oleh Nik Aziz Afiq
Setiap orang ada masanya tersendiri. Kita tidak terlambat kerana kita tidak berlumba dengan siapapun melainkan hanya melalui perjalanan ini.
Saya kagum kebijakan politik PAS dalam pilihan raya kali ini. Saya kira ini era paling cemerlang bagi PAS dalam pilihan raya dengan kemenangan begitu besar yang tidak terjangka, baik orang biasa mahupun badan penyelidikan ternama. Tetapi dalam kita kagum melihat kejayaan orang lain, kita selalu terlupa melihat derita yang pernah ditempuhi.
PAS pernah juga hanya ada seorang wakil rakyat, pernah rasa dikhianati sampai tumbang kerajaan beberapa kali, pernah ada calonnya bergadai harta benda namun keputusan pilihan raya hilang deposit, pernah ada calonnya diculik, pernah pimpinan Pemudanya dikapak mati di depan pejabat PAS sendiri, pernah lalui dan mungkin yang paling banyak lalui derita sebagai parti pembangkang yang wujud dari pilihan raya pertama hingga sekarang. Nasib PAS dan UMNO sekarang ibarat berubah roda, setelah sekian lama dengan bermacam strategi, mengalami perpecahan serpihan parti berkali-kali, hari ini PAS megah besar dan kukuh tinggi.
Parti yang saya dukungi, PSM, berdepan kekalahan lagi, dari PRU-14 hingga PRU-15, hampir 20 kerusi dah, semua kalah dan hilang deposit. Tiada seorang pun wakil kami dalam DUN atau Parlimen, bahkan nak buat pakatan pilihan raya pun orang tidak layan kami. Begitulah kami berada di poin terendah dalam penglibatan pilihan raya. Walau perit tapi saya yakin inilah didikan atau tarbiyah pada kami untuk kekal ikhlas. nak sedih satu dua hari bolehlah, tapi kami kena terus bangkit usaha dan usaha lagi. Era inilah yang akan hasilkan para aktivis yang bermula dari susah, bermula dari tak ada apa-apa, bangun dari bawah dan jatuh berkali-kali, dengan derita, dengan air mata sampai masanya nanti masyarakat akan beri peluang juga kepada kami. Apabila kita tidak dapat kemenangan dengan mudah, maka kita akan jadi lebih menghargai apabila diberi peluang.
Masyarakat berubah. Negasi ke negasi! Baiki dan baiki hingga sampai masanya nanti.
==========