20190420-4k-earth-zoom-hanoi-vietnam_hx38zobfl_thumbnail-full01.png“Dalam alam semulajadi, tiada apa benda yang wujud secara bersendirian.” — Rachel Carson, 1962

22 April setiap tahun ialah Hari Bumi, satu hari yang amat bermakna untuk mengingatkan rakyat sedunia tentang tanggungjawab kita dalam melindungi satu-satunya planet Bumi yang kita duduki daripada kehancuran pencemaran alam.

Asal usul sambutan Hari Bumi

Sambutan Hari Bumi berkaitan dengan gerakan masyarakat memperjuangkan perlindungan alam sekitar untuk berpuluh tahun selama ini.

Kesedaran tentang kepentingan melindungi ekologi alam semulajadi berkembang apabila semakin kerap rakyat sedunia menyaksikan kemusnahan alam yang dibawa oleh sistem kapitalis yang berasaskan persaingan untuk memaksimumkan keuntungan korporat.

Penerbitan buku sains alam sekitar yang ditulis oleh Rachel Carson yang bertajuk “Silent Spring” (Musim Bunga yang Sunyi) pada tahun 1962, menjadi salah satu pencetus inspirasi untuk gerakan sosial baru pada tahun 1960-an, di mana perlindungan alam sekitar turut mendapat perhatian daripada aktivis-aktivis sosial.

Selepas terjadinya peristiwa tumpahan minyak yang amat serius di Santa Barbara, California, Amerika Syarikat, pada tahun 1969, Gaylord Nelson, seorang Senator Amerika Syarikat dari Wisconsin ketika itu yang juga merupakan penyokong gerakan anti-perang, mencadangkan idea untuk mengadakan sambutan Hari Bumi di seluruh negara Amerika Syarikat untuk membangkitkan kesedaran orang ramai tentang isu pencemaran alam. Pada 22 April 1970, jutaan rakyat Amerika Syarikat turun ke jalanan dan mengadakan aksi untuk menuntut alam sekitar yang sihat dan mampan. Aksi sambutan Hari Bumi yang pertama ini berjaya menyatukan kumpulan-kumpulan masyarakat yang berjuang dalam isu-isu berkaitan dengan tumpahan minyak, pencemaran daripada kilang-kilang, pembuangan sisa-sia toksik, pencemaran racun perosak, ancaman kepupusan terhadap kehidupan liar dan sebagainya. Pada penghujung tahun 1970, kebangkitan gerakan alam sekitar di Amerika Syarikat telah berjaya mendesak Kerajaan Amerika Syarikat untuk menubuhkan Agensi Perlindungan Alam Sekitar dan meluluskan atau meminda akta-akta perlindungan alam sekitar (seperti Akta Udara Bersih, Akta Air Bersih dan Akta Spesies Terancam).

Sambutan Hari Bumi ini kemudiannya tersebar ke seluruh dunia dengan pelbagai aktiviti diadakan untuk menyatakan sokongan terhadap usaha perlindungan alam sekitar.

Pada tahun 1992, Sidang Kemuncak Bumi diadakan di Rio de Janeiro, dengan pemimpin-pemimpin negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah bersetuju untuk bekerjasama dalam mewujudkan usaha pembangunan mampan yang mampu melindungi alam sekitar daripada kemusnahan. Satu perjanjian alam sekitar antarabangsa, Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCC), telah dirundingkan, sehingga mewujudkan Protokol Kyoto pada tahun 1997 dan Perjanjian Iklim Paris pada tahun 2015.

Pada tahun 2009, Perhimpunan Agung PBB telah meluluskan Resolusi A/RES/63/278 yang dicadangkan oleh kerajaan negara Bolivia di bawah pimpinan Evo Morales, untuk mengisytihar 22 April sebagai “Hari Ibu Bumi Antarabangsa”. Resolusi tersebut menyatakan keperluan untuk menggalakkan keharmonian dengan alam semulajadi dan Bumi.

Perjanjian Iklim Paris yang diratifikasi oleh sebanyak 184 buah negara setakat ini dikatakan bersejarah, kerana ia merupakan dokumen penting dalam usaha negara-negara anggota PBB dalam menangani masalah perubahan iklim dengan menghadkan pembebasan gas rumah hijau.

Namun, usaha daripada kerajaan-kerajaan di banyak negara masih lembab atau tidak berkesan dalam menangani krisis alam sekitar. Gerakan masyarakat akar umbi dalam menuntut keadilan alam sekitar semakin hebat dalam mendesak kerajaan-kerjaan untuk mengambil tindakan konkrit yang segera bagi mengelakkan bumi kita daripada bencana alam yang bersifat kemusnahan.

Lindungi kepelbagaian ekologi dunia

Tema untuk sambutan Hari Bumi tahun 2019 ialah “Lindungi Spesies Kita”, sebagai peringatan kepada rakyat sedunia bahawa semakin banyak spesies hidupan dunia sedang diancam oleh krisis alam sekitar yang diwujudkan daripada aktiviti-aktiviti manusia yang mencemar alam.

Bumi kita penuh dengan jutaan spesies hidupan yang sudah kita ketahui, dan banyak lagi belum lagi ditemui manusia. Namun, aktiviti manusia dalam masyarakat kapitalis yang bersaing untuk memaksimumkan keuntungan korporat telah mengganggu keseimbangan alam semulajadi dan mendatangkan ancaman kepada hidupan yang berkepelbagainan spesies di dunia ini. Dunia kita sedang menghadapi masalah kepupusan spesies akibat kemusnahan ekologi di banyak tempat.

Penebangan hutan, pelepasan gas rumah hijau, pertanian yang tidak mampan, penggunaan racun perosak, pencemaran daripada sisa-sisa toksik industri dan sebagainya, telah menyebabkan jumlah hidupan tumbuhan dan haiwan liar sedang merosot pada kadar yang membimbangkan. Jika kita tidak bertindak sekarang untuk menghalang kegilaan sistem ekonomi kapitalis yang memusnahkan ekologi Bumi kita, satu-satunya warisan manusia pada masa akan datang ialah kepupusan.

Semua benda hidup mempunyai nilai yang intrinsik, dan setiap organisma mempunyai peranan yang unik dalam rangkai kehidupan dunia yang kompleks ini. Kita perlu berusaha secara bersama untuk melindungi spesies-spesies yang sedang terancam dan berada di ambang kepupusan.

Düsseldorf germany

Ancaman terhadap alam sekitar perlu ditangani

Di Malaysia, ancaman terhadap alam sekitar masih berleluasa. Pembalakan yang berleluasa sedang mengancam ekologi hutan tropika kita yang merupakan paru-paru hijau untuk negara kita. Di negeri-negeri seperti Sarawak dan Kelantan, pembalakan telah menghilangkan khazanah hutan kita yang tidak ternilai, tambahan pula habitat masyarakat Orang Asli dan Orang Asal juga diancam. Kejadian pencemaran toksik di Sungai Kim Kim baru-baru ini, merupakan satu peringatan kepada kita semua bahawa masih terdapatnya pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sanggup mencemar dan memusnahkan alam sekitar kita semata-mata untuk keuntungan.

Sistem ekonomi kapitalis yang berfungsi berasaskan motif keuntungan korporat, tidak akan dapat menyelesaikan masalah alam sekitar kita pada hari ini, sama ada kemusnahan hutan, pencemaran alam sekitar, sehinggalah perubahan iklim sedunia. Golongan kapitalis tidak mempedulikan ekologi alam sekitar kita selagi keuntungan dapat dikumpulkan melalui aktiviti yang menghancurkan alam sekitar. Apabila perlindungan alam sekitar itu menjadi sejenis perniagaan yang menguntungkan, barulah golongan kapitalis melaburkan modal dalam usaha ini, bukan dengan niat untuk menyelamatkan bumi, tetapi untuk mengaut lebih banyak keuntungan. Oleh yang demikian, sistem kapitalis tidak dapat menawarkan penyelesaian yang sebenar kepada masalah krisis alam sekitar pada hari ini.

Bumi yang diduduki umat manusia hanya satu sahaja. Kemungkinan besar juga anak cucu kita tidak akan dapat lagi berhijrah ke planet Marikh atau planet-planet lain seperti dalam filem Hollywood, apabila Bumi kita dilanda bencana alam sekitar yang mengancam survival seluruh masyarakat manusia. Namun, kita boleh mengelakkan bencana alam sekitar sekiranya kita bertindak mulai sekarang juga, dengan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau, menghentikan aktiviti yang mencemar alam dan mengubah corak kepenggunaan yang membazirkan sumber bumi. Ini hanya dapat dilakukan melalui usaha secara kolektif, bukan sahaja terpulang kepada tingkahlaku seorang dua individu sahaja.

Untuk kita mengatasi ancaman krisis alam sekitar, kita perlukan anjakan paradigma dalam minda kita untuk melepasi kerangka sistem kapitalis hari ini. Usaha untuk mempertahankan Bumi kita, merupakan sebahagian daripada perjuangan rakyat dalam menentang sistem kapitalis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *