Kapitalisme ialah sistem sosio-ekonomi yang melibatkan pengeluaran komoditi (barangan yang dihasilkan untuk dijual) secara besar-besaran untuk memaksimumkan keuntungan pemodal (kapitalis). Sistem ekonomi kapitalis memang mendatangkan pembangunan kebendaan yang hebat kepada masyarakat manusia, dengan kekayaan masyarakat yang dicipta hari ini sudah jauh lebih banyak berbanding masyarakat pra-kapitalis, namun ia juga mengundang pelbagai masalah serius kepada masyarakat kita, termasuk jurang pengagihan kekayaan yang semakin melebar dan krisis alam sekitar yang semakin teruk.
Apakah kaitan kapitalisme dengan krisis alam sekitar yang kita hadapi hari ini seperti pemanasan bumi?
Kita boleh menganalisis kaitan kapitalisme dengan ancaman terhadap alam sekitar dari segi percanggahan yang wujud dalam sistem kapitalis.
“Nilai tukar” vs “nilai guna”
Setiap barangan yang dihasilkan oleh buruh manusia untuk kegunaan manusia adanya nilai guna. Sesuatu barangan mempunyai nilai guna kerana ia dapat memenuhi sesuatu keperluan manusia, misalnya makanan untuk dimakan, kereta untuk mengangkut seorang dari satu tempat ke tempat yang lain, dan sebagainya. Namun, adakalanya sesuatu barangan bukannya dihasilkan untuk kegunaan terus oleh pengeluar itu sendiri, tetapi dihasilkan untuk ditukar atau dijual dalam pasaran. Barangan yang boleh dijual adanya nilai tukar.
Barangan dihasilkan untuk dijual, dan bukan hanya untuk kegunaan terus, dipanggil komoditi. Setiap komoditi perlu mempunyai nilai guna dan nilai tukar pada masa yang sama. Komoditi perlu ada nilai guna, kalau tidak, tiada orang mahu membelinya. Jika sesuatu komoditi itu tiada nilai guna untuk sesiapa, maka komoditi itu tidak akan dapat dijual, dan pengeluaran itu menjadi tidak bermakna. Komoditi tiada nilai tukar sekiranya tiada nilai guna. Namun, dalam sistem ekonomi kapitalis, hubungan nilai guna dan nilai tukar ini telah dipesongkan, di mana nilai tukar (untuk menjana keuntungan) semakin mengatasi nilai guna.
Sebelum munculnya sistem ekonomi kapitalis, perdagangan yang melibatkan pertukaran barangan berasaskan “jual untuk beli”, iaitu seorang pengeluar yang mengeluarkan sesuatu barangan akan menjual barangannya untuk mendapatkan wang yang membolehkannya untuk membeli barangan keperluannya. Hubungan pertukaran barangan ini boleh diungkapkan dengan “C-M-C”, di mana C ialah komoditi (barangan) dan M ialah matawang yang digunakan untuk membeli barangan.
Misalnya, jika anda seorang pembuat kasut, tetapi anda perlukan makanan seperti bihun. Jadi, anda menjual kasut di pasaran untuk mendapatkan wang, dan kemudiannya anda menggunakan wang daripada hasil jualan kasut buatan anda untuk membeli bihun yang anda perlukan. Wang di sini hanya berfungsi sebagai perantara yang memudahkan pertukaran barangan.
Namun, di bawah kapitalisme, iaitu sistem kapitalis yang melibatkan pengeluaran komoditi secara besar-besaran, hubungan pertukaran barangan untuk tujuan memenuhi keperluan manusia (iaitu sesuatu barangan dihasilkan untuk dijual kerana pengeluarnya memerlukan barangan lain) telah diubah kepada segala pertukaran di pasaran hanya bertujuan untuk wang, ataupun wang yang lebih banyak. Hubungan pertukaran komoditi berubah daripada “jual untuk beli” kepada “beli untuk jual”, yang ditunjukkan dalam formula “M-C-M’”, di mana M’ ialah matawang dengan nilai yang lebih besar berbanding M (M’ > M). Dalam hubungan pertukaran komoditi sebegini, komoditi atau barangan yang dihasilkan untuk dijual hanya menjadi sekadar perantara untuk mendapatkan lebih banyak wang. Komoditi dalam sistem kapitalis dihasilkan untuk menambahkan modal untuk pemodal (kapitalis), tanpa mempedulikan sama ada komoditi itu berguna untuk manusia atau tidak, selagi dapat menjana keuntungan. Pelik tapi benar…
Kapitalis bersaing sesama diri dalam pasaran untuk memaksimunkan keuntungan, iaitu menjana lebih banyak wang (keuntungan) daripada sejumlah wang (modal) yang ada padanya. Sama ada barangan yang dikeluarkan itu berguna, masuk akal, memenuhi keperluan manusia, atau sekadar menambahkan sampah di dunia, bukannya pertimbangan utama untuk sesuatu korporat dalam menentukan strategi bisnesnya. Selagi ada keuntungan, barangan yang langsung tiada kegunaan pun boleh dikeluarkan.
Sistem ekonomi kapitalis yang “produktif” melibatkan pengeluaran komoditi secara besar-besaran, dengan tujuan menjana keuntungan sebanyak mungkin untuk pemodal. Dalam sektor pertanian, logik penjanaan keuntungan melalui pengeluaran besar-besaran mewujudkan pertanian monokultur, iaitu penanaman sejenis tanaman sahaja di atas bidang tanah yang luas, seperti industri perladangan kelapa sawit. Pertanian atau perladangan monokultur menjejaskan eko-sistem untuk pertanian yang mampan, kerana ia merosakkan tanah dan mewujudkan keperluan untuk penggunaan racun perosak buatan manusia, yang sebenarnya sedang meracuni Bumi dan manusia pada masa yang sama.
Jika sebuah syarikat korporat sanggup membelanjakan sumber-sumber yang diperlukan untuk mengurangkan pencemaran, pelepasan karbon dan sisa-sisa bahan buangan daripada proses pengeluarannya, syarikat tersebut terpaksa bersaing dengan syarikat lain yang tidak berbuat demikian yang dapat menjual barangan dengan lebih murah dalam jumlah yang lebih besar (kerana kos pengeluarannya kurang berbanding syarikat yang membelanja untuk mengurangkan pencemaran). Ini menjadikan syarikat yang ingin bertanggungjawab dalam melindungi alam sekitar itu menghadapi masalah disingkirkan daripada persaingan pasaran. Kapitalisme mendorong syarikat korporat memfokus pada keuntungan yang berjangka pendek dengan hanya mengambilkira berapa keuntungan wang yang dapat dijana akhirnya, bukannya mengambilkira sama ada apa yang dihasilkan itu masuk akal atau tidak.
Percanggahan antara nilai tukar dengan nilai guna dalam mod pengeluaran kapitalis, menjadi asas kepada kewujudan aktiviti ekonomi manusia yang mengancam alam sekitar untuk lebih 200 tahun yang lalu.
Alam semulajadi menjadi sekadar input untuk menjana lebih keuntungan
Kapitalisme menganggap sumber-sumber asli, hanya sekadar input kepada proses pengeluaran, seperti anggapannya terhadap tenaga buruh. Demi memaksimumkan keuntungan, kapitalis perlu mendapatkan input-input ini dengan harga yang termurah dan pada kadar paling cepat. Selain mengeksploitasi tenaga buruh, kapitalis juga mengeksploitasi alam semulajadi untuk mendapatkan input pada kos yang paling rendah.
Dalam Perjanjian Rakyat Cochabamba yang diputuskan semasa Persidangan Rakyat Sedunia mengenai Perubahan Iklim dan Hak Ibu Bumi pada 19-22 April 2010 di Bolivia, dinyatakan bahawa, “Di bawah kapitalisme, Ibu Bumi telah ditukar kepada sumber bahan mentah, dan manusia menjadi pengguna dan alat pengeluaran, menjadi orang yang dilihat hanya bernilai kerana apa yang dimiliki mereka, dan bukannya kerana mereka manusia.”
Dengan kekayaan alam semulajadi dan buruh manusia dianggap hanya sekadar input, kapitalisme juga menganggap output proses pengeluaran hanya sekadar apa-apa yang boleh dijual untuk keuntungan. Oleh kerana ini, sisa-sisa buangan tidak dipedulikan. Kapitalis tidak mempeduli tentang berapa banyaknya sisa-sisa buangan yang dihasilkannya ataupun ke mana sisa-sisa buangan ini akan pergi, kerana hanya keuntungan daripada barangan yang dijual itu paling utama untuknya.
Adanya sisa-sisa buangan bersifat toksik sehingga membahayakan kesihatan kita semua dan juga ekologi Bumi. Ada juga sisa-sisa buangan itu sebenarnya benda-benda yang berguna tetapi dibuang kerana tidak lagi menjana keuntungan untuk kapitalis. Misalnya, banyak makanan berlebihan dibuang dari pasaraya dan restoran sedangkan ramai lagi di dunia ini kekurangan makanan.
Sampah-sarap atau sisa buangan diwujudkan bukan sahaja kerana sistem ekonomi kapitalis tidak mempeduli tentangnya, malah dalam banyak keadaan kapitalisme yang menggalakkan penghasilan sampah dan sisa buangan. Kapitalis boleh menjana lebih keuntungan dengan mengeluarkan alatan yang mudah rosak atau cepat ketinggalan zaman secara teknologi, berbanding mengeluarkan barangan yang tahan lama. Misalnya, jika anda membeli sebuah telefon pintar dengan harga ratusan hingga ribuan ringgit, tetapi terpaksa membeli satu lagi yang baru dalam tempoh masa tidak sampai dua tahun, kerana walaupun telefon itu masih berfungsi tetapi ia tidak sepadan dengan perisian yang terbaru.
Kapitalisme juga mewujudkan “keperluan” yang sebenarnya tidak perlu melalui pengiklanan yang mempengaruhi minda orang ramai untuk membeli barangan yang tidak diperlukan langsung.
Pertumbuhan ekonomi yang tiada had
Kita sudah biasa dengan hujah bahawa pertumbuhan ekonomi itu penting untuk masyarakat. Pertumbuhan ekonomi yang dimaksudkan di sini ialah peningkatan dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP). Pertumbuhan ekonomi dalam sistem kapitalis bermakna perluasan modal ke dalam semua aspek kehidupan manusia. Persaingan untuk keuntungan korporat mendorong kapitalis sentiasa perlu mencari jalan untuk mengembangkan bisnesnya.
Lebih banyak keuntungan diperoleh daripada pengeluaran komoditi secara besar-besaran, bermakna kapitalis itu dapat melabur lebih banyak modal dalam teknologi yang lebih canggih untuk menghasilkan lebih banyak lagi komoditi yang dapat menjana lebih banyak keuntungan. Proses sebegini mewujudkan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan dalam sistem ekonomi kapitalis. Kapitalisme akan berada dalam krisis jika pertumbuhan ini terganggu.
Seluruh proses M-C-M’, dengan nilai surplus daripada M’ dilaburkan semula sebagai M, merupakan satu proses yang tidak berkesudahan, kerana matlamat terakhir proses ini bukannya barangan untuk kegunaan, tetapi keuntungan yang akan dilaburkan semula dalam pengeluaran untuk lebih keuntungan. Proses pengumpulan modal yang tidak berkesudahan ialah penggerak kepada sistem ekonomi kapitalis. Sifat asas modal itu ialah nilai yang mengembang secara sendiri.
Perluasan modal tanpa mempedulikan akibatnya, menjadikan kapitalisme itu bertentangan dengan kemampanan alam sekitar. Keperluan untuk lebih banyak input dalam proses pengeluaran kapitalis dengan membolot sebanyak mungkin sumber alam semulajadi Bumi, dan keperluan untuk menjual sebanyak mungkin barangan (sama ada berguna atau tidak) kepada pasaran pengguna yang perlu semakin dibesarkan, kedua-duanya mendatangkan impak yang mendalam kepada keseinambungan ekologi dan alam sekitar.
Keperluan untuk sumber alam dan tenaga supaya memastikan perluasan kapitalisme, menjadikan kapitalisme itu ancaman kepada Bumi kita.
Karl Marx dan Friedrich Engels menyimpulkan dengan agak tepatnya dalam “Manifesto Komunis” pada tahun 1848 tentang sifat kapitalisme yang mengancam Bumi kita ini, “Masyarakat borjuasi moden, dengan hubungan-hubungan pengeluarannya, hubungan-hubungan pertukaran dan hubungan-hubungan pemilikan harta, ialah sebuah masyarakat yang telah menjelmakan alat-alat pengeluaran dan alat-alat pertukaran menjadi begitu raksasa, seperti tukang sihir yang tidak lagi dapat mengawal kuasa-kuasa dari dunia neraka yang telah dipanggil olehnya dengan manteranya.”
Strategi anti-kapitalis untuk menyelamatkan Bumi
Kapitalisme merupakan ancaman terhadap kemampanan Bumi kita pada hari ini. Jika logik asas untuk sistem kapitalis itu secara asasnya tidak mampan, maka kesimpulan logiknya adalah kita perlu mengubah sistem ini sepenuhnya.
Banyak kerajaan di dunia hari ini cuba menggunakan pendekatan pasaran ataupun mesra korporat dalam menangani masalah alam sekitar. Namun, pendekatan sebegini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Penyelesaian berasaskan pasaran dan insentif seperti perdagangan karbon tidak akan berkesan, kerana seluruh logik pasaran itulah yang menjadi punca kepada krisis alam sekitar.
Kita tidak boleh memberi insentif kepada syarikat korporat dengan harapan bahawa mereka akan melakukan perubahan yang bermakna. Kita perlu mengawalselia syarikat korporat untuk memastikan mereka mematuhi segala peraturan untuk melindungi alam sekitar. Pengawalseliaan terhadap syarikat korporat semestinya akan bertentangan dengan kepentingan korporat. Untuk mendesak golongan kapitalis supaya berkompromi, kita perlukan gerakan massa yang demokratik dari bawah. Hanya gerakan masyarakat yang cukup kuat, dapat mempengaruhi imbangan kuasa dan memaksa kelas kapitalis mengaku kalah.
Kita juga sering disajikan dengan penyelesaian isu alam sekitar melalui pendekatan individualistik, seperti menjimat tenaga di rumah, mengelakkan diri daripada menggunakan plastik, menjadi seorang vegetarian dan sebagainya. Walaupun amalan sebegini penting juga dalam melindungi alam sekitar, tetapi seringkali pencemaran alam pada skala yang lebih besar oleh syarikat korporat dilupakan apabila penyelesaian individualistik ini dipromosikan. Kita perlu memperjuangan penyelesaian yang lebih menyeluruh selain mengubah amalan hidup perseorangan.
Krisis alam sekitar yang kita hadapi hari ini, seperti perubahan iklim, ialah masalah kolektif. Masalah kolektif yang dihadapi masyarakat kita perlu diselesaikan melalui tindakan kolektif. Masyarakat kita hari ini memang wujudnya asas kebendaan yang mencukupi untuk membangunkan teknologi dan inovasi baru dalam mengurangkan pelepasan gas pencemar alam pada skala besar-besaran. Namun, ini hanya dapat dilakukan melalui perubahan dasar kerajaan atas desakan masyarakat yang berterusan.
Eko-sosialisme sebagai alternatif
Kita perlu membangunkan alternatif kepada sistem kapitalis yang wujud pada hari ini. Eko-sosialisme ataupun ekologi sosialis, merupakan aliran pemikiran baru yang menggabungkan aspek-aspek terbaik dalam gerakan sosialis dengan politik hijau (yang mesra alam) sementara mengatasi kelemahan dalam kedua-duanya. Eko-sosialisme menggabungkan analisis Marxis tentang masyarakat manusia dengan analisis ekologi tentang hubungan kita dengan alam semulajadi.
Eko-sosialisme bertujuan untuk membina sebuah masyarakat yang mempunyai dua ciri yang asas yang tidak boleh dipisahkan:
- Masyarakat itu bersifat sosialis, berkomited untuk memajukan demokrasi, mewujudkan kesamarataan ekonomi dan keadilan sosial. Masyarakat sebegini berasaskan pemilikan kolektif terhadap alat-alat pengeluaran, dan menghapuskan segala bentuk eksploitasi.
- Masyarakat itu perlu berasaskan prinsip ekologi yang terbaik, memberi keutamaan kepada menghentikan amalan yang menjejaskan alam sekitar, memulihkan ekosistem yang rosak, dan mendirikan semula proses pengeluaran masyarakat berasaskan prinsip-prinsip yang sepadan dengan kemampanan ekologi.
John Bellamy Foster, seorang profesor sosiologi dari Universiti Oregon Amerika Syarikat, pernah menerangkan dengan ringkas dan tepatnya sifat eko-sosialisme, “Tiada revolusi ekologi yang sebenar jika ia bukan sosialis; tiada revolusi sosialis yang sebenar jika bukan bersifat ekologi.”
Eko-sosialis mengemukakan alternatif yang radikal sebagai penyelesaian krisis alam sekitar. Antara cadangan yang dikemukakan termasuk:
- Bertindak segera dalam menggantikan bahan api fosil dan bio-fosil dengan sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui yang bersih.
- Secara aktifnya menyokong petani-petani mengubah pengeluaran kepada pertanian bersifat ekologi, mempertahankan pengeluaran dan pengagihan makan setempat.
- Mewujudkan rangkaian pengangkutan awam yang percuma dan efisien.
- Menstruktur semula sistem pengektrakan, pengeluaran dan pengagihan yang sedia ada untuk menghapuskan pengeluaran sisa-sia buangan, pencemaran dan pengiklanan yang bersifat manipulatif. Memberikan latihan semula yang sepenuhnya kepada pekerja-pekerja dan komuniti yang terkesan kerana penstrukturan semula ini.
- Memperbaiki rumah dan bangunan yang sedia ada untuk meningkatkan kecekapan tenaga.
- Hentikan semua operasi ketenteraan, mentransformasikan angkatan bersenjata kepada pasukan sukarelawan yang bertanggungjawab dalam memulihkan ekosistem dan membantu mangsa-mangsa bencana alam.
Kapitalisme memaksa masyarakat manusia terjerumus dalam proses kitaran pengumpulan modal yang tidak berkesudahan dengan kehancuran ekologi Bumi. Kita perlukan pembangunan terancang yang digerakkan oleh penyertaan demokratik daripada rakyat terbanyak, untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat berasaskan pengeluaran masyarakat yang mampan dan mesra ekologi. Ini hanya dapat dilakukan melalui gerakan rakyat yang mencabar sistem kapitalis secara berterusan dan memperjuangkan alternatif eko-sosialis.
3 thoughts on “Kapitalisme ancaman hebat kepada Bumi”