bahawa, dalam satu lagi kesnya di Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini, pihak pendakwaan memfailkan notis menarik balik rayuan setelah mahkamah majistret melepaskan anak guamnya. Asiah amat marah kerana mereka suka-suka hati mendakwa anak guamnya sampai berbelas-belas pertuduhan; apabila sudah kalah, suka-suka hati hendak merayu dan sekarang pula suka-suka hati hendak tarik balik rayuan. Begitulah rintangan dan cabaran yang dihadapi oleh mereka yang ditipu oleh scammer. Asiah berazam untuk mencabar notis ini di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Pada hari ini, Vally bernasib baik kerana pengadu bersimpati dengannya. Vally ialah seorang ibu yang memang rajin dan menghadapi pelbagai dugaan hidup. Di bawah ini ialah gambar beliau menghantar tong gas ke rumah bertingkat. Saya turut terkejut kerana ingatkan kerja seberat ini hanya dilakukan oleh orang lelaki. Inilah lumrah hidup rakyat marhaen. Hari ini Vally terlepas daripada satu pertuduhan, tetapi bilakah Peguam Negara akan bersimpati, dan mencari penjenayah sebenar dan bukan orang-orang kecil ini?

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s