20200109- india.jpg

250 juta orang hampir bersamaan dengan 8 kali ganda jumlah penduduk di Malaysia. Pada 8 Januari 2020, jumlah orang sebesar 8 Malaysia bermogok di India.

India menyaksikan aksi mogok yang terbesar dalam dua dekad kebelakangan ini pada 8 Januari 2020 dengan penyertaan lebih kurang 250 juta orang, untuk menyatakan bantahan kelas pekerja terhadap dasar Kerajaan India pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi yang anti-pekerja dan anti-rakyat. Hampir seluruh negara India dilumpuhkan kerana aksi mogok ini.

Aksi mogok umum nasional dan protes besar-besaran pada 8 Januari 2020, merupakan kemuncak mobilisasi akar umbi yang berterusan untuk beberapa bulan kebelakangan ini. Aksi mogok seluruh India ini dipanggil selepas satu persidangan nasional kesatuan-kesatuan sekerja yang diadakan pada bulan September 2019. Perkembangan politik dan mood perlawanan rakyat dari bawah semakin hebat sejak awal bulan Disember 2019, telah membawa kepada penglibatan yang lebih meluas dalam aksi mogok ini, dengan pembentukan gabungan antara kesatuan sekerja dan gerakan masyarakat sektor yang lain turut terlibat bersama. Penggubalan Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang bersifat diskriminasi, keganasan polis terhadap pelajar-pelajar universiti dan orang awam, serta serangan kumpulan pelampau kanan yang pro-Kerajaan, adalah antara pencetus kepada gelombang kebangkitan rakyat baru-baru ini dan aksi mogok umum 8 Januari 2020 menjadi sebahagian daripada gelombang protes ini.

10 persekutuan kesatuan sekerja daripada spektrum politik yang agak meluas, telah bergabung tenaga untuk menganjurkan aksi mogok umum pada 8 Januari 2020. Persekutuan-persekutuan kesatuan sekerja ini ialah Kongres Kesatuan Sekerja India (INTUC), Kongres Kesatuan Sekerja Seluruh India (AITUC), Hind Mazdoor Sabha (HMS), Pusat Kesatuan Sekerja India (CITU), Pusat Kesatuan Sekerja Bersatu Seluruh India (AIUTUC), Pusat Koordinasi Kesatuan Sekerja (TUCC), Persatuan Wanita Kerja Sendiri (SEWA), Majlis Pusat Kesatuan Sekerja Seluruh India (AICCTU), Persekutuan Progresif Buruh (LPF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Bersatu (UTUC). Banyak persatuan pekerja sektor kewangan dan pertubuhan pekerja yang bebas turut mengambil bahagian dalam aksi mogok yang bersejarah ini. Selain itu, mogok umum ini juga menyaksikan penyertaan gabungan masyarakat meluas yang melibatkan petani, pekerja pertanian, pelajar dan guru.

INTUC ialah sayap kesatuan pekerja untuk parti politik Kongres Nasional India (INC); AITUC yang berkaitan dengan Parti Komunis India (CPI) ialah persekutuan kesatuan sekerja yang tertua di India; HMS ditubuhkan oleh golongan moderat yang keluar dari AITUC dan tidak bersekutu dengan mana-mana parti politik; CITU ialah fron kesatuan sekerja untuk Parti Komunis India (Marxis) (CPIM); AIUTUC ialah sayap buruh untuk Pusat Bersatu Sosialis India (Komunis) atau SUCI(C); TUCC berkaitan dengan Blok Maju Depan Seluruh India (AIFB); SEWA ialah organisasi pekerja bukan-formal yang terbesar di dunia dan tidak bersekutu dengan mana-mana parti; AICCTU berkait secara politik dengan Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan; LPF ialah persekutuan kesatuan sekerja di negeri Tamil Nadu yang berkait dengan parti politik tempatan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK); UTUC terikat secara politik dengan Parti Sosialis Revolusioner (RSP).

Aksi mogok hebat pada 8 Januari 2020 dengan penyertaan massa yang menakjubkan ini, merupakan manifestasi bantahan kelas pekerja dan rakyat India terhadap Kerajaan India yang diterajui oleh Parti Bharatiya Janata (BJP) sekarang ini yang dipimpin oleh Narendra Modi dan dasar yang dibawanya. Kerajaan pimpinan Modi sedang ghairah membawa dasar nasionalis Hindu sempit dan ekonomi neoliberal pro-korporat yang memeras rakyat biasa. Kerajaan Modi telah melancarkan serangan secara sistematik ke atas hak-hak pekerja yang diperoleh hasil daripada perjuangan gerakan pekerja berdekad-dekad lamanya sebelum ini. Melalui usaha penswastaan, pengurangan peruntukan kepada sektor awam dan pelonggaran undang-undang untuk memperluaskan kekuasaan korporat, Kerajaan Modi sedang menumpukan serangannya ke atas golongan pekerja yang tersusun dalam kesatuan, yang dianggap sebagai halangan utama kepada perluasan kekuasaan puak pelampau kanan di India.

Pekerja-pekerja yang bermogok telah mengemukakan tuntutan-tuntutan termasuk menghentikan penswastaan sektor awam, gaji minium yang mampu sara hidup, pencen yang komprehensif, pengiktirafan universal terhadap hak untuk berkesatuan dan perlindungan hak pekerja.

20200109 - student.jpg

Ketika aksi mogok diadakan, pelajar-pelajar di banyak universiti dan kolej di India juga memboikot kelas, untuk menyatakan solidariti terhadap pelajar-pelajar di Universiti Jawaharlal Nehru (JNU), Jamia Millia Islamia (JMI) dan Universiti Aligarh Muslim (AMU) yang diserang baru-baru ini oleh pihak berkuasa, polis dan kumpulan samseng pelampau kanan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh 10 persekutuan kesatuan sekerja yang menganjurkan aksi mogok umum, mogok yang sepenuhnya berlaku di negeri-negeri seperti Assam, Manipur, Kerala, Odisha, Maharashtra, Tamil Nadu, Pondicherry, Goa, Bihar, Jharkhand, Meghalaya, Telangana, Haryan dan Tripura. Mogok sektor perindustrian yang sepenuh berlaku di negeri Karnataka, Chhattisgarh, Punjab, Himachal Pradesh, Rajasthan, Madhya Pradesh, Uttar Pradesh, Uttarakhand, Gujarat dan Bengal Barat. Adanya pekerja-pekerja di sesetengah tempat, seperti Bengal Barat, telah membuat sekatan jalan dan menghalang laluan jalan keretapi. Juga dilaporkan bahawa ramai pekerja yang berprotes ditangkap polis di beberapa tempat. Walau bagaimanapun, aksi mogok ini berlangsung secara aman pada keseluruhannya.

Kerajaan India telah mempercepatkan proses penswastaan terhadap sektor strategik di negara itu sejak BJP berkuasa pada tahun 2014. Hampir semua sektor telah dibuka kepada pelaburan asing (FDI), termasuk industri pertahanan. Kerajaan India telah meningkatkan komprominya terhadap korporat besar, termasuk mengurangkan gaji minimum yang sudah sangat rendah dan menghakis perlindungan sosial untuk pekerja. Undang-undang perlindungan hak pekerja telah dihapuskan dan pemantauan terhadap pematuhan undang-undang buruh juga dilemahkan.

“Pembaharuan ekonomi” yang diperkenalkan oleh Modi untuk menarik pelaburan ini, bukan sahaja tidak menambahkan peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal, sebaliknya memburukkan lagi keadaan pengangguran kerana ramai orang hilang kerja akibat daripada pengambilalihan sektor awam oleh kepentingan swasta yang bermotifkan keuntungan. Jutaan pekerjaan yang sedia ada telah hilang kerana dasar ekonomi Modi. Ekonomi ketiga besar di Asia ini sekarang sedang menghadapi kemerosotan ekonominya yang paling teruk dalam beberapa dekad kebelakangan ini, dan langkah yang diambil oleh kerajaannya hanya untuk melindungi kepentingan korporat dengan mengorbankan pekerja.

Menurut data daripada Pusat untuk Pemantauan Ekonomi India (CMIE), kadar pengangguran di India mencecah hampir 10% pada penghujung bulan September 2019, satu rekod yang tertinggi dalam tempoh 45 tahun. Pengangguran anak muda berumur antara 20 hingga 29 tahun telah meningkat sebanyak 73% dalam dua tahun yang lepas, mencecah 28%. Sebanyak 30-35% orang yang mempunyai pekerjaan dikategorikan sebagai “tidak digunakan sepenuhnya” (underemployed), iaitu kerja mereka tidak sepadan dengan kelayakan mereka.

Dalam keadaan pengangguran yang tinggi dan gaji pekerja yang rendah, rakyat India perlu berdepan lagi dengan kenaikan harga barang yang mendadak. Jurang kekayaan di India turut semakin melebar akibat dasar ekonomi yang menyebelahi golongan mahakaya dan memangsakan kelas pekerja.

Dengan aksi mogok umum yang hebat pada 8 Januari 2020, boleh dijangkakan bahawa penentangan kelas pekerja India terhadap Kerajaan Modi akan semakin hebat.

20200109 - 49351162011_935a294b67_o.jpg

**********

Sepintas lalu aksi mogok umum India pada 8 Januari 2020:

20200109 - Himachal_Pradesh_General_Strike-1.jpeg
Pekerja-pekerja beraksi dalam salji di Shimla, negeri Himachal Pradesh.
20200109 - India - Bengaluru.jpg
Bengaluru, negeri Karnataka.
20200109 - a.jpg
Negeri Tamil Nadu
20200109 - haryana.jpg
Negeri Haryana
20200109 - India - Thiruvananthapuram Kerala.jpg
Thiruvananthapuram, negeri Kerala
20200109 - indiaNew-delhi-okhla.jpg
Delhi
20200109 - Mansa -Punjab-general-strike-1024x576.jpg
Mansa, negeri Punjab
20200109 - ngpur.jpg
Nagpur, negeri Maharasthra

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *