Sekumpulan samseng telah melakukan serangan di dalam kampus Universiti Jawaharlal Nehru (JNU) di New Delhi, India, pada 5 Januari 2019, dengan memukul dan mencederakan ramai pelajar dan kakitangan universiti di situ. Antara yang dicederakan ialah Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Jawaharlal Nehru (JNUSU) Aishe Ghosh dan Setiausaha Agung JNUSU Satish Chandra.

Aishe Ghosh yang diserang telah mengalami kecederaan retak tengkorak dan dimasukkan ke hospital. Dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya 20 orang pelajar telah dimasukkan ke hospital kerana kecederaan. JNUSU mendakwa bahawa pihak polis Delhi dan sesetengah profesor di dalam universiti tersebut telah bersekongkol dengan samseng pelampau kanan ini. Polis Delhi telah “hilangkan diri” semasa serangan berlaku, dan hanya memasuki kampus JNU selepas serangan selesai, dengan alasan mereka menunggu permintaan daripada pihak pentadbiran universiti. Banyak asrama di dalam kampus JNU telah dirosakkan oleh samseng yang menyerang, dengan pintu bilik asrama pelajar dipecahkan dan barangan kepunyaan pelajar di situ dicampak berselerak.

20200107 - JNU.jpg
Aishe Ghosh (foto oleh Vipin Kumar/Hindustan Times/Getty Images)

Yang peliknya, pada ketika belum ada lagi sesiapa yang melakukan serangan ganas terhadap pelajar JNU itu ditangkap, pihak polis Delhi telah membuat kertas siasatan terhadap Aishe Ghosh dan 19 orang lagi atas alasan merosakkan harta benda di dalam kampus. Penyerang belum ditangkap, tetapi mangsa keganasan yang disiasat pula.

Kumpulan samseng yang menutup muka mereka semasa melakukan serangan ini dipercayai berkaitan dengan Akhil Bharatiya Vidyarthi Parishad (ABVP), sebuah kumpulan pelajar berhaluan kanan yang merupakan sayap pelajar kepada kumpulan pelampau kanan nasionalis Hindu Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS). RSS pula berhubungkait secara rapat dengan Parti Bharatiya Janata (BJP), parti pemerintah di India pada takat ini yang dipimpin oleh Perdana Menteri Narendra Modi.

Serangan ganas oleh kumpulan samseng pelampau kanan ini telah mecetuskan protes di kalangan komuniti pelajar di seluruh negara India. Aksi solidariti telah diadakan untuk mengecam keganasan dan menyatakan sokongan terhadap pelajar dan tenaga pengajar di JNU yang diserang. Demonstrasi telah dianjurkan di Dehli, Mumbai, Bengaluru, Kolkata dan bandar-bandar utama di India. Abhijit Banerjee, pemenang Anugerah Nobel untuk sains ekonomi yang juga merupakan seorang bekas pelajar JNU, menyifatkan serangan ini menyerupai tahun-tahun apabila negara Jerman beralih menuju ke pemerintahan Nazi!

Pelajar-pelajar dan kakitangan JNU telah terlibat dalam protes yang berlarutan untuk beberapa bulan kebelakangan ini untuk menyuarakan bantahan terhadap kenaikan yuran universiti. Mereka menolak kenaikan yuran yang akan menghalang pelajar-pelajar daripada latar belakang keluarga yang miskin daripada memasuki universiti tersebut. Pada masa kini, 40% pelajar yang belajar di JNU datang daripada keluarga yang maskin. Protes pelajar JNU yang membantah kenaikan yuran telah dilayan secara keras oleh pihak berkuasa.

Pelajar-pelajar dan kakitangan JNU yang progresif juga berada di barisan depan aksi protes yang membantah Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang bersifat diskriminasi yang diperkenalkan oleh Kerajaan berhaluan kanan pimpinan Modi baru-baru ini. Serangan terbaru terhadap pelajar-pelajar JNU ini jelas merupakan usaha kerajaan berhaluan kanan untuk menghancurkan gerakan perjuangan pelajar JNU.

JNU merupakan sebuah universiti awam di India yang terkenal dengan suasana politik progresif dalam kampus dan merupakan kubu kuat untuk aktivisme pelajar berhaluan kiri. Kesatuan pelajar untuk universiti ini, JNUSU, telah dikuasai oleh kumpulan pelajar yang berhaluan kiri untuk bertahun-tahun lamanya. Barisan Bersatu kumpulan pelajar yang berhaluan kiri telah memenangi keempat-empat jawatan kepimpinan pusat JNUSU dalam pilihanraya kampus 2019, mengalahkan calon daripada puak berhaluan kanan yang diterajui oleh ABVP. Aishe Ghosh yang dipilih sebagai Presiden JNUSU dalam pilihanraya kampus bulan September 2019, merupakan anggota kepada Persekutuan Pelajar India (SFI) yang bersekutu dengan Parti Komunis India (Marxis). Sebelum itu, jawatan Presiden JNUSU telah dipegang selama tiga tahun berturut-turut oleh aktivis pelajar daripada Persatuan Pelajar Seluruh India (AISA) yang merupakan sayap pelajar untuk Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan. SFI, AISA, Persekutuan Pelajar Seluruh India (AISF) dan Persekutuan Pelajar Demokratik (DSF) telah membentuk Barisan Bersatu Kiri dalam pilihanraya kampus JNU.

Serangan yang dilancarkan ke atas JNU, memang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan pusat India pimpinan Modi untuk menghakis pendidikan awam dan mematahkan politik kiri di negara itu. Serangan puak pelampau kanan terhadap pemimpin pelajar universiti yang berhaluan kiri dan berani mencabar kekuasaan pemerintahan Kerajaan pimpinan Modi yang mirip fasis, tidak akan mematahkan perjuangan pelajar yang progresif di India. Pelajar-pelajar di JNU masih meneruskan mobilisasi untuk aksi membantah kenaikan yuran di kampus mereka dan juga melibatkan diri dalam perjuangan masyarakat yang lebih meluas untuk melawan pelaksanaan undang-undang diskriminasi.


 

2 thoughts on “India: Pelajar JNU tidak tunduk pada keganasan pelampau kanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *