20190409 - ipcmc.jpgKUALA LUMPUR: Gabungan Tuntut IPCMC telah mengadakan satu aksi protes di hadapan Bangunan Parlimen pada 8 April 2019, untuk menyerahkan memorandum kepada ahli-ahli parlimen dengan tuntutan pelaksanaan segera penubuhan Suruhanjaya Besa Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Wakil daripada masyarakat sivil dan keluarga mangsa kematian dalam tahanan polis telah hadir dalam aksi ini.

Baru-baru ini, laporan hasil siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat yang diumumkan pada 3 April 2019 mendedahkan bahawa terdapatnya kemungkinan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Cawangan Khas Bukit Aman dalam kes penculikan dan penghilangan paksa. Pendedahan ini menunjukkan bahawa menang perlunya IPCMC untuk menyiasat kes salah guna kuasa sebegini demi memastikan integriti pasukan polis di samping membendung pencabulan hak asasi manusia daripada berulang.

Menurut M. Visvanathan, peguam hak asasi manusia yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Tuntut IPCMC, cadangan untuk penubuhan IPCMC telah dikemukakan sejak tahun 2005 apabila Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia menyarankan supaya kerajaan mewujudkan satu mekanisme pemantauan bebas terhadap polis melalui penubuhan IPCMC. Namun, cadangan untuk penubuhan IPCMC telah dibantah oleh pihak polis.

“Kami menyeru pada PDRM agar bersedia menerima penelitian luaran dengan terbuka dan berusaha menjadi pasukan polis sebuah pasukan yang meletakkan hak asasi manusia sebagai teras kepada khidmat kepolisan. Ianya adalah satu kematangan profesional apabila sebuah agensi yang kuat seperti pasukan polis bersedia menerima badan pengawasan luar yang juga satu langkah untuk memperkasakan perkhidmatan mereka,” begitu katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Gabungan Tuntut IPCMC semalam.  

Dari sumber jawapan di Parlimen pada 28 Mac 2017, menunjukkan bahawa terdapat 257 kes kematian dalam tahanan polis sepanjang tahun 2002 hingga 2016. Kebanyakan kes kematian dalam tahanan tidak dilaporkan dalam media ataupun disiasat untuk mengenalpasti sebab kematian. Angka ini tidak termasuk aduan mengenai penyeksaan dan salah laku polis yang selalu dilaporkan dan didokumentasi oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang peka pada isu hak asasi manusia. Oleh yang demikian, IPCMC diperlukan untuk menjamin kesemua kes-kes penyalahgunaan kuasa polis ini disiasat oleh satu badan yang benar-benar bebas supaya memulihkan kepercayaan rakyat terhadap badan penguatkuasa yang paling utama di negara kita ini.  

Beberapa orang ahli parlimen telah hadir bersama untuk menyatakan sokongan mereka kepada memorandum menuntut IPCMC, termasuk Maria Chin Abdullah (Ahli Parlimen Petang Jaya), Kasthuri Patto (Ahli Parlimen Batu Kawan) dan Chang Lih Kang (Ahli Parlimen Tanjung Malim). Turut hadir dalam aksi semalam di hadapan Bangunan Parlimen ialah Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung PSM) dan S. Arutchelvan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM).  

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Parlimen, Gabungan Tuntut IPCMC telah mengemukakan prinsip panduan dalam menubuhkan IPCMC, iaitu:

  1. IPCMC mesti benar-benar bebas dan telus;
  2. Rang Undang-undang untuk IPCMC harus dimuktamadkan oleh Kabinet dan Jabatan Peguam Negara, sementara PDRM tidak patut diberikan kuasa untuk kata putus dalam perkara ini, untuk memastikan IPCMC mempunyai kuasa yang berkesan. Komposisi IPCMC juga tidak boleh terdiri daripada pegawai polis yang masih berkhidmat atau bekas pegawai polis, selaras dengan cadangan Laporan Suruhanjaya Diraja.
  3. IPCMC mesti mempunyai kuasa berkesan untuk bertindak secara bebas dan perlu diberikan kuasa seperti: menerima aduan daripada orang ramai mengenai dakwaan salah laku polis; membuat keputusan sama ada untuk menyiasat aduan dengan sendiri atau dengan agensi-agensi lain; boleh memulakan siasatan dengan sendiri walaupun tanpa penerimaan aduan; hendaklah mempunyai kuasa mewajibkan PDRM atau agensi lain yang berkaitan supaya mengemukakan apa-apa dokumen atau barang-barang yang mempunyai kaitan dengan kes untuk pemeriksaannya; mempunyai kuasa untuk memanggil saksi dan mendengar keterangan bersumpah; hendaklah mempunyai kuasa untuk memasuki dan memeriksa mana-mana premis yang diduduki atau digunakan oleh badan awam atau badan kuasa berkanun; boleh memerintahkan tindakan yang difikirnya patut diambil termasuk amaran dan pelepasan dari tugas, penggantungan elaun dan kenaikan, penurunan pangkat, denda atau pemecatan pegawai polis, dengan mereka yang terjejas oleh perintah ini boleh mencabarnya melalui semakan kehakiman.

Memorandum menuntut pelaksanaan IPCMC ini telah disokong oleh 50 buah organisasi, termasuk Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pertubuhan IKRAM Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Amnesty International Malaysia, Pasukan Petugas Majlis Peguam Malaysia mengenai IPCMC, Eliminating Death in Custody Together (EDICT), PROHAM, Citizen Action Group on Enforced Disappearance (CAGED), Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Persatuan Agora, Gabungan BERSIH 2.0, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Pusat KOMAS dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *