24 NOVEMBER 2022

1. Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru kepada semua pihak supaya menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dan mandat rakyat yang diberikan kepada wakil rakyat yang dipilih mereka. Ini termasuklah menerima hakikat bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) merupakan dua gabungan parti politik utama yang mendapat jumlah kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat.

2. Negara kita sedang berdepan dengan banyak masalah yang perlu ditangani sekarang, termasuk kesan pandemik yang masih wujud, krisis ekonomi, ketidakjaminan hidup rakyat biasa, krisis iklim, ancaman politik perkauman dan sebagainya. Kerajaan baharu yang bakal dibentuk akan menghadapi tugas-tugas yang penuh cabaran dan kesukaran. Adalah penting untuk membentuk sebuah kerajaan yang mampu menangani cabaran-cabaran ini demi menjamin kehidupan dan melindungi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

3. PSM berpandangan bahawa PH sebagai gabungan parti politik yang memenangi kerusi terbanyak dalam PRU-15, walaupun bukannya majoriti, harus diberikan keutamaan dalam usaha membentuk kerajaan baharu dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sama ada dengan sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk majoriti ataupun pembentukan kerajaan minoriti dengan persetujuan “keyakinan dan pembekalan” (confidence and supply) daripada parti-parti bukan kerajaan.

4. PSM risau tentang polarisasi masyarakat dan ketegangan kaum yang disebabkan oleh retorik politik dan sentimen perkauman yang dicetuskan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab semasa pilihan raya. Segala bentuk tindakan dan kenyataan yang berbau perkauman harus dihentikan segera.

5. Menyedari realiti kewujudan polarisasi masyarakat pasca PRU-15 ini, PSM menyarankan kepada kerajaan baharu supaya menubuhkan sebuah “Majlis Perdamaian Kebangsaan” (National Reconciliation Council) yang dianggotai oleh wakil semua parti politik dan wakil masyarakat madani yang berbilang kaum, untuk menjalin semula perpaduan masyarakat dan mengeratkan semula hubungan antara etnik di dalam negara kita.

6. Proses perdamaian kebangsaan boleh dimulakan dengan pelaksanaan dasar-dasar pro-rakyat yang sekurang-kurangnya dikongsi oleh ketiga-tiga gabungan parti politik utama seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya masing-masing. Manifesto ketiga-tiga gabungan parti politik utama (PH, PN dan BN) memang mengandungi tawaran yang boleh dianggap pro-rakyat seperti memberi bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan krisis ekonomi, membanteras rasuah, mengawal selia pendanaan politik, mengutamakan pendidikan, memperkukuhkan sistem kesihatan awam, memperluaskan perlindungan keselamatan sosial, memastikan hak kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara dan sebagainya. Persamaan dalam manifesto pilihan raya antara ketiga-tiga gabungan parti politik utama ini boleh dijadikan asas untuk kerjasama rentas gabungan politik dalam usaha mengatasi kemelut politik pasca PRU-15.

7. Usaha perdamaian kebangsaan hanya dapat dicapai dengan pemimpin-pemimpin semua parti politik utama di negara kita bertindak secara matang dan bijak untuk mewujudkan kondisi yang sesuai untuk kerjasama dalam usaha menjamin kesejahteraan rakyat yang dikongsi bersama, dan menangani perbezaan pandangan politik secara rasional melalui dialog yang berasaskan semangat saling hormat-menghormati. Semua pemimpin politik harus menghentikan segala manipulasi politik yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan permusuhan antara etnik.

8. PSM berpendirian bahawa kerajaan baharu harus memberi fokus kepada usaha melindungi seluruh rakyat daripada ancaman pelbagai krisis pada masa kini yang sedang menjejaskan kehidupan masyarakat. Antara usaha yang harus diambil ialah:

  • Memperkenalkan dasar-dasar yang dapat mengurangkan impak krisis ekonomi ke atas golongan 60% terbawah (B60) dalam masyarakat kita, termasuk skim jaminan pendapatan asas bagi rakyat bawahan, skim jaminan kerja dan sebagainya;
  • Mewujudkan skim pencen sejagat untuk semua warga emas yang berumur 65 tahun dan ke atas;
  • Memperbaiki dan memperkukuhkan sistem kesihatan awam;
  • Melindungi jaminan makanan;
  • Perumahan selesa yang benar-benar mampu dihuni oleh rakyat;
  • Meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam;
  • Menangani krisis iklim dengan tindakan yang konkrit.

Kebanyakan usaha yang dicadangkan ini sudah pun terkandung dalam manifesto pilihan raya yang dikemukakan oleh ketiga-tiga gabungan parti politik utama semasa PRU-15. Persoalannya adalah sama ada mana-mana pihak yang membentuk kerajaan itu mempunyai kesungguhan politik untuk melaksanakannya atau tidak.

9. Kerajaan baharu juga harus memberi keutamaan kepada suara tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak, sama ada parti-parti dari Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan atau tidak.

10. PSM juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya sedar akan hakikat bahawa permainan politik untuk merebut kuasa dalam pilihan raya telah memecah-belahkan masyarakat dan mewujudkan polarisasi masyarakat mengikut kaum atau agama. Ini merupakan sesuatu yang berbahaya untuk kita semua, di mana ia sedang menggugat segala usaha kita untuk membina sebuah masyarakat yang maju, sejahtera, penyayang dan aman damai. Semua orang mempunyai tanggungjawab untuk meredakan ketegangan etnik dalam masyarakat kita dan mendekati “pihak yang lain”. Rakyat Malaysia dan kumpulan-kumpulan masyarakat madani berperanan untuk merapatkan semula jurang antara etnik supaya menggalakkan semangat saling hormat-menghormati, pemahaman tentang isu-isu yang melibatkan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan pengwujudan solidariti merentasi etnik.

11. PSM bertekad untuk terus mengenal pasti dan membangkitkan isu-isu yang melibatkan rakyat marhaen. Kami berharap kerajaan baharu yang bakal dibentuk akan terbuka kepada idea-idea dan cadangan-cadangan yang kami kemukakan.

12. Negara kita sedang berada di persimpangan sejarah. Inilah saatnya kita perlukan kematangan dan kebijaksanaan politik daripada semua pihak untuk menghindar diri daripada permainan politik populis sempit yang memecah-belahkan rakyat dan menanam perasaan kebencian berasaskan etnik atau agama. Inilah masanya untuk kita memulakan semula usaha membina perpaduan rakyat demi mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih maju, adil, sejahtera, harmoni, demokratik, progresif dan inklusif.

==========

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *