20191219 - Jamia-1-696x392.jpg

Pelajar-pelajar di seluruh negara India bangkit bersama dalam protes membantah kezaliman polis.

Pada 15 Disember 2019, polis India menyerang dua buah institusi pengajian tinggi di negara itu, iaitu Universiti Jamia Millia Islamia (JMI) di New Delhi dan Universiti Aligarh Muslim (AMU) di Uttar Pradesh, di mana pelajar-pelajar di situ sedang berprotes membantah kelulusan Rang Undang-undang Pindaan Kewarganegaraan (CAB) yang menjadi Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA). Polis telah memecah masuk ke dalam kampus universiti untuk menangkap pelajar-pelajar yang berprotes. Polis menggunakan belantan untuk memukul pelajar. Polis juga menembak peluru getah dan gas pemedih mata terhadap pelajar. Pelajar-pelajar yang berada di dalam perpustakaan universiti turut diserang gas pemedih mata. Sekurang-kurangnya 125 orang dicederakan dalam serangan polis dan 50 orang ditangkap.

Sebagai respon terhadap tindakan polis yang zalim, pelajar-pelajar di seluruh India turun ke jalanan untuk memprotes membantah kezaliman polis dan CAA yang dikatakan melanggar Perlembagaan India.

CAA yang diluluskan baru-baru ini dalam parlimen India yang didominasi oleh parti pelampau kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) telah dikritik hebat oleh ramai pihak sebagai satu tindakan yang bersifat diskriminasi dan bercanggahan dengan Perlembagaan India yang sekular. CAA membenarkan pelarian dari negara dan agama tertentu untuk memohon kewarganegaraan India, tetapi secara jelasnya mengecualikan semua pelarian Muslim. Serentak dengan pelaksanaan Pendaftaran Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC) di negeri Assam yang penuh kontroversi, kerajaan pusat India pimpinan Narendra Modi daripada BJP nampaknya semakin agresif menggerakkan agenda ketuanan Hindunya yang bersifat fasis.

Gelombang protes menentang CAA (dikenali sebagai CAB sebelum diluluskan oleh Parlimen India) mula tercetus di negeri Assam pada 4 Disember 2019, apabila rang undang-undang yang bersifat diskriminasi itu dibentangkan di dalam Parlimen India, kemudiannya merebak ke semua negeri di Timur Laut India, dan juga bandar-bandar besar lain di seluruh India. Setakat ini, 6 orang sudah mati terkorban dalam protes akibat daripada keganasan polis, termasuk 2 orang budak berumur di bawah 18 tahun telah dilaporkan terbunuh akibat tembakan polis di Assam. Lebih 1,000 orang ditangkap.

20191219 - jamia-14
(foto oleh Tashi Tobgyal)

Serangan polis pada 15 Disember 2019 terhadap JMI dan AMU, dua buah universiti Muslim, telah mencetuskan mobilisasi pelajar berbilang agama di seluruh India untuk menentang keganasan polis. Berikutan serangan terhadap JMI di New Delhi, lebih 1,000 orang anak muda dan pelajar dari universiti di bandar itu berprotes di luar ibupejabat pusat polis Delhi. Pelajar-pelajar yang bergabung di bawah Persekutuan Pelajar India (SFI), Persatuan Pelajar Seluruh India (AISA), Persekutuan Pelajar Seluruh India (AISF) dan Persekutuan Pemuda Demokratik India (DYFI) menyekat jalan di hadapan ibupejabat polis Delhi untuk berjam-jam lamanya, sehingga semua pelajar yang ditangkap di JMI disahkan dibebaskan pada 3 am 16 Disember 2019. Pemimpin daripada Parti Komunis India – Marxis (CPIM), Parti Komunis India (CPI) dan Kongres Kebangsaan India (INC) turut hadir untuk bersolidariti dengan protes pelajar.

Naib Canselor Universiti Jamia Millia Islamia, Najma Akhter, mengecam serangan polis terhadap pelajar dan mengatakan tindakan tersebut adalah tidak patut berlaku. Menurutnya, pihak pengurusan universiti akan membuat aduan terhadap anggota polis yang menceroboh ke dalam perkarangan universiti.

Dengan kerajaan Modi semakin menunjukkan sifat fasis dan autoritariannya, pelajar-pelajar di seluruh negara India sedang bermobilisasi untuk melawan balik. Belantan polis boleh mematahkan tulang anak muda yang berprotes, tetapi tidak boleh mematahkan semangat mereka untuk melawan balik demi keadilan. Golongan kiri di India juga memobilissi untuk menentang undang-undang bersifat diskriminasi ini.

20191219 - Amit Dave - Reuters 2dbbd436203a416aa72cb7c3fa86b844_18
(foto oleh Amit Dave/Reuters)

3 thoughts on “India: “Belantan kau hanya boleh patahkan tulang kami, bukannya semangat penentangan kami!”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s