(foto: Yander Zamora / EFE)

Negara Kuba telah meluluskan Kanun Keluarga yang boleh dikatakan paling progresif di dunia pada masa kini selepas hampir 67% warga Kuba yang mengundi dalam referendum menyokong undang-undang baharu ini. Kanun Keluarga Kuba yang baharu ini telah memperluaskan hak wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya dan minoriti seksual di sisi undang-undang, di samping menakrif semula makna sebuah keluarga dengan memberi penekanan kepada kasih sayang, maruah manusia dan tanpa diskriminasi.

Rakyat Kuba telah mengundi pada 25 September 2022 dalam satu referendum yang bersejarah. Lebih 6.25 juta warga Kuba telah keluar mengundi, dengan peratusan mengundi mencecah 74.01%. Sebanyak 3,936,790 orang pengundi (bersamaan 66.87% undian yang sah) mengundi untuk menyokong Kanun Keluarga, sementara hanya 33.13% tidak menyokong.

Kanun Keluarga baharu yang dibawa kepada referendum rakyat seluruh negara Kuba ini digubal melalui satu proses penyertaan demokratik yang menakjubkan. Lebih 20 versi draf bagi undang-undang ini telah dihasilkan berikutan hampir 80,000 sesi mesyuarat di kawasan kejiranan dan hampir 500,000 cadangan awam telah dikemukakan. Ini merupakan satu perkembangan yang penting dalam kemajuan demokrasi. Sehingga kini, tiada mana-mana undang-undang keluarga di dunia, selain Kuba, dikemukakan untuk proses rundingan awam yang begitu meluas dan tertakluk kepada keputusan referendum seluruh rakyat.

Kanun Keluarga Kuba yang baharu ini dianggap oleh ramai orang sebagai undang-undang kekeluargaan yang paling inklusif, progresif dan revolusioner di dunia. Kanun Keluarga yang baharu ini mewujudkan kemajuan yang menyeluruh kepada hak wanita, golongan LGBTQ, kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya di Kuba. Kanun Keluarga baharu ini menjamin hak samarata semua orang untuk menubuhkan keluarga tanpa diskriminasi, membenarkan perkahwinan sama seks di sisi undang-undang, dan membenarkan pasangan sama seks untuk mengambil anak angkat. Di bawah undang-undang baharu ini, hak ibu bapa turut dikongsi dalam struktur keluarga luas dan bukan tradisional, yang boleh termasuk datuk nenek, ibu bapa tiri dan ibu tumpang. Perjanjian pra-nikah dan pembiakan dibantu turut dimasukkan ke dalam Kanun Keluarga yang baharu ini.

Kanun Keluarga yang baharu di Kuba akan mendorong pengagihan tanggungjawab rumah tangga yang samarata dalam kalangan lelaki dan wanita, di samping memperluaskan hak perburuhan kepada mereka yang menjaga kanak-kanak, warga tua atau orang kelainan upaya sepenuh masa. Kanun ini juga menetapkan hak untuk kehidupan keluarga yang bebas daripada keganasan, dengan mementingkan nilai-nilai kasih sayang, solidariti dan tanggungjawab. Kanun Keluarga ini menetapkan hukuman ke atas keganasan rumah tangga, dan menggalakkan dasar komprehensif untuk menangani keganasan berasaskan gender.

Kanun Keluarga Kuba juga mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dan hukuman dera. Kanun ini menyatakan bahawa ibu bapa mempunyai “tanggungjawab” terhadap kanak-kanak, dan dikehendaki “menghormati maruah dan integriti fizikal serta mental kanak-kanak dan remaja”, di samping menegaskan bahawa ibu bapa harus membenarkan anak yang matang untuk mempunyai lebih banyak hak dalam menentukan kehidupan mereka.

Selain itu, Kanun Keluarga Kuba yang baharu juga memperluaskan hak untuk warga emas dan orang kelainan upaya. Ia turut mengiktiraf peranan datuk dan nenek dalam penyampaian nilai, budaya, tradisi dan penjagaan.

Miguel Diaz-Canel, Presiden Kuba menyifatkan Kanun Keluarga yang baharu ini satu “norma yang adil, dikemas kini dan moden, yang memberikan hak dan jaminan kepada semua rakyat dan kepada kepelbagaian keluarga”. Miguel Diaz-Canel berkata dalam satu hantaran twitternya, “Meluluskan Kanun Keluarga yang baharu ini ialah melakukan keadilan. Ia melunaskan hutang dengan beberapa generasi lelaki dan wanita Kuba, di mana projek kekeluargaan mereka telah menunggung undang-undang ini untuk bertahun-tahun lamanya. Mulai hari ini, kita akan menjadi sebuah negara yang lebih baik.”

Sebelum ini, Kanun Keluarga yang membawa pembaharuan progresif ini telah mendapat tentangan hebat daripada sektor masyarakat yang lebih konservatif di Kuba, khususnya Gereja Katolik dan golongan evangelis, kerana menganggap ia bertentangan dengan kepercayaan mereka.

Kerajaan Revolusioner Kuba yang dibentuk selepas kejayaan Revolusi Kuba yang menjatuhkan pemerintahan kediktatoran Fulgencio Batista pada tahun 1959, pernah mengamalkan dasar anti-LGBT pada awalnya, tetapi mula menyedari kesilapannya dan melakukan perubahan sejak tahun 1980-an di mana hak golongan LGBTQ semakin mendapat pengiktirafan serta perlindungan. Dalam proses menggubal Perlembagaan Kuba yang baharu pada tahun 2019, kerajaan Kuba pada asalnya hendak menggantikan takrifan perkahwinan daripada “penggabungan sukarela yang dibentuk antara seorang lelaki dan seorang wanita” kepada “penggabungan antara dua orang” di mana sekali gus membenarkan perkahwinan sama seks di sisi undang-undang; namun cadangan tersebut mendapat tentangan hebat daripada kumpulan-kumpulan Kristian yang lebih konservatif, dan kerajaan Kuba terpaksa berkompromi pada masa itu. Walau bagaimanapun, Perlembagaan Kuba yang diluluskan dalam satu referendum pada bulan Februari 2019, telah membuang takrifan yang menyekat perkahwinan sama seks, dengan memaktubkan bahawa “perkahwinan ialah institusi sosial dan undang-undang” tanpa merujuk pada gender pihak yang berkahwin. Hasil daripada desakan sektor masyarakat yang progresif dan keazaman kerajaan Kuba untuk memperbetulkan kesilapan lampau, pembaharuan yang menegakkan hak untuk berkahwin tanpa mengira orientasi seksual akhirnya berjaya dilaksanakan melalui proses demokratik yang melibatkan seluruh rakyat Kuba. Ciri-ciri kemanusiaan Revolusi Kuba telah ditonjolkan semula dalam proses penggubalan Kanun Keluarga yang progresif ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *