20190503 - veera3.jpg(Hari ini dalam sejarah)

70 tahun dahulu, pada 3 Mei 1949, P. Veerasenan, seorang tokoh gerakan pekerja yang hebat pada masa itu, telah ditembak mati oleh penjajah British di Jelebu, Negeri Sembilan. Beliau dikatakan baru berusia 22 tahun ketika terkorban dalam tangan penjajah.

P. Veerasenan bergiat aktif sebagai penggerak kesatuan sekerja di Malaya pada pertengahan tahun 1940-an. Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung Kesatuan Buruh Pelabuhan di Singapura. Gerakan pekerja di Malaya selepas Perang Dunia II berkembang dengan pesat dengan kewujudan kesatuan sekerja yang radikal dan anti-penjajah. Kesatuan sekerja yang radikal dan anti-penjajah pada masa itu menyokong kemerdekaan sepenuhnya Malaya (termasuk Singapura) daripada penjajahan British, di samping memperjuangkan hak pekerja.

Dengan keberanian dan ketegasan kepimpinannya dalam gerakan kesatuan sekerja, P. Veerasenan diturut dipilih menjadi ahli jawatankuasa dalam Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU), sebuah gabungan kesatuan sekerja yang amat kuat pada tahun 1940-an selepas Perang Dunia II. PMFTU pada kemuncaknya menggabungkan lebih 100 buah kesatuan sekerja dengan sokongan ahli melebihi 300,000, iaitu lebih kurang 21% daripada jumlah tenaga kerja di Malaya pada masa itu (peratusan penyertaan kesatuan sekerja di kalangan tenaga kerja hari ini hanya lebih kurang 6%).  PMFTU terlibat dalam penubuhan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) dalam usaha memperjuangkan kemerdekaan Malaya, dan kemudian membentuk gabungan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), untuk mengemukakan Perlembagaan Rakyat dan mengadakan aksi Hartal pada 20 Oktober 1947.

P. Veerasenan juga pernah menyandang jawatan Presiden Jawatankuasa Tetap Singapore General Labour Union (SGLU) dan Naib Presiden Singapore Federation of Trade Unions (SFTU).

Pada bulan Jun 1948, demi menyekat kebangkitan gerakan pembebasan nasional yang diterajui oleh golongan nasionalis kiri di Malaya, penjajah British telah mengisytiharkan Darurat. Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancarkan perjuangan bersenjata untuk melawan penjajah British. Ramai aktivis buruk dan aktivis politik berhaluan kiri telah ditangkap. Ramai yang ditangkap telah dituduh sebagai komunis, sama ada mereka mempunyai hubungan secara langsung dengan PKM atau tidak. Kesatuan-kesatuan sekerja yang radikal telah diharamkan oleh penjajah British semasa Darurat, termasuk PMFTU. Ramai aktivis buruh terpaksa mengelakkan diri daripada ditangkap pihak penjajah dengan menyertai perjuangan PKM di hutan ataupun bergerak secara bawah tanah.

Pada bulan Mac 1949, P. Veerasenan menggantikan S.A. Ganapathy sebagai Presiden PMFTU selepas S.A. Ganapathy ditangkap oleh penjajah British. S.A. Ganapathy kemudiannya digantung mati oleh pemerintah British pada 4 Mei 1949.

Sehari sebelum S.A. Ganapathy dihukum mati, iaitu pada 3 Mei 1949, P. Veerasenan dibunuh oleh askar British dalam satu serbuan bersenjata di Daerah Jelebu, Negeri Sembilan.

P. Veerasenan merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan yang terkorban dalam tangan penjajah British yang zalim. Ketika penglibatannya dalam gerakan pekerja sebelum Darurat, P. Veerasenan telah memperjuangkan isu-isu pekerja yang penting, seperti:

  • Peningkatan gaji harian;
  • Pengurangan hari kerja seminggu dari 7 hari kepada 6 hari (iaitu pekerja menikmati satu hari rehat setiap minggu);
  • Pelaksanaan kerja 8 jam sehari;
  • Kemudahan air minuman, perumahan dan kebersihan untuk pekerja-pekerja.

Untuk memperingati keberanian dan pengorbanan P. Veerasenan dalam memperjuangkan pembebasan pekerja, Pertandingan Bola Sepak Piala Pejuang P. Veerasenan telah dianjurkan setiap tahun oleh Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) sejak tahun 1993.

Sejarah tentang perjuangan pemimpin pekerja dahulu seperti P. Veerasenan biasanya disembunyikan oleh golongan pemerintah daripada perhatian orang ramai, kerana penjajah British dan kelas kapitalis amat takut pengaruh mereka yang dapat mencetuskan kesedaran kelas pekerja untuk bangkit melawan.

2 thoughts on “Memperingati P. Veerasenan – wira gerakan pekerja Malaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *