20200329-images (2)

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Dunia kita sedang dilanda krisis yang serius dalam tiga aspek. Aspek pertama dan punca pencetus krisis ini ialah pandemik COVID-19 yang sedang menular di seluruh dunia. Pandemik ini menimbulkan beban berlebihan yang hebat ke atas perkhidmatan perubatan, malah di negara-negara yang terkaya di dunia. Kadar kematian di Itali, pada takat ini merupakan salah sebuah negara yang terjejas paling teruk, sudah pun melebihi 10% daripada jumlah kes yang didiagnosis di negara tersebut – jauh lebih tinggi daripada 1% yang dilihat di negara-negara seperti Korea Selatan yang bertindak awal untuk membendung wabak itu. Malaysia menangani krisis kesihatan ini lebih baik berbanding banyak negara yang lain, dan diharapkan negara kita dapat menghentikan trajektori peningkatan bilangan kes baru dalam tempoh minggu akan datang, serta mengelakkan daripada memberi tekanan kepada perkhidmatan perubatan kita sehingga ke tahap melumpuhkannya.

Aspek kedua krisis ini adalah ramai rakyat Malaysia dalam kumpulan B40 dan M40, khususnya pekerja-pekerja bergaji harian dan pengusaha perniagaan kecil yang sudah menghabiskan simpanan mereka yang tidak seberapa selepas 10 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan menghadapi kesukaran untuk memberi makanan yang mencukupi kepada keluarga mereka.

Aspek ketiga kepada masalah ini adalah perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang mengupah 65% daripada tenaga kerja negara kita sedang menghadapi ancaman yang serius. Sekatan pergerakan bermakna bahawa kebanyakan SME ini tidak mempunyai pendapatan sejak 18 Mac 2020. Namun begitu, kos tetap mereka kekal – gaji, sewa, bayaran pinjaman, komitmen cukai pendapatan, bayaran hutang kepada pembekal, dan sebagainya. Ini merupakan satu ancaman yang benar kerana sesetengah SME akan menggulung tikar begitu sahaja walapun mereka berdaya maju dalam keadaan biasa. Ini bermakna bahawa peluang pekerjaan akan berkurang selepas Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan, kerana sebahagian besar SME tidak akan dapat mengembalikan aktiviti mereka. Kegawataan ekonomi pasca kawalan pergerakan akan menjadi lebih mendalam dan lebih berpanjangan.

Dengan senario yang suram begini, beberapa langkah perlu dilaksanakan segera untuk menangani setiap aspek krisis ini. Keupayaan sistem kesihatan negara kita untuk merespon kepada wabak COVID-19 perlu dipertingkatkan, langkah-langkah untuk memastikan 50% penduduk negara kita yang lebih miskin mempunyai akses kepada makanan dan keperluan asas yang lain perlu dilaksanakan, dan satu lagi set langkah-langkah untuk memastikan sebanyak mungkin SME kita untuk terus berdaya maju supaya mereka boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat apabila kita dapat memulakan semula ekonomi.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat

Dengan mempertimbangkan latar belakang ini, “Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat” yang diumumkan baru-baru ini adalah berada di landasan yang betul. Ia telah memperuntukkan wang tambahan RM 1.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani wabak COVID-19 dengan lebih baik. Jumlah ini bersamaan dengan 5% belanjawan kesihatan tahunan, dan akan membantu KKM dalam perlawanannya menentang koronavirus. PSM berharap bahawa sebahagian daripada dana ini akan digunakan untuk memperluaskan kapasiti ujian virus dengan lebih cepat lagi, kerana terdapat terlalu banyak kes yang bersimptom yang sekarang ini dihantar balik ke rumah disebabkan mereka tidak memenuhi “kriteria untuk ujian” kerana mereka tidak mempunyai sebarang rekod pendedahan kepada kelompok kes COVID-19 yang sedia diketahui atau sejarah perjalanan ke negara-negara yang tertentu. Kegagalan untuk mendiagnosis kes secara awal adalah tinggi kosnya kerana ia akan membawa kepada kes sekunder yang timbul daripada individu-individu yang disuruh untuk pulang ke rumah dan menjalankan pengasingan diri, bukannya didiagnosis secara cepat dan diletakkan di bawah kuarantin yang lebih ketat.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat juga mengemukakan program pemindahan wang tunai yang agak besar. 4 juta isi rumah akan menerima pemindahan wang tunai sebanyak RM1,600 untuk 2 bulan akan datang ini sementara 1.1 juta keluarga akan menerima RM1,000 dalam tempoh masa yang sama. Ini meliputi 5.1 juta isi rumah – lebih kurang 70% daripada jumlah isi rumah di Malaysia, dan memberi bantuan yang amat diperlukan pada ketika untuk untuk meringankan masalah aliran tunai mereka.

Walaupun untuk mereka yang kehilangan pendapatan sepenuhnya kerana Perintah Kawalan Pergerakan, ia hanya lebih kurang 60% daripada gaji minimum, tetapi kami percaya bahawa ia dapat memastikan isi rumah ini mempunyai makanan yang mencukupi. PSM amat menghargai pendekatan ini keraja ia akan memastikan isi rumah termiskin 70% (B70) akan dapat memperoleh keperluan asas untuk dua bulan yang akan datang.

Adalah diharapkan selepas itu, kebanyakan mereka akan kembali bekerja dan mampu mencari nafkah untuk diri mereka. Pangkalan data BR1M dan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini akan menjadi sangat berguna dalam pelaksanaan inisiatif pemindahan wang tunai ini, namun pihak berkuasa perlu menyedari hakikat bahawa sesetengah kumpulan miskin seperti ibu tunggal di bawah umur 40 tahun dikecualikan daripada program BSH. Bayaran pertama untuk bantuan ini harus dibuat tanpa melengah-lengahkan masa – dalam minggu pertama bulan April juga, kerana banyak isi rumah sudah menghadapi masalah kekurangan makanan sekarang!

Langkah-langkah untuk bantu SME

Pakej Rangsangan Prihatin ini mempunyai langkah-langkah tambahan untuk membantu SME supaya hidup selepas sekatan pergerakan. Langkah-langkah ini adalah tepati masa kerana kita perlu memastikan perniagaan ini untuk terus hidup dengan memainkan peranan penting dalam ekonomi kita, di samping menyediakan pekerjaan untuk 65% tenaga kerja di negara kita. Langkah-langkah ini termasuk:

  • Moratorium ke atas pinjaman bank untuk 6 bulan akan datang. Ini akan memberi manfaat besar kepada perniagaan yang mengalami masalah aliran tunai dan membolehkan mereka mempunyai sedikit ruang bernafas untuk mengharungi krisis.
  • Program subsidi upah di mana kerajaan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan sekiranya SME berkenaan bersetuju untuk memberhentikan kerja pekerja. Ini akan memberi manfaat yang besar kepada pekerja-pekerja yang bergaji rendah, kerana RM600 ialah 50% gaji minimum, tetapi tidak begitu membantu untuk pekerja yang bergaji lebih tinggi.
  • Pengecualian sewa selama 6 bulan untuk premis perniagaan di kerajaan dan premis GLC.
  • Diskaun bil elektrik, khususnya untuk perusahaan yang lebih kecil.
  • 5 bilion diperuntukkan untuk skim meningkatkan akses kepada kewangan bagi SME. Kita tidak patut terlalu bersikap cerewet dalam masa kecemasan ekonomi, namun terdapat risiko moral yang signifikan di sini. Sesetengah individu yang berkelebihan mungkin dapat memperoleh pinjaman dengan 80% jaminan daripada kerajaan tetapi tidak melaburkan masa dan usaha yang cukup dalam perniagaan di mana mereka mendapat pinjaman itu. Satu sistem pemantauan perlu diwujudkan untuk mengurangkan berlakunya helah sebegini. Kegagalan perniagaan walaupun sudah mencuba, tidak patut didenda – ia sering berlaku, tetapi usaha untuk memperdayakan sistem ini dengan tidak berusaha untuk membolehkan perniagaannya berfungsi dengan baik harus diambil tindakan dan individu yang terlibat harus disenaraihitamkan.
  • Kemungkinan untuk menangguhkan pencaruman KWSP (masih perlu berbincang dengan KWSP).
  • Pengecualian daripada bayaran Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) (Ini untuk SME yang lebih besar).
  • Penangguhan dalam pembayaran cukai.

Perluasan permintaan domestik di setiap sudut di negara kita berikutan pemindahan wang tunai kepada isi rumah B70, orang dewasa bujang, pelajar universiti, kakitangan kerajaan dan pesara, pemandu Grab, pemandu teksi dan lain-lain lagi, dalam jumlah lebih kurang RM15 bilion juga membantu dalam menghidupkan kembali SME yang kecil dalam sektor perkhidmatan. Adalah diharapkan pelaksanaan langkah-langkah untuk mengurangkan masalah aliran tunai mereka dan pemacuan pasaran domestik akan mencukupi untuk menyelamatkan kebanyakan SME daripada kemelut kewangan.

Pasar malam dan perniagaan mikro

Walaupun Pakej Rangsangan Prihatin tidak menyebut tentangnya secara khusus, tetapi isu membenarkan perniagaan mikro di pasar malam dan pasar rakyat yang lain untuk memulakan semula operasi dalam tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan harus ditangani. Bagaimana ini dapat dilakukan tanpa mengkompromi terlalu banyak dalam pendekatan penjarakan sosial yang masih perlu diamalkan walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan? Banyak SME yang kecil tidak akan dapat kembali kepada keadaan seperti biasa jika kita tidak membenarkan mereka ruang untuk beroperasi. Namun, pada masa yang sama, kita tidak boleh membenarkan satu lagi peningkatan kes jangkitan virus yang mendadak sehingga perlu melaksanakan satu lagi Perintah Kawalan Pergerakan!

Mungkin langkah-langkah yang diambil sekarang ini di pasar awam untuk mengehadkan bilangan orang memasuki kawasan berkenaan juga boleh dilaksanakan di pasar malam dan pasar Ramadan? Pembekalan pengesan suhu badan infra-merah kepada petugas Pihak Berkuasa Tempatan akan membantu untuk mengenalpasti mereka yang demam. Individu-individu yang demam harus pulang ke rumah, melakukan pengasingan diri dan melaporkan diri di pusat-pusat yang dikhaskan untuk saringan yang bersesuaian. Jelasnya ini harus dipertimbangkan secara teliti dan garis panduan disediakan dengan mengambilkira secara serius input daripada profesional kesihatan daripada KKM. Isu ini tidak patut diputuskan berasaskan sentimen populis, kerana risikonya kepada masyarakat kita adalah hebat jika kita silap dalam ini.

Defisit Belanjawan yang lebih besar?

Jadi, secara keseluruhannya, langkah-langkah yang disenaraikan dalam Pakej Rangsangan Prihatin merupakan perkara yang betul pada peringkat ini dengan situasi yang sangat luar biasa. Perbelanjaan yang sebenar untuk kerajaan adalah dalam lingkunan RM25 bilion. Perdana Menteri berkata dalam ucapannya bahawa ini akan diambil daripada perbelanjaan operasi dan kerajaan tidak akan meminjam untuk menanggung perbelanjaan ini. Kita akan lihat bagaimana kerajaan merancang untuk melakukan ini. Namun, dalam Belanjawan 2020 yang diluluskan semasa Kerajaan Pakatan Harapan pada bulan Disember 2019, hanya terdapat anggaran kelebihan pendapatan Persekutuan berbanting perbelanjaan operasi lebih kurang RM5 bilion. Dengan penurunan harga minyak yang menjunam dan pengurangan dalam pendapatan korporat dan cukai, pendapatan Kerajaan Persekutuan akan mengalami kesan. Oleh itu, adalah sukar untuk melihat di mana datangnya RM25 bilion tambahan itu – adakah sebahagian daripada peruntukan kepada Kementerian lain akan dikurangkan?

Jika penyusunan semula peruntukan dana dalam kalangan Kementerian tidak menghasilkan dana yang mencukupi, mungkinkah strategi untuk menjual sekuriti kerajaan kepada bank pusat itu dipertimbangkan? Bukankah ini yang dilakukan oleh Roosevelt di AS pada tahun 1930-an? Bank-bank pusat telah membeli bon dan sekuriti daripada sektor swasta untuk “menyuntik likuiditi” ke dalam sistem kewangan sejak Krisis Kewangan 2008. Mereka memanggilnya sebagai “Peringanan Kuantitatif” (Quantitative Easing – QE). Kenapa tidak memberi sedikit QE untuk Kerajaan Persekutuan, dengan bank pusat kita Bank Negara membeli sebahagian daripada sekuriti kerajaan yang baru? Dengan itu, kerajaan akan mempunyai dana untuk melaksanakan langkah-langkah yang disebut di atas.

Ketika ini adalah masa yang luar biasa, dan jika matlamatnya adalah memastikan ekonomi berfungsi supaya rakyat dapat memperoleh keperluan yang diperlukan mereka, maka adalah tidak penting jika agensi pengadaran kredit seperti Moody’s tidak suka dengan strategi mendapatkan wang ini! Kesejahteraan rakyat harus diutamakan berbanding dengan preskripsi untuk Belanjawan Berjimat Cermat yang dikemukakan oleh agensi pengadaran kredit, kerana kepentingan yang paling utama agensi pengadaran kredit adalah melindungi kedudukan pelabur yang terkaya dalam sistem.

Beberapa isu yang tidak ditangani lagi

Walaupun Pakej Rangsangan Prihatin agak komprehensif, tetapi ia tidak menangani beberapa isu yang penting. Terdapat sektor-sektor yang tidak boleh dihidupkan semula tanpa penyusunan semula hutang dan peruntukan untuk kredit yang lebih mudah, misalnya industri penerbangan atau hotel, restoran dan pusat beli-belah yang dilanggani pelancong antarabangsa. Perjalanan udara antarabangsa akan disekat untuk 18 bulan akan datang, sehingga pandemik dikawal sepenuhnya. Oleh itu, pekerja-pekerja dalam industri ini perlu diserap ke dalam sektor yang lain dalam ekonomi kita. Kita hanya memerlukan bilangan pekerja yang kecil untuk menjaga dan menyelenggarakan aset sektor yang berurusan dengan pelancongan antarabangsa, sehingga pada satu masa akan datang apabila sektor ini boleh dibuka lagi untuk perniagaan. Pelabur-pelabur dalam sektor ini mungkin memerlukan bantuan dalam membayar faedah pemberhentian kerja untuk kakitangan mereka yang terpaksa dilepaskan. Adakah pinjaman jangka masa panjang dengan pembayaran balik bermula dalam masa lebih kurang 2 tahun diperlukan untuk mereka?

Pengangguran akan merupakan satu masalah utama di Malaysia dan banyak negara yang lain. Kebanyakan kilang pembuatan di negara kita mengeluar untuk rantai global. Banyak daripada rantai ini akan mengurangkan permintaan kerana pasaran mereka terjejas oleh sekatan di negara mereka. Jadi, kita akan menyaksikan pemberhentian pekerja-pekerja ini. Kita perlu menjana peluang pekerjaan untuk ratusan ribu rakyat Malaysia. Dan kita tidak dapat bergantung kepada pasaran eksport atau sektor swasta untuk melangkah masuk dan menjana pekerjaan. Sistem global tidak mewujudkan strategi sebegini. Kerajaan perlu mencampurtangan dalam penjanaan pekerjaan melalui projek sektor awam, tetapi ini memerlukan anjakan paradigma yang hebat.

Kita perlu memperluaskan pengeluaran makanan untuk penggunaan domestik. Kita perlu pengurusan sisa buangan perbandaran yang lebih baik – kitaran semula, pengeluaran bio-metana dan pembinaan tapak pelupusan sampah di seluruh negara. Kita perlukan puluhan ribu rumah teres kos rendah untuk disewa kepada penduduk B20. Kita perlu membersihkan, memperbaiki dan menceriakan rumah pangsa kos rendah kita. Kita perlu mewujudkan kilang untuk mengeluarkan bas-bas berkuasakan elektrik bagi pusat-pusat bandar kita. Kita perlu membina ladang tenaga solar di setiap daerah di negara kita. Kita perlu menghutan semula hutan-hutan yang dibalak, dan memulihara sungai-sungai kita. Ya, terdapat banyak perkara yang berguna untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada warganegara kita yang mengganggur, dan kerajaan perlu memberi latihan kepada pekerja-pekerja supaya mereka dapat mengambil kerja-kerja dalam membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui, penghutanan semula, pembaharuan bandar dan sebagainya.

Namun, kita tidak boleh bergantung kepada motif keuntungan untuk menggalakkan syarikat-syarikat swasta supaya memulakan ini semua. Ini merupakan pasaran menunjukkan kegagalannya! Seperti kita tidak boleh mengharapkan hospital swasta untuk melakukan tugas dengan baik dalam menangani COVID-19, kita juga tidak boleh mengharapkan sektor swasta menawarkan diri dan menangani kesan daripada pandemik ini.

PSM berpandangan bahawa Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk mengisi kekosongan ini. Kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menubuhkan agensi peringkat tempatan atau wilayah, untuk melaksanakan pelbagai kerja awam. Pendirian PSM adalah kita harus mengelakkan daripada birokrasi untuk kerja-kerja ini. Agensi yang lebih kecil dengan penyertaan penduduk tempatan dan ketelusan dalam operasi adalah cara untuk maju ke hadapan. Penglibatan penduduk tempatan dan Kerajaan Negeri dan Daerah perlu dijadikan kebiasaan. Birokrasi besar yang rumit membiak korupsi dan ketidakberkesanan!

Dana untuk rangsangan fiskal

Terdapat isu-isu besar yang tidak cuba ditangani dalam Pakej Rangsangan Prihatin. Jelasnya pembiayaan adalah satu isu yang besar – di mana datangnya semua wang untuk projek-projek awam ini? Kami telah menyebut tentang QE untuk Sektor Awam. Ini perlu dibincangkan dan kelemahannya juga perlu dibincang serta dirancang. Salah satunya adalah masalah imbangan pembayaran dan tekanan ke atas Ringgit Malaysia. Adalah penting untuk mengeluarkan barangan pengguna di dalam Malaysia supaya semua gaji tambahan yang dibayar untuk semua projek awam ini tidak menyebabkan inflasi secara mendadak. Ini merupakan isu yang penting, tetapi mereka bukannya tidak dapat diatasi. Terdapat cara-cara untuk menanganinya. PSM berharap kerajaan akan membuka pintu untuk perbincangan mengenai beberapa isu ini dalam masa terdekat ini, kerana pengangguran akan menjadi isu utama yang perlu kita tangani.

Kita berada dalam keadaan yang tidak pernah dialami pada masa ini. Terdapat risiko besar untuk kemelesetan yang mendalam dan berpanjangan. Mengurangkan kadar faedah dan QE tidak lagi berkesan kerana keruntuhan dalam permintaan kasar. Kita perlukan strategi yang lain. Usaha Kerajaan Persekutuan dalam menangani wabak COVID-19 di negara ini dan inisiatif yang diambil dalam belanjawan tambahan ini untuk menangani kesan merumitkan daripada pandemik ini adalah dipertimbangkan secara menyakinkan. Kita perlu bekerjasama untuk mencorak halatuju dalam tempoh yang bergelora ini. Ini bukannya masa untuk rakyat Malaysia berpecah-belah. Kerajaan Persekutuan harus bersedia untuk mendengar idea-idea daripada masyarakat awam dan bekerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil yang ingin memberi input tentang bagaimana menguruskan krisis sekarang ini.

=========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

3 thoughts on “Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat: Berada di landasan betul tapi perlu lagi anjakan paradigma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *