SHAH ALAM, SELANGOR – 17 MEI 2023: Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya menggubal satu enakmen untuk mewujudkan skim perumahan pekerja ladang di negeri itu. Seruan ini dikemukakan semasa JSML menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada hari ini.

Lebih kurang 400 orang dari 41 buah ladang di negeri Selangor yang bergabung di bawah JSML berprotes di hadapan Pejabat Menteri Besar untuk menyuarakan tuntutan mereka kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya melaksanakan undang-undang yang mewujudkan skim perumahan bagi semua pekerja ladang. Turut hadir bersama ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Karthiges Rajamanickam selaku Penyelaras JSML Nasional, Ganesan selaku Penyelaras JSML Selangor dan E. Parameiswary daripada Gabungan Marhaen. Memorandum yang ditujukan kepada Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor diterima oleh Juwairiya Zulkifli selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor.

“Kerajaan patut menggubal undang-undang untuk melindungi hak perumahan pekerja-pekerja ladang yang telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara kita,” kata Karthiges Rajamanickam. “Ini adalah selaras dengan konsep Malaysia Madami yang sedang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan pada masa kini.”

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor, pekerja-pekerja ladang di negeri Selangor yang bergabung di bawah JSML mengemukakan tuntutan berikut:

  • Kerajaan Negeri Selangor perlu melibatkan diri dan mengadakan konsultansi dengan semua pihak berkepentingan, terutamanya pekerja ladang, berkaitan isu pemilikan rumah sendiri oleh pekerja ladang.
  • Kerajaan Negeri Selangor harus mewujudkan satu mekanisme untuk mengenal pasti dan memperuntukkan tanah bagi tujuan pelaksanaan Skim Perumahan Pekerja Ladang demi memastikan pemilikan rumah sendiri oleh pekerja ladang boleh berjaya.
  • Kerajaan Negeri Selangor perlu merangka, meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan pemilikan perumahan sendiri untuk pekerja ladang, di mana undang-undang tersebut perlu menangani isu pemilikan rumah pekerja ladang secara keseluruhan, dan perlu mengambil kira perkara-perkara lain supya tidak menjejaskan hak perumahan pekerja ladang.
  • Kerajaan Negeri Selangor mengambil semua langkah yang sepatutnya untuk memastikan pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan pemilikan rumah untuk pekerja ladang.
  • Kerajaan juga perlu mengambil contoh baik dalam penyelesaian masalah perumahan pekerja ladang untuk pelaksanaan dasar yang melindungi hak perumahan pekerja.

JSML telah mengetengahkan beberapa contoh baik dalam menyelesaikan isu perumahan pekerja ladang. Antaranya ialah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Ampar Tenang untuk bekas pekerja di Ladang Prang Besar (nama lama Putrajaya), Ladang Medingly, Ladang Galloway dan Ladang Sedgeley yang ditutup untuk memberi laluan kepada pembinaan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada tahun 1990-an. Kerajaan Negeri Selangor menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah Sime Darby, dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula membina 404 buah rumah untuk bekas pekerja di 4 buah ladang tersebut. Setiap unit rumah dijual hanya pada harga RM20,000 dengan subsidi daripada Kerajaan Persekutuan.

Satu lagi contoh ialah skim perumahan PPR Ladang Siliau di Negeri Sembilan di mana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membina 150 buah rumah, dengan sebahagiannya adalah untuk pekerja Ladang Siliau milik Sime Darby melalui proses pengambilan  tanah dan rumah tersebut dijual kepada pekerja menggunakan sistem “sewa beli” (rent to own). Melalui skim ini, pembeli hanya perlu membayar sewaan sebanyak RM200 hingga RM250 sebulan selama tempoh 20 hingga 25 tahun sebelum hak milik diserahkan kepada pembeli.

Di Ladang Semenyih pula, syarikat Sime Darby membina rumah untuk bekas pekerja ladang yang diusir keluar secara paksaan kerana tanah ladang digunakan untuk projek pembangunan. Dengan subsidi RM7,000, rumah ini sepatutnya dijual dengan harga RM35,000 kepada bekas pekerja ladang. Namun, dengan pampasan lain yang diperolehi melalui rundingan, telah membolehkan 17 buah keluarga dari ladang tersebut memiliki rumah tanpa membayar satu sen pun.

Menurut S. Arutchelvan, JSML akan menyerahkan memorandum kepada kerajaan di semua negeri yang mempunyai banyak ladang supaya hak perumahan pekerja ladang di negeri-negeri berkenaan dapat dilindungi, dan ini bermula dengan Kerajaan Negeri Selangor.

“Kami bermula dengan negeri Selangor kerana ia merupakan negeri pertama yang mempunyai polisi untuk melindungi pekerja ladang yang mengalami masalah pengusiran paksa kerana pembangunan,” kata Arutchelvan. “Kami berharap Menteri Besar Selangor akan membentuk satu jawatankuasa khas untuk menggubal enakmen yang mewujudkan skim perumahan bagi pekerja ladang.”

“Ia ialah satu langkah yang progresif sekiranya enakmen berkenaan skim perumahan pekerja ladang ini dilaksanakan di negeri Selangor terlebih dahulu sebagai komitmen kerajaan negeri untuk melindungi pekerja-pekerja ladang di Selangor,” ulas Karthiges.

Perjuangan berpanjangan pekerja ladang untuk hak perumahan

Pekerja-pekerja ladang merupakan tulang belakang ekonomi negara kita sejak zaman sebelum kemerdekaan. Negara kita tidak mungkin mengalami pembangunan yang pesat tanpa pengorbanan golongan pekerja ladang selama beberapa generasi. Namun, setelah lebih enam dekad kemerdekaan, masyarakat ladang masih dipinggirkan daripada arus pembangunan negara dan terjerat dalam kemiskinan. Syarikat gergasi perladangan dapat wujud dan mengumpul harta yang besar kerana titisan peluh kaum pekerja ladang, tetapi malangnya, sehingga baru-baru ini, mereka masih dihimpit dengan masalah gaji rendah dan taraf kehidupan yang daif.

Syarikat perladangan terbesar di negara kita sekarang ini, Sime Darby, merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di mana kerajaan ialah pemegang saham yang utama. Syarikat perladangan gergasi dan kerajaan tidak mempunyai alasan untuk tidak memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah perumahan pekerja ladang yang telah berlarutan selama 4 generasi.

Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) telah ditubuhkan pada tahun 1993, sebagai hasil gabungan kumpulan masyarakat seperti Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC), Alaigal, Suara Warga Pertiwi (SWP), Kumpulan Kemajuan Masyarakat (KKM), Tholilayin Tholar (TT) dan People’s Service Organisation (PSO), untuk memperjuangkan tuntutan masyarakat ladang di Malaysia yang tidak diendahkan oleh golongan majikan dan pihak kerajaan. Antara kempen utama yang dijalankan oleh JSML sejak penubuhannya termasuklah kempen menyertakan pekerja ladang dalam Rancangan Pembangunan Luar Bandar yang dilancarkan pada tahun 1993 dan kempen tuntutan gaji bulanan untuk pekerja ladang yang dilancarkan pada tahun 1996. JSML juga terlibat dalam perjuangan pekerja ladang melawan pengusiran paksa di banyak tempat sejak tahun 1990-an, dan berjaya mendapatkan perumahan teres untuk pekerja ladang di sesetengah tempat, sementara masih adanya kawasan di mana perjuangan masih belum selesai.

Tuntutan perumahan untuk masyarakat ladang telah wujud sejak berdekad lama kerana rumah kuarters yang dibina untuk pekerja ladang, bukannya milik pekerja. Rumah tersebut diberikan untuk didiami oleh pekerja-pekerja selagi mereka masih bekerja di ladang tersebut, Sekiranya seseorang pekerja sudah bersara atau diberhentikan kerja, pekerja tersebut harus memulangkan balik rumah tersebut kepada pihak majikan. Banyak pekerja yang tinggal di dalam ladang melangkaui generasi. Rungutan kaum pekerja ladang ialah harga rumah di pasaran sentiasa naik dan tidak boleh dibeli dengan gaji mereka yang rendah. Banyak pekerja ladang pada masa itu terpaksa bekerja sampingan untuk menampung perbelanjaan keluarga dan niat membeli rumah jarang dikecapi oleh majoriti pekerja ladang. Oleh itu, perumahan ialah satu isu yang penting untuk masyarakat ladang di negara kita.

Negara kita sekarang ini mempunyai tanah ladang seluas 7.14 juta hektar atau 17.64 juta ekar. Adalah dianggarkan terdapat sebanyak 220,000 orang pekerja tempatan dan 265,397 orang pekerja migran berdaftar yang bekerja di ladang-ladang. Adalah dianggarkan bahawa 10 buah rumah teres boleh dibina untuk setiap ekar tanah. Untuk 220,000 orang pekerja ladang tempatan, kita memerlukan 22,000 ekar tanah untuk membina rumah kepada semua pekerja ini. Oleh itu, kerajaan hanya memerlukan 0.12% daripada keseluruhan tanah ladang untuk melaksanakan skim perumahan yang membolehkan semua pekerja ladang mempunyai rumah sendiri. Perumahan untuk pekerja ladang tidak akan merugikan sesiapa, malah akan membantu kerajaan dalam membasmi kemiskinan dan menyelesaikan masalah masyarakat ladang yang telah berlarutan sekian lama.

JSML permah terlibat dalam pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2012 untuk merangka dan mengemukakan cadangan Enakmen Perumahan untuk Pekerja Ladang di Selangor. Enakmen tersebut sepatutnya dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri Selangor untuk diluluskan, tetapi masih belum dilaksanakan sehingga kini.

Pada 4 Disember 2019, JSML telah mengadakan satu aksi protes di hadapan Parlimen dan menyerahkan satu memorandum yang menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang yang menjamin hak perumahan masyarakat ladang di seluruh Malaysia. Memorandum tersebut telah diterima oleh M. Kulasegaran yang merupakan Menteri Sumber Manusia pada masa itu. M. Kulasegaran berjanji pada masa itu bahawa akan membawa perkara ini kepada perhatian Kerajaan Persekutuan tetapi undang-undang yang menjadi hak perumahan masyarakat ladang masih belum dilaksanakan sehingga kini.

JSML telah membentuk satu pasukan petugas yang tersiri daripada beberapa orang pakar perunding untuk merangka dan membentangkan cadangan enakmen yang dapat digubal oleh kerajaan negeri. JSML menyeru kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya menjadi peneraju dalam melaksanakan undang-undang yang melindungi hak perumahan pekerja ladang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *