20191123 - MJIIT.jpg

KUALA LUMPUR – 23 NOVEMBER 2019: 2 orang aktivis pelajar daripada UTM-MJIIT Voices dan seorang lagi aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah dipanggil untuk rakaman percakapan pada hari ini di Ibupejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, berkenaan dengan siasatan polis terhadap aksi protes pelajar UTM-MJIIT di hadapan Parlimen pada 11 Oktober 2019 semasa sesi pembentangan Belanjawan 2020.

Tiga orang anak muda yang dipanggil untuk siasatan polis ialah Tan Cheng Siong selaku Pengerusi UTM-MJIIT Voices, Salehuddin Abdul Latif selaku Ahli Jawatankuasa UTM-MJIIT Voices, dan Sharan Raj selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan akvitis Gerakan Pembebasan Akademik (GPA). Ketiga-tiga orang aktivis ini disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

UTM-MJIIT Voices ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib pelajar-pelajar Fakulti Malaysia-Japan International Institute of Technology – Universiti Teknologi Malaysia (UTM-MJIIT) yang menghadapi masalah kenaikan yuran pengajian yang membebankan. Yuran khas MJIIT dikenakan secara mengejut sejak tahun 2016, menyebabkan para pelajar perlu membayar sebanyak RM5,000 satu semester. UTM-MJIIT Voices mengadakan aksi protes pada 11 Oktober 2019 di hadapan Parlimen untuk menggesa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya mempercepatkan penyelesaian masalah mereka.

Salehuddin telah dipanggil oleh pegawai polis dari IPD Dang Wangi sementara Tan Cheng Siong dipanggil oleh Sentul untuk siasatan. Sharan Raj pula telah dipanggil oleh kedua-kedua IPD Dang Wangi dan IPD Sentul. Pihak PSM telah menghubungi polis untuk meminta supaya ketiga-tiga orang diambil kenyataan bersama di IPD Dang Wangi. Pihak IPD Sentul telah mengeluarkan waran tangkap terhadap aktivis berkenaan beberapa hari lepas, namun tiada sebarang tangkapan dibuat pihak polis setakat ini.

Ketiga-tiga orang aktivis yang menghadiri sesi rakaman percakapan pada pagi tadi telah diiringi oleh peguam Tan Yen Hui, dan juga peguam Y. Kohila daripada Biro Guaman PSM.

Pegawai penyiasat untuk kes ini telah memaklumkan kepada pihak peguam bahawa aduan polis terhadap ketiga-tiga orang aktivis itu dibuat oleh pihak polis sendiri.

UTM-MJIIT Voices mengatakan dalam kenyataannya pada hari ini, “Pihak polis disarankan supaya berhenti menyiasat aktivis-aktivis untuk insiden sivil, kerana tindakan sebegini membazir sumber polis. Pihak polis harus memfokuskan sumber dan tenaganya dalam perkara siasatan jenayah serta menghormati hak demokratik dan hak sivil rakyat Malaysia.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *