20190409- MJIIT01KUALA LUMPUR – 9 APRIL 2019: Sekumpulan pelajar yang bergelar MJIIT-Voices bersama dengan aktivis-aktivis anak muda telah mengadakan satu aksi protes di hadapan pintu masuk utama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur pada hari ini untuk membantah tindakan pihak universiti yang mengenakan yuran khas yang membebankan ke atas mahasiswa-mahasiswi yang menuntut di Fakulti Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT-UTM).

Aksi protes pada hari ini merupakan tindakan susulan daripada sidang media yang diadakan oleh MJIIT-Voices pada 10 Disember 2018 yang menuntut pada pihak pengurusan universiti untuk membincangkan isu yuran khas ini. Pihak pengurusan MJIIT-UTM enggan berjumpa dan berunding dengan pelajar-pelajar MJIIT yang terkesan. Antara isu yang dibawa oleh pelajar ialah:

  • kenaikan yuran pengajian daripada RM 945 ke RM 5000 (kenaikan sebanyak 529%) untuk setiap semester;
  • isu surat tawaran yang berunsur penipuan; dan
  • bayaran penalti sebanyak RM 10,000 yang dikenakan ke atas peserta Global Mobility Program (GMP) jikalau keluar daripada program MJIIT.

MJIIT merupakan sebuah fakulti di bawah UTM, tetapi dibenarkan mengamalkan dasar “pembiayaan diri” (self-finance) di mana MJIIT perlu menanggung kos pengurusan dan penyelenggaraannya sendiri yang serupa dengan dasar kewangan institusi pengajian

tinggi swasta (IPTS) di Malaysia. Menurut pihak UTM, MJIIT merupakan sebuah fakulti di bawah UTM (IPTA) dan pelajar-pelajar di MJIIT telah memohon melalui sistem permohonan universiti awam di bawah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU). Melalui UPU, para pelajar diberikan subsidi dari segi yuran pengajian oleh pihak kerajaan melalui cukai awam. Pelajar-pelajar yang mendaftar tidak mengetahui bahawa mereka perlu bayar RM 5000 setiap semester untuk program ijazah sarjana muda yang ditawarkan oleh MJIIT-UTM, iaitu: –

  1. Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Elektronik (TK97)
  2. Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Kejituan (TK99)
  3. Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Proses Kimia (TK79)

Pelajar-pelajar yang berkenaan hanya mengetahui struktur yuran setelah menerima surat tawaran dari UTM. Ramai pelajar yang mendaftar untuk UTM dalam aliran MJIIT telah atau sedang mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kursus di MJIIT disebabkan tidak mampu membayar yuran pengajian yang setinggi dengan IPTS.

Pihak MJIIT telah menyediakan satu bantuan kewangan  ataupun Financial Assistance (FA) yang mempunyai 2 jenis bantuan, iaitu pengurangan yuran sebanyak 50% dan 80%. Namun, kewujudan FA tidak membantu pelajar kerana:

  1. Pelajar dengan pinjaman PTPTN hanya menerima wang pinjaman di penghujung semester, dan ini memaksa pelajar untuk bekerja atau meminta wang daripada ibu bapa sebelum UTM memulangkan baki bayaran kepada pelajar.
  2. Pelajar perlu mendapatkan markah CGPA sekurang-kurangnya 3.0. Pelajar yang gagal mencapai tahap markah ini akan digantung FA sehingga GPA mereka kembali mencapai 3.0 minimum. Ini mewujudkan situasi tidak kondusif dan memberi tekanan kepada pelajar-pelajar berkenaan.
  3. Seramai 62 orang pelajar sudah digantung FA dan perlu membayar yuran sebanyak RM 5,000 pada semester ini. Ini mendatangkan tekanan kewangan yang hebat kepada pelajar-pelajar ini.

“Ini merupakan satu keadilan kepada pelajar-pelajar. Mereka tidak mengetahui tentang yuran sebenar MJIIT-UTM semasa mereka memilih program di laman UPU. Para pelajar sememangnya tidak akan memilih program yang menelan RM5000 setiap semester, terutamanya mereka yang berada dalam kategori B40,” begitu katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tan Cheng Siong, selaku Pengerusi MJIIT Voices.

Munurut Tan, terdapat banyak peruntukan yang diterima pihak MJIIT, seperti dana daripada kerajaan Jepun yang berjumlah RM 250 juta. “MJIIT-UTM merupakan sebuah cabang di bawah UTM serta menggunakan kemdahan UTM. Oleh itu, pelajar ijazah sarjana muda di MJIIT-UTM, yang merupakan sebuah universiti awam, ini tidak sepatutnya ditindas dengan yuran yang sangat tinggi,” ulasnya.

Sebelum ini, MJIIT Voices telah berhubung dengan pihak Canselori UTM untuk membincangkan isu ini tetapi pihak UTM enggan mendengar masalah pelajar-pelajarnya. MJIIT Voices juga telah memaklumkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun tiada reaksi daripada KPM.

20190409- MJIIT04

MJIIT-Voices yang mewakili pelajar-pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 3 di MJIIT-UTM, mengadakan aksi pada hari ini untuk menyuarakan tuntutan mereka demi mempertahankan hak asasi untuk mendapatkan pendidikan tanpa terpaksa menjadi papa kedana.

Tuntuan MJIIT-Voices kepada pihak UTM ialah:

  1. Menghapuskan yuran khas MJIIT yang dikenakan ke atas pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda di bawah fakulti MJIIT-UTM;
  2. Memulangkan semula yuran khas MJIIT yang dibayar oleh pelajar sejak tahun 2017;
  3. Mengamalkan ketelusan dalam pengurusan kewangan dengan mendedahkan maklumat tentang penggunaan yuran yang dikutip daripada pelajar.

20190409- MJIIT06

Ketika perhimpunan di hadapan UTM Kuala Lumpur hari ini, berlakunya kejadian di mana adanya polis yang cuba menangkap Sharan Raj, Timbalan Pengerusi Pemuda PSM, yang berada di situ untuk bersolidariti bersama MJIIT-Voices. Namun, setelah berlakunya sedikit pergelutan, penangkapan tersebut akhirnya gagal dilakukan. Satu memorandum telah diserahkan kepada pihak pengurusan UTM oleh wakil MJIIT-Voices.

5 thoughts on “Yuran pengajian naik 529% – Pelajar MJIIT-UTM tuntut keadilan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *