20191127 - 48362708_281406809244655_5011432587604787200_o (2).png

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah bersetuju untuk memulangkan yuran khas yang dikenakan ke atas pelajar-pelajar Fakulti Malaysia-Japan International Institute of Technology – Universiti Teknologi Malaysia (UTM-MJIIT) dan meneruskan subsidi kepada pelajar kemasukan sesi 2016/2017 sehingga 2019/2020. Ini merupakan satu kemenangan yang bermakna untuk pelajar-pelajar yang bergabung dalam UTM-MJIIT Voices.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM pada hari ini (27 November 2019), dinyatakan bahawa pihak UTM telah memutuskan untuk menangguhkan perlaksanaan kadar yuran MJIIT yang “sebenar”, iaitu RM 5000 per semester, untuk hanya berkuatkuasa bermula kemasukan pelajar sesi 2020/2021. Sehubungan itu, pihak UTM akan memulangkan yuran khas yang dikutip daripada pelajar-pelajar yang masuk ke MJIIT sebelum ini.

Pihak UTM dianggarkan akan memulangkan RM10 juta yang dikutip daripada pelajar-pelajar MJIIT sebelum ini. Tindakan pemulangan yuran khas ini jelas menunjukkan bahawa pihak UTM telah melakukan kesalahan yang tidak berterus-terang dengan para pelajar dalam mengutip yuran khas sebelum ini yang amat membebankan pelajar.

UTM-MJIIT Voices telah ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib pelajar-pelajar UTM-MJIIT yang menghadapi masalah beban pembayaran yuran pengajian. Yuran khas MJIIT dikenakan secara mengejut sejak tahun 2016, menyebabkan para pelajar perlu membayar sebanyak RM5,000 satu semester. UTM-MJIIT Voices telah mengadakan beberapa aksi untuk membawa tuntutan mereka. Aksi protes UTM-MJIIT Voices turut mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Pendidikan. Hasil daripada kegigihan dan kesungguhan UTM-MJIIT Voices dalam memperjuangkan hak pelajar, akhirnya pihak pengurusan UTM terpaksa mengakui kesalahannya telah memulangkan yuran khas yang dikutip daripada pelajar sebelum ini.

Kemenangan UTM-MJIIT Voices ini menunjukkan bahawa pelajar-palajar mampu membawa perubahan dan berjaya dapat memperjuangkan hak jika mereka bersatu. Semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh UTM-MJIIT Voices sudah pasti akan memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain di negara kita untuk terus bergabung demi menyuarakan hak mereka dan melawan segala ketidakadilan yang wujud.

Syabas kepada UTM-MJIIT Voices! Perjuangan mahasiswa-mahasiswi bakal diteruskan!

One thought on “UTM setuju pulangkan yuran khas MJIIT – kemenangan untuk perjuangan pelajar UTM-MJIIT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *