20190422 - nabmmpollution12915.jpgParti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Kerajaan Malaysia supaya memandang serius tentang isu perubahan iklim dan mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera sebelum terlambat.

“Pada tahun 2015, pelepasan bersih gas rumah hijau Malaysia mencecah 50,479,060 tan, sementara kita berpura-pura untuk berselindung di sebalik status kita sebagai negara sedang membangun. Walaupun Malaysia telah berjanji pada Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) untuk mengurangkan intensiti gas rumah hijau per KDNK sebanyak 30% selewat-lewatnya tahun 2030, janji kita akan kekal sebagai retorik jika kita tidak mengambil langkah-langkah segera untuk mengawal output gas rumah hijau kita,” begitu katanya Sharan Raj selaku Penyelaras Biro Alam Sekitar, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 April 2019 bersempena dengan Hari Bumi.

Sharan Raj mengulas, “Ini kerana kita sangat bergantung pada pengangkutan persendirian yang menggunakan sebanyak 14.4 bilion liter petrol setahun dan kita menjana 86% daripada elektrik kita daripada bahan api fosil. Malaysia perlu mengisytihar darurat iklim supaya menyusun semula keutamaan kita untuk melawan perubahan iklim.”

Sharan Raj mengatakan bahawa kita tidak boleh mencapai janji kita kepada UNFCCC jika kita gagal dalam menangan isu-isu berikut:

  • Kawasan diliput hutan di seluruh negara semakin berkurangan pada kadar yang cepat. Oleh sebab kekurangan sumber pendapatan, kerajaan-kerajaan negeri menebang kawan hutan mereka pada kadar yang membimbangkan.
  • Mengutamakan pengangkutan persendirian dengan mengembangkan lebuhraya yang membawa kepada penebangan hutan, khusunya di Selangor dan Pulau Pinang.
  • Kerajaan Putrajaya memilih untuk menyokong kereta nasional ketiga bukannya meningkatkan pengangkutan awam.
  • Penguatkuasaan yang lemah membuka jalan kepada kilang-kilang haram untuk meneruskan pembuangan sisa-sisa mereka ke dalam sungai dan laut kita, misalnya isu pencemaran di Sungai Kim Kim di Johor dan pembukaan bukit berhutan di mana tiada orang mahu bertanggungjawab seperti yang berlaku di Bukit Kledang, Perak.
  • Kita meneruskan usaha memacu pertumbuhan KDNK tanpa memahami sepenuhnya implikasinya kepada iklim, kerana rancangan ekonomi distrukturkan dan dilaksanakan secara berasingan daripada perhatian terhadap alam sekitar.
  • Pembangunan keterlaluan menyebabkan tanah runtuh dan pemendapan sungai dan empangan seperti di Cameron Highlands.

PSM mempersoalkan sama ada Putrajaya betul-betul serius tentang perubahan iklim.

Sharan Raj berkata, “Malaysia perlu mengenakan moratorium terhadap loji penjana kuasa bahan api fosil yang baru, dan mempunyai tempoh masa yang pasti untuk mengurangkan loji penjana kuasa batu arang dan diesel/minyak. Tenaga boleh diperbaharui dan efisiensi tenaga perlu diperluaskan secara hebat untuk menggantikan bahan api fosil. Pada tahun 2015, 1/6 daripada elektrik untuk sektor komersial digunakan oleh kerajaan. Kerajaan perlu berkomited untuk mengurangkan bekalan elektrik berasaskan grid sebanyak separuh sebelum tahun 2025 melalui pelaksanaan efisiensi tenaga dan solar atas bumbung di bangunan-bangunannya.”

“Ekonomi kitaran bleh mengurangkan sekurang-kurangnya 50% daripada gas rumah hijau dengan kitaran semula, penjanaan bio-gas dan dasar pelupusan sifar. Lebih kurang 45% daripada sisa pepejal di tapak pelupusan sampah ialah sisa buangan makanan yang boleh ditukar ke dalam bio-metana untuk menjana elektrik. Bio-metana dari loji Indah Water Konsortium (IWK) boleh menjana elektrik sebanyak 2.4 GWj. Penggunaan plastik bio-degradasi perlu diperluaskan lebih daripada beg plastik, untuk merangkumi produk seperti produk kebersihan, lampin dan pembungkusan.”

“Kita patut menjadikan lebih mahal untuk memiliki kereta melalui duti eksais dan menyalurkan dana untuk membangunkan pengangkutan awam. Rakyat Malaysia terpaksa memiliki kereta kerana kekurangan sistem pengangkutan awam yang komprehensif.”

“Mengisytihar darurat iklim akan mewujudkan desakan untuk tindakan segera supaya dasar-dasar mesra ekologi dilaksanakan secepat mungkin. Dasar-dasar mesra ekologi mewujudkan dan mengekalkan ‘pekerjaan hijau’ sementera mengurangkan import kita untuk bahan-bahan mentah, petrol dan batu arang di mana dapat memperkukuhkan ekonomi kita. Malaysia patut berkomited untuk menjadi neutral karbon selewat-lewatnya tahun 2030 sebelum berusaha menuju negara singki karbon selewat-lewatnya tahun 2040.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *