oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Pakatan Harapan (PH) menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan dalam PRU-15. Ramai pengulas politik meramalkan bahawa kehilangan undi Melayu kepada Barisan Nasional (BN), seperti yang berlaku di Melaka pada tahun 2021 dan Johor pada tahun 2022, akan mengurangkan jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PH kepada antara 50 dan 60 kerusi dalam PRU-15. Namun, kesilapan langkah yang diambil oleh kepimpinan UMNO dan persembahan cemerlang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Rafizi Ramli telah mendatangkan keputusan yang lebih baik untuk PH berbanding apa yang dijangkakan. PH berjaya memenangi 82 kerusi, muncul sebagai gabungan politik yang terbesar dalam negara, dan membolehkan DSAI dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun, jalan ke hadapan bukannya tanpa masalah dan para penyokong gerakan reformasi harus melihat dengan jelas cabaran-cabaran yang bakal ditemui.

Tsunami Melayu

Tidak banyak perubahan dalam undi bukan Melayu. Peratusan yang tinggi dalam kalangan pengundi-pengundi beretnik Cina dan India terus menyokong PH – sesetengah pengulas menganggarkan tahap sokongan kepada PH daripada dua golongan ini adalah 90% dan 80% masing-masing. Namun, lebih kurang 50% pengundi Melayu yang mengundi PH pada tahun 2018 telah meninggalkannya pada tahun 2022. Seperti yang dilihat di Melaka dan Johor, pengundi-pengundi ini mengalihkan sokongan mereka kepada BERSATU dan PAS. Perkembangan yang tidak dijangkakan dalam PRU-15 ialah keruntuhan sokongan Melayu untuk UMNO. UMNO yang menerima lebih kurang 45% undi Melayu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka telah menyaksikan penghakisan sokongan Melayu yang besar dalam PRU-15, mengurangkan undi Melayu yang diperolehinya kepada kurang daripada 25%.  Kedua-dua trend ini jelas didapati dalam kawasan Parlimen Pokok Sena dan Permatang Pau seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah:

Pokok Sena: Peratusan undi yang diperolehi pada tahun 2018 dan 2022 mengikut gabungan politik

 20182022
PH40.9%23.3%
PAS33.1%59.4%
BN26.0%16.5%
WARISAN 0.7%

Nota: Komposisi pengundi mengikut kumpulan etnik di Pokok Sena ialah Melayu 81.5%, Cina 15.2%, India 2.5%, lain-lain 1%

Permatang Pauh: Peratusan undi yang diperolehi pada tahun 2018 dan 2022 mengikut gabungan politik

 20182022
PH50.9%34%
PAS20.7%43%
BN28.4%19.4%
WARISAN 0.5%

Nota: Komposisi pengundi mengikut kumpulan etnik di Permatang Pauh ialah Melayu 73.1%, Cina 19.5%, India 6.6%, lain-lain 0.8%.

Adalah penting untuk kita menyedari sebab-sebab penjajaran semula undi Melayu ini. Antara 40% hingga 50% pengurangan sokongan Melayu untuk PH sejak PRU-14 adalah kerana kebimbangan bahawa PH tidak bersimpati dengan kepentingan Melayu sama ada dari segi bantuan ekonomi, menegakkan agama Islam ataupun melindungi kedudukan kaum Melayu di dalam negara ini. Perpindahan keluar undi dari UMNO sejak PRN Melaka 2021 berkemungkinan besar didorong oleh kebencian terhadap tahap korupsi yang wujud dalam UMNO dan cubaan kepimpinan UMNO untuk menafikan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin nasional mereka. Hampir semua pengundi yang meninggalkan PH dan BN beralih kepada Perikatan Nasional (PN). Ia dianggap sebagai “pertaruhan yang selamat” bagi mereka.

Keertian peralihan sokongan pengundi

Terdapat beberapa keertian berkenaan peralihan sokongan pengundi ini. Yang pertama ialah para pengundi Melayu turut prihatin tentang masalah korupsi dan salah guna kuasa, seperti apa yang dibimbangi pengundi-pengundi bukan Melayu. Itulah sebabnya kenapa sokongan pengundi Melayu untuk UMNO telah merosot daripada kira-kira 80% pada tahun 2004 kepada 25% yang teruk sekarang. Yang kedua ialah, kebanyakan pengundi Melayu – berkemungkinan lebih kurang 85% –  tidak mengundi untuk PH dalam PRU-15, dan mereka akan memerhati PH dengan kekhuatiran untuk melihat sama ada amaran buruk yang diuar-uarkan oleh pemimpin BN dan PN menjelang PRU-15 mengenai orientasi PH yang anti-Melayu itu benar atau tidak. Yang ketiga, walaupun nampaknya terdapat sokongan daripada jumlah Ahli Parlimen yang cukup selesa, tetapi kerajaan PH masih jauh daripada stabil. Kemungkinan penarikan sokongan secara tiba-tiba yang menjatuhkan kerajaan PH adalah tidak dapat diketepikan. Yang keempat, kemungkinan PN menggunakan kaum dan agama untuk membangkitkan perasaan ketidakterjaminan dalam kalangan masyarakat Melayu adalah sentiasa wujud. Mereka mempunyai jentera yang boleh memperbesar-besarkan mesej sebegini dalam seluruh masyarakat Melayu. Jika mereka dapat mengheboh-hebohkan kempen yang menggambarkan rejim PH-BN sebagai sesuatu yang bertentangan dengan “kepentingan” Melayu, kedudukan BN dalam kerajaan campuran mungkin tidak dapat dipertahankan, seperti kedudukan BERSATU dalam kerajaan PH pada awal tahun 2020. BN mungkin terpaksa menarik diri daripada kerajaan pada masa itu untuk mengelakkan kehilangan sokongan Melayu lebih lanjut lagi. 

DSAI jelasnya menyedari tentang kebimbangan pengundi-pengundi Melayu. Ini ditunjukkan dalam sidang akhbarnya yang pertama untuk menyampaikan ucapan kepada rakyat seluruh negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri. Beliau memulakan ucapannya dengan menegaskan semula bahawa semua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa masyarakat Melayu dan kedudukan Pemerintah Melayu, akan dihormati dan dijunjung tinggi. Hanya selepas menyatakan ini barulah beliau bercakap bahawa hak semua masyarakat yang lain di Malaysia juga akan dihormati.

Adalah penting untuk penyokong-penyokong gerakan reformasi di Malaysia memahami tentang keperluan untuk meredakan keresahan masyarakat Melayu dalam senario sekarang ini. Proses reformasi akan memerlukan sekurang-kurangnya 2 penggal Parlimen untuk diperkukuhkan. Untuk kekal berkuasa selama 2 penggal, PH perlu meningkatkan sokongan pengundi Melayu terhadapnya kepada lebih 25% yang diperolehinya pada tahun 2018. Hanya jika PH dapat mencapai, sekurang-kurangnya majoriti mudah secara sendiri, barulah ia dapat lega bernafas.

Peranan penyokong-penyokong Reformasi

Tugas untuk memperkukuhkan sokongan rakyat umum terhadap agenda reformasi tidak boleh hanya diserahkan DSAI dan kepimpinan PH sendiri. Penyokong-penyokong Reformasi harus ingat bahawa PH hanya meraih 37.5% undi popular dalam PRU-15. Ini perlu ditingkatkan kepada lebih 50% sekiranya reformasi hendak berada di atas landasan yang stabil. Terdapat beberapa perkara yang penyokong-penyokong Reformasi boleh dan patut lakukan.

Yang pertama, kita harus berhenti menganggap diri kita sendiri sebagai “mangsa”. Perasaan mangsa menjadikan kita memfokus secara eksklusifnya pada ketidakadilan dan peminggiran yang dialami oleh komuniti kita sendiri, dan menggesa kerajaan untuk bertindak segera supaya menyelesaikan masalah-masalah ini demi memenuhi kepuasan hati komuniti sendiri. Sebaliknya, penyokong-penyokong Reformasi, pemenang dalam pusingan pilihan raya kali ini, harus berfikir secara rasional – demi seluruh rakyat dan semua komuniti di dalam negara ini. Mereka yang mengundi PN dan BN mempunyai persepsi mereka sendiri terhadap ketidakadilan yang dialami mereka dan khuatir bahawa mereka akan dipinggirkan lebih lanjut lagi. Penyokong-penyokong PH harus memahami kekhuatiran dan keresahan ini, dan meneroka jalan bagaimana ia boleh ditangani dengan cara yang adil dan saksama.

Kerajaan yang akan datang harus melaksanakan segera 4 program berikut yang akan membawa kelegaan ekonomi serta-merta kepada hampir semua keluarga B40 dan M40 di negara ini.

  1. Pencen usia tua RM500 sebulan kepada mereka yang berumur 65 tahun ke atas yang bukannya penerima pencen kerajaan atau PERKESO. Ini akan memberi kelegaan segera kepada kira-kira 1.5 juta orang warga Malaysia yang berada dalam kategori warga emas dan menjadikan keadaan hidup mereka jauh lebih baik. Skim pencen ini akan memakan kos kira-kira RM9 bilion setahun pada masa ini.
  2. Sumbangan caruman PERKESO yang ditaja oleh Kerajaan Persekutuan untuk memberi Perlindungan Ilat kepada semua wanita berumur antara 18 dan 60 tahun di dalam negara ini. Jika berasaskan gaji minimum RM1,500 sebulan, ini akan menjadi RM15.50 seorang setiap bulan. Ia akan membelanjakan RM1.2 bilion setahun untuk memberikan perlindungan ini untuk 6.5 juta orang wanita berumur 19-60 tahun yang layak, iaitu wanita yang bukannya kakitangan kerajaan atau sedang dilindungi oleh PERKESO.
  3. Mewujudkan dana RM2 bilion setahun untuk menaja bersama satu program yang mewajibkan majlis-majlis perbandaran untuk mengambil alih penyelenggaraan dan pengurusan rumah-rumah pangsa kos rendah di seluruh negara. Kebanyakan daripada rumah-rumah ini adalah dalam keadaan yang buruk, dan ia akan merugikan kanak-kanak dan anak-anak muda yang tinggal di rumah-rumah pangsa sekiranya membiarkan keadaannya terus merosot.
  4. Ketelusan dalam penggunaan dana yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Pejabat-pejabat Daerah untuk menyelenggara dan menaik taraf kemudahan awam serta rumah-rumah kediaman di kawasan-kawasan luar bandar. (Pada masa ini adalah kira-kira RM5 bilion setahun! Bukannya jumlah yang kecil.) Tahap pendanaan harus dikekalkan buat masa ini, tetapi ia akan pergi lebih jauh sekiranya kebocoran (oleh ahli-ahli politik tempatan dan kakitangan pejabat daerah dan kontraktor kroni mereka) dikurangkan dengan mengkehendakkan semua peruntukan dan spesifikasi projek yang diluluskan untuk diletakkan dalam papan notis atas talian di mana penduduk tempatan boleh mengaksesnya.

4 program yang disenaraikan di atas akan membawa manfaat yang ketara kepada sebahagian besar penduduk dan dianggarkan akan membelanjakan kos tambahan kira-kira RM12 bilion. Program-program ini akan mengurangkan kekhuatiran mereka yang tidak mengundi PH dalam PRU-15 bahawa mereka akan diabaikan, dipinggirkan atau dibiarkan ketinggalkan di bawah kerajaan baharu. Ia pasti akan membantu dalam memperluaskan sokongan politik untuk rejim PH.

Cadangan saya yang ketiga ditujukan khas kepada penyokong-penyokong agenda reformasi yang tidak berpuas hati terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB). Saya faham bahawa DEB dan kuota berasaskan etnik telah meminggirkan terutamanya golongan B40 bukan Melayu dan terdapat ramai orang agak geram kerana itu. Namun, menyuarakan rasa geram semasa menjadi pembangkang adalah agak berbeza daripada meneruskan nada yang sama apabila parti pilihan anda berkuasa. Anda perlu melihat dengan lebih berhati-hati lagi pada bagaimana apa yang anda katakan itu akan ditafsir oleh 62% rakyat yang mengundi berbeza daripada anda. Ketidakseimbangan sosio-ekonomi dalam masyarakat tidak akan dapat diselesaikan oleh pasaran bebas. Persaingan bebas secara umumnya memanfaatkan mereka yang sudah mempunyai kelebihan – dari segi kekayaan, pendidikan dan/atau kepintaran perniagaan. Bolehkah kita semua bersetuju bahawa tindakan afirmatif harus digunakan oleh kerajaan untuk menangani ketidakseimbangan yang sedang wujud dalam masyarakat? Namun, dengan syarat bahawa harus adanya perlindungan daripada penyalahgunaan sistem tindakan afirmatif oleh golongan T20, dan harapan serta kepentingan yang sah semua masyarakat di Malaysia adalah dilindungi.

Malaysia sedang berada di persimpangan bersejarah. Kita mempunyai peluang untuk melakar hala tuju baharu yang lebih adil dan inklusif untuk negara kita. Namun, kita harus sedar bahawa kita sedang berada dalam sebuah masyarakat yang sangat polarisasi. Kurang daripada 15% pengundi Melayu di Semenanjung mengundi untuk PH dalam PRU-15. 85% daripada mereka mengundi sama ada PN (60%) atau BN (25%). Satu-satunya sebab PH muncul sebagai gabungan politik terbesar ialah 85% pengundi Melayu yang tidak mengundi PH berpecah antara PN dan BN. Asas sokongan pilihan raya untuk PH adalah bergoyang. Penyokong-penyokong PH perlu membantu dalam memperkukuhkan dan memperluaskan sokongan untuk kerajaan pimpinan PH sekiranya mereka mahu proses reformasi untuk berterusan dan membuahkan hasil.

Cadangan yang dikemukakan di atas akan membantu untuk menstabilkan keadaan politik dan memperkukuhkan proses reformasi. Penyokong-penyokong PH perlu mengubah minda mereka dan berfikir untuk semua komuniti di negara ini – supaya merentasi jurang etnik dan benar-benar memahami, dan di mana sahaja berkemungkinan, menyokong golongan “yang lain”. PH amat bertuah kerana mendapat peluang kedua untuk mereformasi negara kita. Janganlah kekok lagi kali ini!

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan mantan Ahli Parlimen Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *