oleh Muhammad Isa Nahoo Gani

PRU-15 telah berakhir, tetapi kerajaan baharu tidak dapat dibentuk kerana tiada satu parti yang mencapai majoriti mudah. Tatkala berlakunya rundingan antara gabungan untuk pembentukan kerajaan campuran, kedengaran satu pendapat yang agak klise, “dalam politik segalanya boleh berlaku”. Lawan menjadi kawan, ideologi dan suara rakyat hilang entah ke mana. Maka wujud satu persoalan, adakah manifesto dan janji-janji yang diungkapkan sepanjang pilihan raya itu sandiwara semata-mata? Media sosial digunakan untuk mempamerkan bermacam-macam idea, komen dan persepsi. Perang bendera, poster dan gegantung ketika pilihan raya dijadikan sandaran berkempen untuk mempengaruhi sokongan pengundi. Konsep parti besar dan penjenamaan semula logo, adakah semua ini sesuatu strategi yang hanya digunakan untuk memancing UNDI? Adakah rakyat sedar akan konsep politik ini? Senario ini mungkin membuatkan rakyat keliru. Mereka mungkin tersepit dan muak dalam situasi ini.

Politik populis sering menentang struktur politik yang menjadi pengantara antara rakyat dan kuasa. Akan wujud satu pandangan di mana “rakyat” hanya diwakili oleh kumpulan masyarakat tertentu sahaja, berdasarkan agama atau etnik, dan ini akan mewujudkan ketidakserasian dengan asas-asas demokrasi. Rakyat harus sedar bahawa fenomena populis menimbulkan ancaman kepada prinsip demokrasi, dan lebih khusus lagi kepada masyarakat marhaen.

Jika rakyat faham dan sedar tentang keadaan ini, mereka tidak akan termakan umpan politik populis yang dimainkan oleh sebilangan parti politik.

Namun, oleh kerana mereka telah melalui satu proses indoktrinasi, ia menyebabkan pemikiran rakyat bercelaru dan mendahulukan emosi. Golongan muda mempunyai tanggungjawab besar dalam menulis semula konsep pemilihan seorang wakil rakyat. Golongan muda harus diperkasakan dengan pemahaman bahawa elemen kestabilan politik sangat penting bagi menjamin perpaduan kaum, kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

Apabila parti-parti politik lain sedang sibuk dengan rundingan dan wacana mereka, kami dalam Parti Sosialis Malaysia (PSM) ini pula lebih memgutamakan perbincangan tentang isu rakyat dan bagaimana memperkasakan rakyat dalam memperjuangkan hak rakyat. Wujud satu kebimbangan bahawa SUARA MARHAEN tidak akan kedengaran dalam kebisingan kancah politik ini. Jurang kekayaan yang semakin melebar dan ancaman politik berasaskan perkauman akan mewujudkan ketidakjaminan kehidupan rakyat marhaen.

Rakyat harus sedar bahawa negara kita memerlukan kuasa politik baharu yang mampu menawarkan solusi kepada permasalahan yang membelenggu rakyat marhaen. Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempunyai sejarah selama 20 tahun dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial, demokrasi dan membebaskan rakyat daripada segala bentuk penindasan. PSM lahir daripada perjuangan dan dibina daripada pergelutan golongan orang biasa. Saya percaya rakyat akan sedar bahawa hanya politik kelas yang dapat membebaskan kita daripada rantai kapitalisme dan korupsi.

Suara marhaen suara keramat… Pilih Suara Marhaen!

Sertai kami dalam perjuangan ini!

==========

Muhammad Isa Nahoo Gani ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *