Keberkalaan yang wujud dalam alam semula jadi, bukan sahaja terhad pada kitaran siang-malam atau kitaran musim, tetapi juga keadaan iklim planet Bumi. Dalam jutaan tahun yang lalu, planet Bumi telah melalui perubahan berkala dalam keadaan iklimnya. Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal akademik Science, ahli-ahli sains telah melaporkan bagaimana iklim Bumi telah berubah dalam tempoh 66 juta tahun yang lalu. Kajian tersebut menyimpulkan bahawa perubahan iklim yang berpunca daripada aktiviti manusia pada masa sekarang adalah jauh lebih serius berbanding perubahan iklim semula jadi yang disebabkan oleh perubahan orbit Bumi yang pernah berlaku untuk 66 juta tahun sebelum ini.

Laporan kajian yang bertajuk “An astronomically dated record of Earth’s climate and its predictability over the last 66 million years” ini merangkumi keterangan terperinci mengenai iklim Bumi untuk seluruh era Senozoik, iaitu tempoh masa sepanjang 66 juta tahun dari waktu kepupusan dinosaur sehingga ke zaman sekarang yang wujudnya perubahan iklim buatan manusia. Para penyelidik telah membahagikan seluruh tempoh masa ini kepada 4 kategori (warmhouse, hothouse, coolhouse dan icehouse), di mana setiap kategori ini mempunyai keadaan iklim yang berbeza bergantung pada perubahan dalam orbit planet Bumi, tahap gas rumah hijau dan keluasan lapisan ais kutub.  

Apa yang membimbangkan adalah kajian ini menunjukkan bahawa pelepasan gas rumah hijau yang disebabkan oleh aktiviti manusia pada zaman kini sedang menyebabkan suhu global meningkat ke tahap yang tidak pernah berlaku dalam puluhan juta tahun sebelum ini.  

Asas kepada kajian ini ialah foraminifera lautan dalam, iaitu ameba lautan dalam yang bersaiz sangat kecil. Lebih kurang 66 juta tahun dahulu, Bumi telah diserang oleh asteroid dan membebaskan tenaga yang amat hebat dalam pelanggaran. Kesan daripada pelanggaran asteroid dengan Bumi itu, abu, debu dan batu yang mengewap telah menutupi langit sehingga sinaran matahari tidak dapat menembusinya, sehingga menyebabkan kepupusan tumbuhan dan haiwan secara besar-besaran, termasuk dinosaur. Namun begitu, foraminifera masih kekal aktif dalam lautan dalam dan terus membiak. Foraminisfera mempunyai cangkerang yang dibentuk daripada kalsium dan zat mineral lain dalam lautan dalam. Apabila ameba lautan dalam ini mati, mereka membentuk sedimen lautan dalam dan menyimpan sejarah kuno planet Bumi dalam cangkerang yang sudah menjadi fosil. Ahli-ahli saintis telah menggunakan fosil-fosil ini berdekad lamanya untuk mengkaji keadaan iklim zaman kuno Bumi dan untuk mendapatkan petunjuk tentang suhu lautan, jejak karbon dan juga komposisi mineral yang lain. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science yang terbaru ini juga menggunakan fosil-fosil foraminisfera ini dan menganalisis unsur-unsur kimia dalam ribuan sampel fosil foraminisfera. Ini merupakan catatan yang paling terperinci mengenai iklim Bumi sejak zaman kuno. Kajian ini melibatkan usaha penggerudian di lautan dalam dan pengumpulan maklumat untuk tempoh masa berdekad lamanya sebelum memperoleh kesimpulan.   

Sumber imej: livescience.com

Dalam carta yang ditunjukkan di atas, kita boleh mendapati sempadan untuk empat kategori keadaan iklim dalam tempoh masa yang berlainan. Carta ini berakhir dengan satu puncak yang menggambarkan kadar semasa pemanasan global yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Para penyelidik menyimpulkan bahawa trend pemanasan bumi sekarang adalah jauh melampaui mana-mana perubahan naik turun iklim yang pernah wujud dalam seluruh era Senozoik. Ini berkemungkinan akan membawa planet kita memasuki keadaan “rumah panas” (hothouse).

James C. Zachos, salah seorang penyelidik dalam kajian ini, yang juga merupakan profesor di Jabatan Sains Bumi dan Planetari, University of California, Santa Cruz, berkata, “Sekarang ini kita sudah berjaya dalam memperoleh keragaman iklim semula jadi. Kita boleh lihat bahawa pemanasan disebabkan manusia yang dijangka akan lebih hebat daripadanya. Unjuran Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) untuk tahun 2300 dalam senario ‘urusan seperti biasa’ akan berpotensi membawa suhu dunia ke tahap yang tidak pernah dijumpai dalam 50 juta tahun.”

Untuk mengkaji keadaan iklim yang menjangkaui seluruh era Senozoik, para penyelidik menganalisis cangkerang fosil dalam sedimen lautan dalam, khususnya nisbah isotop karbon dan oksigen dalam cangkerang sedimen. Nisbah isotop ini mengandungi maklumat yang penting mengenai keadaan iklim yang lampau. Misalnya, nisbah isotop oksigen 18 dan oksigen 16 mendedahkan kepanasan air sekeliling apabila cangkerang foraminisfera itu terbentuk. Nisbah yang lebih tinggi menunjukkan bahawa air lebih sejuk. Nisbah isotop karbon 13 dan karbon 12 pula boleh mendedahkan jumlah bahan organik dalam bentuk karbon yang dapat digunakan oleh mikrob. Nisbah yang lebih tinggi menunjukkan lebin banyak gas rumah hijau seperti karbon dioksida yang terkandung dalam atmosfera.

Para penyelidik juga mengambil kira pembolehubah-pembolehubah astronomi dalam kajian mereka. Pembolehubah astronomi ini termasuk perubahan orbit Bumi yang sangat perlahan dan kecondongannya ke arah matahari, yang dikenali sebagai kitaran Milankovitch. Ahli-ahli sains menganalisis bagaimana perubahan ini memberi kesan kepada cahaya matahari yang boleh didapati di tempat yang berlainan pada masa yang berbeza. Mereka mendapati bahawa perubahan semula jadi ini hanya membawa perubahan pada skala yang sangat kecil kepada iklim bumi.

Para penyelidik telah mendapati bahawa setiap kali berlakunya lompatan yang penting antara keadaan iklim yang berbeza, wujudnya perubahan yang hebat dalam profil gas rumah hijau. Misalnya, dalam tempoh yang dikenali sebagai “maksimum terma Paleosen-Eosen”, iaitu satu tempoh masa lebih kurang 10 juta tahun selepas kepupusan dinosaur, berlakunya peningkatan suhu sebanyak 16 darjah Celsius di atas tahap moden. Ini berlaku kerana pembebasan jumlah karbon yang besar ke dalam atmosfera, berkemungkinan daripada letupan gunung berapi di Atlantik Utara. 10 juta tahun selepasnya, dengan karbon hilang daripada atmosfera bumi, lapisan ais mula terbentuk di Kutub Utara dan planet Bumi akhirnya memasuki peringkat “rumah sejuk” (coolhouse). Lebih kurang 3 juta tahun dahulu, planet Bumi memasuki fasa “rumah ais” (icehouse) yang ditandai oleh pengurangan lapisan air di hemifera utara. Dan sekarang ini, dunia kita berdepan dengan pemanasan global yang disebabkan oleh aktiviti manusia, yang memintas mana-mana perubahan iklim semula jadi yang pernah wujud dalam jutaan tahun sebelum ini.  

Sekali lagi, kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli sains telah menunjukkan bahawa perubahan iklim global yang disebabkan oleh aktiviti manusia yang membebaskan karbon ke atmosfera merupakan satu realiti yang tidak boleh dipandang ringan. Sistem ekonomi kapitalis yang berlandaskan pemaksimuman keuntungan korporat telah menjadi punca utama kepada masalah yang mengancam kehidupan masyarakat sedunia ini. Krisis iklim sedunia merupakan satu krisis bertahap kepupusan manusia sekiranya kita tidak bertindak sekarang untuk membendungnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s