IPOH, PERAK – 8 DISEMBER 2023:  Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada hari ini dengan seruan kepada Kerajaan Negeri Perak supaya menggubal satu enakmen baharu untuk melaksanakan skim perumahan bagi semua pekerja ladang.

Turut hadir semasa penyerahan memorandum ialah Karthiges Rajamanickam, Penyelaras JSML. Memorandum ini merupakan sebahagian daripada usaha JSML untuk mendesak negeri-negeri yang mempunyai bilangan pekerja ladang yang banyak supaya menggubal enakmen baharu yang menjamin dan melindungi hak perumahan pekerja ladang, selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan sekarang.

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh JSML kepada Kerajaan Negeri Perak ialah:

  • Kerajaan Negeri Perak harus melibatkan diri dalam menyelesaikan masalah perumahan pekerja ladang, dan mengadakan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan terutamanya pekerja ladang berkaitan isu pemilikan rumah sendiri oleh pekerja ladang;
  • Kerajaan Negeri harus mewujudkan satu mekanisme untuk mengenal pasti dan memperuntukkan tanah bagi pelaksanaan Skim Perumahan Pekerja Ladang supaya pekerja-pekerja dapat memiliki rumah sendiri;
  • Kerajaan Negeri harus mendraf, meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan pemilikan perumahan sendiri bagi pekerja ladang;
  • Kerajaan Negeri perlu mengambil semua langkah yang sepatutnya untuk memastikan pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan pemilikan rumah bagi pekerja ladang.

“JSML pernah menyerahkan memorandum mengenai isu perumahan pekerja ladang kepada Menteri Sumber Manusia sebelum ini, iaitu kepada YB M. Kulasegaran pada tahun 2019 dan kepada YB M. Saravanan pada tahun 2022, di mana mereka bersetuju secara prinsipnya bahawa isu perumahan pekerja ladang harus ditangani dan nasib pekerja ladang harus dibela supaya pekerja ladang tidak mengalami krisis sosial semasa mereka bersara kerana ketiadaan rumah yang merupakan satu hak asasi manusia,” kata Karthiges Rajamanickam semasa menyerahkan memorandum di Pejabat Menteri Besar Perak. “Satu kertas kerja juga akan dihantar kepada Kementerian Sumber Manusia yang merupakan kementerian yang bertanggungjawab terhadap pekerja-pekerja ladang di negara kita.” 

Mengulas tentang cadangan enakmen yang berkaitan dengan pemilikan perumahan sendiri bagi pekerja ladang, Karthiges berkata, “Undang-undang tersebut perlu menangani isu pemilikan perumahan pekerja ladang secara keseluruhan. Ia perlu meliputi perkara-perkara yang melibatkan, antara lainnya, pembangunan tanah ladang untuk tujuan komersial dan sebagainya termasuk mengenakan syarat bagi memastikan penginapan dan pemilikan rumah pekerja ladang tidak terjejas.”

“Antara contoh terbaik ialah skim perumahan PPR di Ampar Tenang untuk bekas pekerja di Ladang Prang Besar (nama lama Putrajaya), Medingly, Galloway dan Sedgeley yang terpaksa ditutup berikutan pembinaan Putrajaya,” ulas Karthiges tentang skim perumahan yang boleh dilaksanakan bagi pekerja-pekerja ladang. “Kerajaan Selangor menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah Sime Darby dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula membina 404 buah rumah untuk pekerja-pekerja 4 ladang tersebut. Setiap unit rumah hanya dijual pada harga RM20,000 dengan subsidi daripada Kerajaan Persekutuan sementara Kerajaan Negeri memberikan tanah. Satu lagi contoh ialah Skim Perumahan PPR Ladang Siliau di Negeri Sembilan di mana Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri membina 150 buah rumah dengan sebahagiannya adalah untuk pekerja-pekerja di Ladang Siliau milik Sime Darby melalui proses pengambilan tanah dan rumah tersebut dijual kepada pekerja menggunakan sistem ‘sewa beli’. Melalui skim ini, pembeli hanya perlu membayar sewa sebanyak RM200 hingga RM250 sebulan selama tempoh 20 hingga 25 tahun sebelum hak milik diserahkan kepada pembeli.”

Pekerja-pekerja ladang merupakan tulang belakang ekonomi negara kita sejak zaman sebelum kemerdekaan. Namun, setelah negara kita mencapai kemerdekaan lebih 66 tahun, komuniti pekerja ladang masih dipinggirkan dalam arus pembangunan negara dan hidup dalam kemiskinan. Syarikat perladangan gergasi pula telah mengaut keuntungan lumayan selama ini hasil daripada sumbangan titisan peluh pekerja-pekerja ladang. Pada masa ini, syarikat perladangan terbesar di Malaysia seperti Sime Darby, merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di mana pihak kerajaan ialah pemegang saham yang utama dalam syarikat ini. Pihak kerajaan dan syarikat perladangan yang dikuasainya sepatutnya tiada alasan untuk tidak memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah perumahan pekerja ladang yang telah berlarutan selama 4 generasi ini.

Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) telah ditubuhkan pada tahun 1993 untuk memperjuangkan tuntutan masyarakat ladang di Malaysia yang tidak diambil berat oleh kaum majikan mahupun kerajaan. Pada awal penubuhannya, JSML merupakan gabungan 6 buah kumpulan masyarakat, iaitu Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC), Alaigal, Kumpulan Kemajuan Masyarakat (KKM), Tholilayin Tholar (TT), Suara Warga Pertiwi (SWP) dan People Service Organisation (PSO). Antara kempen utama yang pernah digerakkan oleh JSML ialah kempen “Sertakan Pekerja Ladang dalam Rancangan Pembangunan Luar Bandar” pada tahun 1993 dan “Gaji Bulanan untuk Pekerja Ladang” pada tahun 1996. JSML telah terlibat dalam perjuangan masyarakat ladang yang melawan pengusiran paksa di banyak tempat sejak tahun 1990-an, dan berjaya mendapatkan perumahan teres untuk pekerja ladang gigih memperjuangkan hak perumahan mereka, namun adanya perjuangan hak perumahan yang masih berterusan kerana masih belum adanya kerangka undang-undang yang melindungi hak perumahan masyarakat ladang.

Pada tahun 2020, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada masa itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, mengatakan bahawa negara kita mempunyai jumlah keluasan 7.14 juta hektar tanah ladang dengan anggaran masing-masing 220,00 pekerja tempatan dan 265,397 pekerja asing berdaftar. Jika kita menganggarkan bahawa 10 buah rumah teres boleh dibina untuk setiap ekar tanah, maka untuk 220,000 orang pekerja ladang tempatan yang sedia ada, kita memerlukan 22,000 ekar atau 8,903 hektar tanah. Oleh itu, kerajaan hanya memerlukan 0.12% daripada keseluruhan tanah ladang untuk melaksanakan skim perumahan milik sendiri bagi pekerja-pekerja ladang. Pelaksanaan skim perumahan bagi pekerja ladang bukan sahaja tidak akan merugikan sesiapa pun, malah akan membantu kerajaan dalam membasmi kemiskinan dan menyelesaikan kemelut masyarakat ladang yang sudah berlarutan lama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *